Monday, 19 February 2018

Mencari Hati Yang Baik

Bismillah.

"Kita cuba je buat baik mana yang boleh, mohon biar Allah ampunkan dosa. Kita kan manusia banyak buat dosa." Kata-kata Makcik Mashitoh masih tersisip di benak kepala. Walaupun tubuhnya kecil, dan usia sudah mencecah 50 tahun, Makcik Mashitoh selalu nampak bertenaga dalam kerja-kerja kebaikan. Walau penat dan mencabar, makcik selalu ingatkan kami bahawa selalu ada bahagia yang boleh kita syukuri. Kagum, tapi tak tahu apa sebabnya.

Kata-kata makcik petang itu sangat simple, tapi mungkin itulah ayat yang selama ini dicari.

Mungkin itu juga kunci untuk mencari hati yang baik...

Apa dia?

-Merasa berdosa-

Bukan merasa berdosa yang membina sense of guilt dan depression, hanya merasa berdosa dalam erti kata mengenal diri. Seorang manusia biasa, yang banyak manapun amal dan ilmu tak pernah lari dari salah dan silap. Seringkali kalah dengan ajakan nafsu dan syaitan.

Merasa berdosa, agar kita tak jemu berbuat baik. Mengharap dosa-dosa kita dikafarahkan.

Merasa berdosa, agar amal baik kita  tak berbunyi tinggi, yang seingkali membuat kita merasa lebih baik dari yang lain, ketika kita sedang mengiklankan kebaikan pada kata dan amal. Yang pada hakikatnya kita semua sama, hanya berusaha membaiki diri.

Merasa berdosa, agar itu menjadi sebab untuk berharap adanya kebaikan dalam hidup ini. Memohon agar Tuhan memberikan kebaikanNya melalui hidayah, dan melabuhkan umur dalam husnul khotimah. Ia adalah tempat di mana hati boleh bersangka baik, dengan manusia dan Tuhan.

Sudah lama saya cemburu melihat orang yang hatinya baik. Mudah berlapang dada, namun di balik kelembutan hati ada semangat yang kuat untuk terus membaiki diri.

Lantas bila ditanya atau dipuji... mereka selalu menafikan kebaikan diri. Di balik satu sebab;

-merasa diri berdosa-

Ya Allah, kurniakan kami hati yang baik itu.

Monday, 12 February 2018

Aku rindu kebersamaan itu.

Bismillah

Hampir 4 bulan,
Kita solat berjemaah,
Kita bermathurat bersama,
Kita saling bersalaman,
Saling berbalas tawa dan senyuman,
Makan di dalam talam yang sama,
Tanpa ada rasa yang membezakan sesiapa,
Hari-hari terasa semakin berkat,
Mengajar dan menambah bekal nasihat,
Buat bekal diri dan makanan nurani.

Dan di sini semula aku,
Bermujahadah meneruskan juang,
Mutabaah amal yang cuba digagahi,
Walau seorang,
Sedikit berat terasa,
Sedangku tahu yang kita buat dahulu,
Tak sikitpun bertambah beza,
Mungkin kerana melakukan bersama,
Ada rahmat Allah dalamnya,
Kadang ku cari teman yang ada,
Buat merawat rindu,
Pada kebersamaan itu.

Apa khabar kalian?
Moga tetap baik-baik saja,
Tetap dalam kebersamaan yang sama,
Yang kalian jadikan kekuatan,
Buat tujuan kebaikan,
Dalam dunia di mana,
Terlalu mudah manusia bersama,
Untuk tujuan-tujuan sebaliknya.







Friday, 12 January 2018

Khatamnya sebuah nafar ilmu.

Bismillah.

Seratus lima, itulah nombor hari saya berada di Jordan termasuk hari ini.

Berpagian dengan menguli kuih Cekmek molek, tengaharinya bergegas ke kelas terakhir bahasa arab, kemudian berlari ke sekolah kerana diminta secara tiba-tiba untuk mengambil passport yang sudah diperbaharui visanya, bertemu teman-teman di kedai makan melayu buat kali terakhir, solat di rumah rakan yang dah lama rancang untuk menyinggah tak menyempat, pergi makan lagi bersama rakan-rakan rumah dan akhirnya pulang meneruskan rutin biasa.

