Wednesday, 30 April 2014

Nisbah Sama rata kepada Keadilan.

Bismillah permulaan bagi segala kebaikan.

kredit: www.pakistantoday.com
Adil...satu benda yang sering dipertikaikan di dunia ini.

Satu prinsip mulia yang hanya akan ditegakkan oleh orang berakhlak mulia dan dengan taufiq dari Allah yang Maha Adil lagi Maha Mulia.

Di Malaysia...
Kita cuba mencipta perpaduan tapi meninggalkan satu-satunya prinsip terpenting.

Adil....

Tapi, apakah adil menurut definisi kita?
Sama ratakah?

Adil adalah memberi HAK kepada yang BERHAK.

***

Rakyat Malaysia...
Yang berbangsa cina dan india,
Hidup bersama dengan kita sudah lama,
bahkan umur saya dan rakan saya yang berbangsa cina dan india juga sama,
umur ibu bapa mereka yang lahir di Malaysia dan ibu bapa saya juga sama,
Taat setia mereka sama,
Ini tanah air mereka...tiada yang kedua,
Gelaran Imigran sudah tidak layak dipakai lagi,
Mereka juga manusia,
Berdarah merah,
Yang mencintai negara ini dan tidak sekalipun mengkhianati,

Yang Melayu pula...
bukan semua melayu tulen,
Dulu...
moyang saya orang arab pelarian berkahwin dengan orang melayu,
keluarga ini digelar melayu,
Diberi pula hak istimewa,
Dilayan bagai anak emas hendaknya.

Mengapa mereka masih dibayangi 'gelaran' imigran,
Berapa tahun lagi gelaran ini akan berterusan?
Kita digelar melayu...dulupun ada yang imigran,
Melayu itu disandar pada apa?
Dan rakyat pula disandar pada keadaan yang bagaimana?

Mengapa hak istimewa hanya ada diberikan pada sebahagian rakyat sahaja?
Sebahagian lain tidak?

Rakyat yang tertindas di negara sendiri,
Nak sambung belajar susah,
Nak beli rumah pun susah,
Mereka ditekan dan ditekan,
Perlukah sehingga dibela oleh negara lain?
Amat memalukan.

Sehingga nampaklah kesan jangka panjangnya,
Di sekolah,
Sejak kecil lagi...
Pelajar berbangsa Cina dan India lebih rajin dan kedepan dalam pelajaran,
Walaupun ada segelintir yang tidak,
Tapi selalunya yang dapat keputusan paling cemerlang setiap tahun adalah mereka,
Majoriti pelajar cemerlang di sekolah kebangsaan adalah mereka,
Mereka belajar dan belajar,
Kerana tahu betapa susahnya untuk dapatkan biasiswa,
Betapa susahnya dapat masuk universiti,
Ibu bapa mereka bukan semuanya orang berada,
Sehingga orang melayu kecut perut,
Takut dikuasai oleh mereka,
Sedangkan semuanya salah sikap kita...bukan mereka.

Pelajar melayu seperti saya dibuai lena manja,
Diberi jaminan masa depan yang luas,
Tak risau,
Kadang-kadang berlagak pula,
Sebab rasa diri boleh berjaya tanpa rendah diri dan usaha,
Semua ada...bantuan orang dalam pun ada,
Anak melayu didahulukan,
Di sektor kerajaan,
Ramai melayu,
Apabila terbukti penyelewengan sektor kerajaan di laporan audit negara,
Dilakukan kebanyakan oleh orang melayu...
Mungkin boleh dijawab bahawa ia bersangkut dengan peribadi individu,
Tapi faktor luaran banyak membantu,
Sejak dari kecil sehingga besar,
Dari orang biasa, pekerja awam, dan ahli politik,
Kita naik minyak juga akhirnya.
Sehingga mereka ada yang berasa cemburu dengan kita,
Kemudian kita katakan mereka mahu membangkit isu perkauman,
Mahu mencederakan kita...
Sedangkan...kita terlebih dahulu mencederakan mereka,
Mengkhianati hak asasi mereka,
Kemudian...layakkah kita untuk menyalahkan mereka,
Apabila mereka mengkhianati hak asasi kita?
Seperti yang berlaku di kebanyakan syarikat orang cina,
Yang menekan orang melayu.

***

Sedang mereka yang tertindas,
Mencapai puncak kejayaan dengan susah payah,
Menghargai makna usaha dan kesungguhan,
Kebanyakan yang menjual buah di pasar tani adalah bangsa cina,
Dan ekonomi akhirnya dapat diusahakan dengan luas oleh mereka.
Kebanyakan yang berbangsa india menjadi doktor dan peguam yang berkualiti,
Kerana mereka tidak lena di bangku persekolahan,
Mereka terpaksa jual rumah dan kereta untuk hantar anak sambung belajar,
Mereka usaha dan usaha sehingga mereka menjadi orang-orang kaya dan profesional.
Dengan penuh integriti dan makna.
Dan keluar dengan kualiti bukan kuantiti sahaja.