Kira-kiranya beginilah hari terakhir secara rasminya saya menyiapkan tugas sebagai pelajar pertukaran di Universiti Yarmouk. Selesai sudah mengambil segala dokumen untuk dibawa pulang. Tinggal berkemas dan boleh berangkat bila-bila masa.

"Habis sudah semuanya.." rintih hati saya bernada hiba. Tanah ini terlalu banyak mendidik diri. Meninggalkannya pastilah membuah rindu. Dan rindu pada yang dicintai kerap kali menyakitkan.

Terlalu banyak yang saya pelajari, dan saya megharapkannya kekal menjadi bekal diri.

Kebetulan di akhir kelas Doktor Wasef (guru bahasa arab saya) memberi pesanan terakhir:

Jika saya hanya ada satu pesanan boleh saya beri pada kamu, maka ianya adalah;

"Fatazawwadu fa inna khaira zaadittaqwa."

Berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa.

Ya Allah bekatilah musafir ini.




































Monday, 18 December 2017

Dukamu bukan segala-galanya

Bismillah.

Mari kita mulakan,
Dengan seorang qudwah hasanah,
Yang dikatakan dalam surah Mumtahanah,
Sebaik-baik teladan dan uswah,
Bagi yang merindui Allah dan hari akhirah.

Dialah baginda Nabi s.a.w
Yang paling dahsyat ujiannya,
Paling getir hari-harinya,
Paling perit duka dunianya,
Paling kurang serba-serbinya,
Paling trajis hilangnya,
Namun paling banyak tersenyum,
Paling banyak menjadi harapan,
Buat sekalian manusia.

Kita justeru ummatnya,
Manusia biasa yang sangat disayanginya,
Baginda tak mampu untuk ada disisi,
Untuk memberi semangat buat kita,
Namun baginda tinggalkan rakaman hidupnya,
Cekal tabahnya,
Sabar cintanya,
Semangat kesungguhannya,
Buat membelai hati kita,
Turut memujuk rasa,
Suluhan cahaya,
Dengan segenap kasihnya.

Dunia ini dijadikan untuk menghancurkan hatimu,
Kata seorang guru yang banyak ilmu,
Agar cahaya masuk,
Di celah-celah retakannya.

Dalam gelap duka,
Berjanjilah pada diri sendiri,
Bahawa kau masih lagi mencintai cahaya,
Bahawa kau masih lagi merindui bahagia,
Agar yang gelap itu kalaupun dunia semuanya,
Terkecuali dirimu sendiri,
Kuasai apa yang ada pada hati,
Agar gelap duka tidak menentukan makna diri,
Agar sekelumit dukamu,
Tidak bermakna segala-galanya.

Hati manusia itu halnya ajaib,
Kecil kudrat tapi besar semangat,
Mampu memegang sebesar hasrat,
Yang tak tertampung selaut keringat.

Namun ketika duka melanda,
Hati yang sama jugalah,
Membuat segala laku terhenti,
Membuat akal dan cekal mati,
Menjadikan segala cita-citanya yang besar itu,
Tak bererti.

Kini kau tahu betapa bahayanya mengemudi hati,
Dialah tempat iman dan nafsumu bertarik tali,
Tempat pahala dosamu berjual beli,
Tempat hidup matimu diberi erti,
Tempat seluruh umurmu diperjudi,
Justeru syaitan suka,
Mematikan manusia...
Pertamanya dari hati.

Betapa syaitan suka,
Pada hati yang kecewa,
Lantas diajakinya putus asa,
Betapa syaitan suka,
Pada hati yang hilang percaya,
Lantas diajakinya sesat bersama.

Maka katakan pada hati,
Dukamu bukan segalanya,
Kerana betapa ramai yang putus asa,
Ditipu rasa kecewa dan duka,
Bukan kerana tak punya harapan,
Hanya kerana dia mengizinkan untuk percaya,
Dunia ini tiada cahaya.

Irbid
23:54











Sunday, 10 December 2017

Post mortem kesungguhan nafar ilmu di Tanah Syam

tangga utama pelajar perempuan yang bakal dirindui

العِلمُ صَيدٌ والكِتابةُ قَيدُهُ -- قَيِّدْ صيودكَ بالحِبالِ الواث
فَمِن الحَماقَةِ أَنْ تَصيدَ غَزالَةً -- وتَترُكها بَينَ الخَلائقِ طالِقةَ

Ilmu ibarat haiwan buruan
dan penulisan tali pengikatnya
Maka ikatlah buruanmu dengan tali yang kuat
Adalah satu kebodohan jika kamu memburu kijang
Lantas membiarkannya lepas bersama haiwan yang lain.

Bismillah.

"Antara cara kita untuk memperbaiki diri adalah menghadiri majlis ilmu. Kita tambah pengetahuan dan kita catat. Setiap catatan kita ada amanah untuk diamalkan." Pesan ringkas naqibah saya ketika kami berbicara tentang usaha membebaskan Palestina.

"Sebab itu akak takut mencatat." tersimpul senyuman pucat di wajahnya.

Dialog di atas adalah dialog beberapa hari lepas. Ketika usrah terakhir sebelum usrah wida'. Bermakna, masa saya bersama mereka semakin sikit. Tanpa sedar ini minggu ke 11 saya di bumi Allah; Irbid.

11 minggu yang berlalu ini pernah dibuka oleh satu niat; Menadah ilmu Tuhan, mencari bekal amalan, memburu jalan juang, menalar makna diri. Namun melihat semula hari-hari yang berlalu, ada sedikit sesal buat masa-masa yang tak diguna dengan kesungguhan sewajarnya.

Setiap hari pasti ada satu hikmah baru pemberian Tuhan. Namun, ada yang hilang dari ingatan. Secepat hilangnya titisan pewarna dalam larutan air. Kerana tidak disimpan dengan kalam, apatah lagi dibina dalam sebuah amal. Ianya kerugian di atas kerugian.

Berbaki lagi sebulan, pada waktu sebeginilah saya baru terhegeh-hegeh masuk kelas bahasa arab ammi, baru berdaftar untuk kelas al-Quran di Markaz Hafsah, baru betul-betul menyantuni kawan-kawan dan mempelajari akhlak mereka, baru mahu rajin bertanya dalam kelas... 

Itu adalah manifestasi sebuah penyesalan. Mujur Allah bagi pada waktu yang berbaki ini. Cuba kalau tiada kesedaran lansung? Tepuk dahi.

Pagi tadi saya ke Markaz Hafsah; sebuah Markaz al-Quran Sunnah wal-Jamaah yang terkenal di bumi Jordan. Kata Naimah, tadi sebelum saya tiba ada satu pengisian dari Syeikhah, kata Naimah:

"Tadi Syeikhah pesan; yang dah belajar al-Quran kat sini, kalau balik Malaysia nanti, ajarlah orang-orang Malaysia baca al-Quran pulak. Syeikhah pun ada kata; bayangkan kalau orang biasa menghadap raja, tak kanlah dia nak mintak 5 ringgit je. Mesti digelakkan raja. Macamtu jugak kita, kita nak mintak kat Allah yang Maha Agung, mintalah ganjaran yang Agung. Dan untuk itu kita kena usaha."

Sambung Naimah lagi; "Saya kagum dengan Syeikhah-syeikhah ni, diaorg dahlah kerja tanpa mintak bayaran banyak. Macam makanan yang dia bagi ni pun tak mintak bayaran sikit pun (7 bungkus nasi arab kitaorg bawak balik okay.. huhu). Ni antara tabarruk diaorg. Kalau dia ajar al-Quran pun diaorang tak ajar untuk berkerja, tapi untuk betul-betul bawak orang pada al-Quran."

Saya mendengar dan tertunduk. Terlihat kesungguhan pada syeikhah ketika saya sampai di bangunan sederhana di dekat Bab Syimali itu. Namun ketika disapa, dia memberikan senyuman yang sungguh membahagiakan. 

Orang-orang ini adalah orang-orang yang bersungguh memberi, dan pasti saja mereka ini orang yang bersungguh menuntu ilmu sebelum mereka mampu memberi.

Guru-guru di Kuliah Syariah selalu mengingatkan dalam teguran mereka terhadap sikap pelajar Syariah masa kini; "Kamu satu hari sama ada akan menjadi seorang guru, pemberi peringatan ataupun rujukan. Lihat kehidupan kamu, adakah sesuai dengan apa yang kamu belajar?"

Dalam dunia yang serba mudah dan lengkap nikmat makan pakai ini, urgensi memperbaiki kesungguhan dalam jalan menuntut ilmu sukar untuk dirasa. Sedang amanah yang bakal digalas berat. Sedang jalan yang bakal diredahi panjang. Seorang pelajar di kuliah Syariah perlu menjadi seorang yang juhudnya tinggi setinggi harga yang Allah letakkan pada ilmu ini.

Seperti raja yang menawarkan kurniaanNya yang besar-besar, hamba yang tidak bersungguh, manakan layak menerima.

Doakan saya, moga diberkati segala amal, segala ilmu, dan masa-masa yang berbaki.

Irbid
23:05
09122017











Friday, 24 November 2017

Minggu ke tujuh dan lapan

Bismillah.

"Do not choose success, but choose excellence and success will follow you."

(Pinjam quote dari insta Husna ><)

Pejam celik, pejam celik dah habis minggu ke lapan saya di Jordan. Bermaksud sudah 2 bulan alhamdulillah.

Banyak benda diharap, banyak yang belum tercapai, tapi banyak pula rezeki Tuhan yang tak dipinta namun diberikanNya.

Maka nikmat Tuhan yang mana mahu kamu dustakan? Huhu.

Dua minggu ini, ada banyak drama. Yang mana setiap satunya mendidik diri;

1) Makan malam di Amman bersama wakil kerajaan;

Image may contain: 1 person, smiling, text

Rakan sebilik mengajak saya mengikuti makan malam bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi yang dianjurkan oleh persatuan pelajar Sabah. Saya tidak berfikir panjang untuk bersetuju. Walaupun tempatnya jauh di Amman, saya kira ini peluang untuk tambah pengalaman di sini.

Perjalanan 1 jam lebih pada malam itu dari Bab Syimali Irbid ke Hotel Grand Hyatt adalah perjalanan yang sangat sentimental. Betapa sebelum ini saya berangan-angan untuk membelah malam di jalan yang di kiri kanannya padang pasir sambil mendengar lagu  nyanyian Muhammad al-Husayn. Ternyata hari itu termakbul.


Selain makanan-makanan melayu dan arab yang terhidang, apa yang lebih menarik adalah tajuk utama yang dinaikkan YB pada malam itu; iaitu gagasan TN50. Satu lagi gagasan yang dibuat untuk memacu satu lagi perjalanan ke arah kemajuan negara pada era ini.

Sayang sekali, saya hadir tanpa sebarang persediaan, baik pembacaan mahupun soalan. Maka sesi soal jawab adalah sesi yang membuat hati ini berasa seribu penyesalan. Lantas saya coretkan di lama sosial untuk ingatan sendiri.



Tiada niat untuk mengulas atau mengkritik gagasan baru kali ini. Hanya menyedari, sejak berumur 21 ini, saya sudah menginjak ke alam baru. Ke alam di mana masyarakat sudah boleh memberikan mandat untuk membuat perubahan pada negara. Doakan saya dan kita semua, kerana pemerintah yang baik hasil daripada rakyat yang baik pula.

2)Kenangan bersama rakan Thailand:


Husna dan Asriyah adalah dua pelajar Thailand yang sekelas dengan saya. Mereka adalah pelajar tahun satu. Seronok dapat berkenalan dengan mereka, walaupun usia keduanya lebih muda berbanding saya namun semangat mereka sangat besar. 

Mereka seperti saya, baru mahu meneroka bumi Irbid. Maka seperti adat orang Melayu, kita menggunakan wasilah makanan untuk berkenalan. Huhu. Maka saya mengajak mereka mencuba makanan di Restoran Cina Muslim di Bab Syimali. Mereka teruja, apatah lagi saya! Kerana itu kali pertama kami ke sana.


Pada mulanya saya fikir, makanan di sini mahal. Namun rupanya satu mangkuk mee tarik berharga 1.50JD itu boleh dikongsi tiga orang. Banyak dan mengenyangkan. Siapa sampai di Irbid bolehlah ke sini dan mencuba. InsyaAllah tak akan menyesal.

Buat adik Husna dan Asriyah, selamat maju jaya. Semoga baki 3 tahun mendatang kalian guna sebaik mungkin menadah ilmu dan memburu barakah di bumi Anbiya ini.


3)Kejutan sambutan hari lahir:



12 haribulan, kawan-kawan Liqo' buat kejutan hari lahir. 14 haribulan pula ahli rumah sambut hari lahir saya dan Fatin Umirah. Sebak.. huhu. Sebab sejak hari kejadian sunyi sahaja.

Sangkanya tak ada siapa sudi nak sambut, maka saya pujuk diri dengan mengenang semula asal usul diri. Kita adalah hamba yang Allah cipta dari tiada kepada ada, dari air mani yang hina menjadi manusia sempurna, maka perlukah kita kepada sambutan ketika hakikat diri kita nilai dunianya cukup tidak berharga?

                              

Sekadar memujuk, namun akhirnya saya diberi faham bahawa semua perkara perlu bersederhana. Tuhan juga tak melarang kita menyambut untuk berkasih sayang bukan? Tuhan juga tak melarang kita membuat orang lain rasa bahagia dan dihargai? Akhir sekali saya juga yang tersenyum terlebih bahagia ketika sambutan itu.. huhu. Terima kasih kawan-kawan, kenangan yang cukup bermakna.


Menyiku diri sendiri, "Qayya, don't be too hard on yourself boleh?" Mungkin ada orang lain yang ada masalah 'overthinking' macam saya di luar sana, cubalah cara ini. Terima sahaja realiti dunia, raikan pada batasNya. Maka hari-hari kita ternyata lebih bahagia.

Betul kata orang, di luar sana ada orang berjuang untuk jadi normal. Buat orang yang normal, jangan berhenti
mengajar kami :)

4 Study luar di Cuzine;


Pertama kali belajar di luar meneman Farah Nadia menelaah bahan pelajaran. Belajar di cafe antara pilihan pelajar Irbid terutama ketika musim sejuk. Cafe Cuzine  di Hijazi antara tempat buruan pelajar terutama pelajar perubatan. Cafe yang ringkas, lapang dan selesa membantu saya mendapatkan fokus ekstra hari itu.

Belajar memang menagih masa dan perhatian kita. Bila keluar rumah hanya semata-mata untuk belajar, terasa lebih kesungguhannya. Kagum bila tengok semua pelanggan cafe datang dengan buku dan tinggal sampai pukul 11.00 malam.

Terima kasih K.Zakiyah bagi ucapan semangat dan Syarifah sebab teman pergi kedai runcit mengubat kantuk. Huhu.


5) Usrah di Bait Irsal:


Kenapa setiap kali usrah kena ada makanan?

Eh, itu bukan kewajipan, tapi memastikan perut kita gembira untuk gembira mendengar pengisian boleh menjadi keutamaan. Huhu

Begitulah gembiranya perut saya semalam. Meriah. Tapi makanan habis, yang tinggal adalah makanan rohani yang diamalkan.

Saya namakan usrah semalam Usrah Refreshment. Sebab semua pengisian dirasakan tepat untuk keperluan seorang daie yang mula lembik; Pengenalan kitab Tarbiyah Askariyah, Tadabbur Surah Hadid, Hadis Rahmat, hadis menolong ibu tunggal dan anak yatim dari kitab Muntakhob min as-Sunnah dan video Sheikh Hamzah berjudul Relax, Your'e in good hands seperti satu santapan lengkap hari itu. 

Semuanya seakan mengajak diri mentajdid niat dan cara pandang terhadap dunia. Lantas memaknai setiap masa dengan amal ikhlas dan kerja. Itu semua berhajatkan kepada kekuatan hati. Dan disinilah saya menemukannya.

Ayuh!
***

gambar tahun 2014

Dan semalam Hari Jadi Ayah!

Di bumi Anbiya ini,
Ku pohon pada Ilahi,
Moga kau diberi kelapangan hati,
Dikosongkan segala benci,
Dikurniakan damai abadi,
Di dunia,
Dan di Syurga Firdausi.

Aamin.

Marilah saling mendoakan :) Moga kita semua dapat menjadi lebih baik setiap masa.

Doakan saya, Ahad ujian dan assignment tak siap lagi ;)

Assalamualaikum
















Friday, 10 November 2017

Umur 21- Fasa beramal.

Bismillah.

Poster si adik yang rajin huhu

Semalam, genaplah 21 umur saya. Entah kenapa, semalam air mata yang tumpah sama banyak dengan senyuman yang terukir. Sendu sahaja rasa. Mungkin kerana terharu, mungkin kerana sayang, mungkin juga kerana menginsafi kejadian Tuhan buat diri.

Sudah dua minggu tak kemaskini catatan mingguan. Bukan tiada aktiviti untuk dikongsi, banyak. Hanya tidak tahu bagaimana menyusun ayat agar ianya berisi manfaat. Maka saya tundakan sehingga ke hari ini. Kiranya, posting kali ini adalah posting dua dalam satu.

Pertama sekali, saya ingin sematkan ingatan hari lahir tahun ini di sini, supaya saya dapat membacanya semula andai panjang umur tahun depan. Agar lebih jelas hitam putihnya ketika mahu bermuhasabah.

Apa yang istimewa, hari lahir kali ini disambut di bumi Anbiya'; tanah Yarmouk, Jordan. Bersama biah solehah  dan nasi maqlubah yang akan saya rindui (Erk). Moga-moga keberkatan tanah ini dapat saya pinjam untuk mencari keberkatan umur sendiri.



Maceh Syahira teman
Setahun yang berlalu, terlalu banyak pengalaman bermakna yang tidak mahu saya lupakan. Musim sejuk, musim bunga dan musim panas di Istanbul saja sudah banyak ceritanya. Ketika pulang di Malaysia, saya menyambut kelahiran anak saudara baru yang bernama Amalin. Juga menyambut beberapa khabar kematian, menziarahi orang sakit, semua itu memberi peluang saya bercermin hakikat umur ini.

Sempat juga menjelajah alam Tuhan; pertama kali melawat Terengganu, bersama keluarga di Bagan Lalang, meronda bersama rakan-rakan dan adik menggunakan perkhidmatan awam, dan bermusafir bersama kakak hampir separuh Malaysia! Banyak lagi kisah dan cerita yang setiap satu ada harganya tersendiri.

Bercakap tentang harga sebuah kehidupan, ianya seputar makna dan nilai; apakah yang akan kekal buat diri, apakah yang akan dijadikan bekal hidup ini. Kerana masa yang berlalu telah meninggalkan kita jauh, namun yang tinggal adalah harganya. Yang mana akan dipertanggungjawabkan bagi membuktikan kehidupan kita tidak diciptakan secara sia-sia.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda;

"Tidak akan berganjak kaki anak adam pada hari kiamat kecuali setelah ditanyakan empat perkara;

-Usianya kemana dia habiskan,
-Masa mudanya kemana dia pergunakan,
-Hartanya dari mana diperoleh dan kemana dia belanjakan.
-Ilmunya yang mana telah diamalkannya.

(Riwayat Tirmizi)

Dalam surah al-Kahfi ayat 46 Allah berfirman yang bermaksud;

"Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia tetapi amal kebajikan yang terus menerus asalah lebih banyak pahalanya disisi Tuhanmu serta lebih baik untuk menjadi harapan.

Dalam surah al-Mulk ayat 2;

"Yang menciptakan mati dan hidup untuk menguji kamu siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Mahaperkasa Maha Pengampun."

Semua itu seperti mahu berkata; hidup kamu untuk beramal.

Maka dari situ, saya berazam menggelarkan umur 21 ini sebagai titik tolak fasa beramal.

Melihat kebelakang, saya sudah lama terlalu selesa dalam zon berkata-kata. Bait-bait indah yang ditulis selama ini tak pernah dicemari walau setitik keringat dan dibasahi setitis air mata. Sedangkan dalam agama Islam ini, ilmu tanpa amal adalah mustahil. Persaksian tanpa diikuti perbuatan adalah batil. Pemahaman yang tak mahu dibuktikan dengan ketaatan dikira sombong. Keyakinan tanpa gerak kerja dikira angan-angan.

Namun saya tahu, medan amal adalah medan yang susah. Saya pernah mencubanya beberapa kali. Ada waktu saya menangis, ada waktu saya terjatuh dalam godaan putus asa. Maka saya memohon agar menginjak ke umur 21 ini, saya dikurniakan kekuatan, direzekikan petunjuk dan bimbingan, dihujani bantuan dan keberkatan dalam setiap gerak amal. Kerana saya tahu saya tak mampu melakukannya atas kudrat sendiri.

***

Minggu kelima dan keenam seakan mempersiapkan saya untuk memahami apa itu maksud beramal.


Cuti minggu lepas saya direzekikan Allah untuk mengikuti program perkhemahan di Ajloun bersama teman-teman. Program tu mengambil tema Surah an-Nisa ayat 71 yang bermaksud;

"Wahai orang-orang yang beriman! Bersiap siagalah kamu, dan majulah (ke medan pertempuran) secara berkelompok atau majulah bersama-sama (serentak)."

Infiru (ayat perintah) adalah ayat yang menyeru kepada perbuatan, sedang sebelumnya didahului dengan ayat خذو خزركم yang bermaksud bersiap siagalah. Bermakna, orang beriman bukanlah orang yang disuruh menerjah, menyerang dan mara ke depan tanpa mempersiapkan dirinya lebih awal.

Apa yang lebih indah, setelah ayat infiru diikuti pula ayat penguat kedua iaitu; فنفرو ثبات او انفرو جميعا (dan majulah secara berkelompok atau majulh bersama-sama).

Ketika muqaddimah kem itu K.Syuhada ada menyebut tentang manusia memang tak mampu untuk bergerak sendiri. Kita sangat berhajatkan support system dalam hidup. Sekuat manapun kita, mungkin inilah titik lemah setiap manusia. Kita diciptakan untuk hidup bersama.

Ketika explorace, kami diajar tentang asas-asas dalam amal bersama; antaranya tajarrud (dan keikhlasan), pengorbanan, meminta izin, bermesyuarat, kepercayaan, saling menasihat dan memberi motivasi. Semua itu antara komponen yang menjamin gerak kerja seorang mukmin itu tersusun dan membawa kejayaan. Apa yang saya sangat suka adalah, semuanya diikat dengan ikatan hati yang bermula dengan ikhlas. Dan semuanya yang datang selepas itu akan menjadi mudah dan membuahkan rasa kasih sayang.


Saya berdoa dan mengharapkan semua mendoakan yang sama; semoga Allah merezekikan kita semua teman-teman seperjuangan dalam hidup ini, yang menguatkan kita ketika kita lemah. Yang membetulkan kita ketika kita silap, yang mengingatkan kita ketika kita lupa, dengan penuh cinta dan kasih, dengan niat yang serupa mengikat antara hati-hati.

Aamin.

***

Minggu ini juga, saya mengikuti dinner batch Grandeur. Timbalan pengarah program itu adalah rakan serumah saya. Dan dua lagi antara ajk pentingnya. Jiran rumah bawah juga antara ajk penting yang selalu tiada di rumah.


Ada masa saya melihat mereka tertawa, da masa saya melihat mereka menangis. Ada waktu mereka keluar malam dan pulang lewat untuk menghadiri meeting di tengah musim peperiksaan. Ia benar-benar meminta kesungguhan yang besar.

Namun di sebalik itu semua, saya yakin mereka mampu kerana ukhuwwah sesama mereka sangat padu. Saling menguatkan dan memberi semangat. Saling mendoakan dan berbagi nasihat.

Ketika menghadiri dinner malam itu, di samping nasi kerabu, kek coklat, cream puff, ABC yang sedap, dan disamping persembahan-persembahan yang menghiburkan, saya ternyata lebih gembira melihat senyuman rakan-rakan yang puas melihat hasil kerja mereka pada malam itu.

***
Semalam semalam juga direzekikan untuk mengikuti satu perkongsian Fiqh Musim Sejuk anjuran PERMAI. Penyampainya adalah pensyarah yang mengajar saya Fiqh Ibadat 1 iaitu Dr Adam Qudho. Seorang Dr keluaran IIUM. Kata rakan-rakan dia sudah terbiasa dengan pelajar Malaysia. Sudah beberapa kali pelajar di sini menjemput beliau memberi pengisian.


Kata beliau semasa mahu membuka majlis; "Yang menyatukan kita pada hari ini tidak lain adalah Din (agama) ini. Jika tidak bagaimana saya tahu tentang kamu dan kamu tahu tentang saya." Beliau melantunkan banyak doa ketika di akhir majlis dan menyertakan di dalamnya doa-doa buat ibu bapa. Saya menumpang di dalamnya kerana menyedari doa dalam majlis ilmu turut diaminkan para malaikat.


Kagum dengan kesungguhan guru ini. Apabila dia mengajar, dia mengajar untuk membuang kesulitan. Dia mengajar dan mendorong pelajarnya beramal. Kerap kali dalam kelas beliau mengulang tentang rahmat Allah dibalik tiap hukum fiqah.  Kerap kali dia mengingatkan bahawa memahami dengan benar dan mengamalkan sesuatu dengan benar adalah wasilah qudwah.

Syukur dikurniakan seorang guru yang dapat mengingatkan kami semua ini walaupun di bari-baris ayat yang mengajarkan hukum yang tidak bernada dan bersuara.

***
Maka dengan semua itu, menambah satu lagi angka pada umur diri moga seiring bertambahnya amal. Moga dikurniakan sahabat-sahabat yang dapat mengiring langkah buat umur-umur yang berbaki.

***
Pada keluarga terutama mak ayah yang tulus mendoakan dan menyayangi diri ini, semoga Allah terus merahmati keluarga kita. Merahmati dan memberkati hidup setiap kita dan mengizinkan kita berkongsi sesama kita dan kepada manusia. Terima kasih untuk segala perngorbanan, harapan, doa dan nasihat yang tak dapat dibalas dengan sebanyak manapun harta di dunia ini.

***
Pada guru-guru di di SK USJ 2 (2003-2006), SAIDE (2003-2006) SK ALAM MEGAH DUA (2007-2008), SMK ALAM MEGAH (2009-2013), MTKH (2012), guru-guru di Universiti Istanbul dan Universiti Yarmouk, tidak dilupa kakak Naqibah dan mentor-mentor di Akif Merkezi, Terima kasih atas segala tunjuk ajar, segala qudwah hasanah dan segala ilmu yang telah dicurahkan buat diri ini. Moga Allah memberi sebaik-baik balasan buat kalian.

***
Buat teman-teman dari dalam perut mak sampai la ni (hehe), yang ingat mahupun tidak, yang dah kahwin atau belum (uhuk uhuk), moga Allah rahmati persahabatan kita. Membuang segala dendam dengki dan persengketaan antara kita. Dan mempertemukan kembali di akhirat kelak. Saya pasti akan rindukan wajah ceria dan tawa kalian :)

***
Dan ramai lagi insan-insan yang Allah hadirkan tak kira tempat dan masa yang telah menambah makna dalam hidup diri ini. Sungguh saya mengharapkan kita semua direzekikan ke SyurgaNya ^_^

***

Image result for ‫اللهم اصلح لي ديني الذي هو‬‎
credit











Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...