Sedang melayu yang diistimewakan itu,
Mengisi pusat-pusat pemulihan dan serenti,
Bekerja di kilang-kilang,
Merempat dan mengambil dadah juga kebanyakannya melayu,
Penjenayah juga kebanyakannya melayu,
Bukanlah faktor adil sahaja yang menjadi punca,
pendidikan agama, budaya, dan sistem juga terheret sama,
Tapi kita tetap ingin setiap masalah diselesaikan,
Dari akar umbinya.

Tak perlu semuanya sama rata,
Kerana tak semua memerlukan keperluan yang sama,
Dan sama rata tidak sesuai dengan kepelbagaian keperluan, budaya dan agama,
Cuma...penuhilah hak kepada yang berhak,
HAK bukan KEBATILAN,
Kita semua manusia...punya fikiran untuk memahaminya.

Jangan memperbodohkan manusia dengan kesimpulan dangkal,
Yang tidak memenuhi semua lapisan masyarakat,
Rakyat bukan seperti dulu lagi,
Suasana bukan seperti dulu lagi,
Kalau dulu...keistimewaan esklusif itu mungkin relevan,
Tapi adakah sekarang masih sesuai?
Adakah kita mahu melonggarkan akhlak, perpaduan, dan kualiti masyarakat?
Adakah kita mahu menikmati bencana kemunduran lagi?
Jawapan ada pada fitrah sendiri.

Tak perlu dibayangi takut pada orang,
Takutlah pada Allah...yang telah mencipta aturan sesuai untuk kehidupan.

Firman Allah s.w.t:


Lihatlah empayar yang telah berdiri lama dibumi dalam lipatan sejarah,
Temuilah bahawa keadilan adalah prinsip mereka,
Keadilan adalah akhlak mulia,
Akhlak mulia adalah jantung hayat sebuah ketamadunan.

Sekian,
Yang baik yakinlah dari Allah semuanya,
Yang lemah dan silap mohon maaf dan teguran hendaknya,
Assalamualaikum.


















Monday, 28 April 2014

Saling meratah...Enakkah?

Bismillah, permulaan bagi segala kebaikan.

Kredit: nadirkeval.tumblr.com

Banyak ayat-ayat Al-Quran dan hadith Nabi Muhammad s.a.w yang menyebut tentang penyakit yang ada disebalik 'komunikasi'

Antaranya adalah Mengumpat... orang kata mengumpat sinonim dengan orang perempuan. Tapi aktiviti busuk ini tidak mengenal jantina, ia hanya mengenal hati.

Jika hati buruk, yang lain buruklah juga. Jika baik, yang lain akan turut serta. (mafhum hadis)

***
Lemas jiwa ini bila bergelumang di tengah kumpulan yang rancak mengumpat. Antara ghairah dan rasa berasalah.

Mengumpat (ghibah) adalah satu keadaan bila kita mengatakan tentang seseorang yang tidak suka didengar oleh orang yang diumpat tersebut. Jika kita mengatakan perkara yang tidak digemari itu adalah sesuatu yang memang benar, ia adalah mengumpat. Jika tidak, ia adalah fitnah. (mafhum hadis)

Namun, ada perbahasan para ulamak tentang pengecualian daripada larangan mengumpat pada masa-masa tertentu seperti bertanyakan hukum, membela kezaliman, dan menegakkan kebenaran di tempat pengadilan.

MUSNAH AKHLAK

Mengumpat sudah menjadi trend masyarakat dan sangat berpotensi menjadi punca musnahnya akhlak dalam masyarakat.

Bermula daripada mengumpat dikalangan adik-beradik, ipar-duai, suami isteri, jiran tetangga, rakan kenalan, dan ia menular ke media cetak dan siaran televisyen tanpa pernah terlintas pun untuk berasa bersalah terhadapnya.

Hilang perasaan malu,
Hilang rasional,
Hilang adab,
Hilang rasa takut pada Allah.

Bila yang mengumpat adalah ibu, bagaimana rupa didikan akhlak buat si anak?
Bila yang mengumpat adalah ketua, bagaimana nak dibetulkan salah pengikut?
Bila yang mengumpat adalah orang agama, bagaimana nak diajak orang kembali pada agama?

Bencana mengumpat...menghalang akhlak diwariskan dan diteladani.

PENGKHIANAT KASIH SAYANG

Jika mahkota yang menyambung silaturrahim sesama manusia adalah kasih sayang, tidakkah kita sedar bahawa mengumpat adalah pengkhianat yang akan melucutkan mahkota yang mulia itu?

Berapa banyak keluarga yang porak peranda hasil daripada keringanan mulut isteri mencela suaminya dan suami mencela isterinya dihadapan anak dan rakan lainnya? Berapa ramai orang yang tidak bertegur sapa asbab terhiris hati kerana dijadikan bahan mengata?

TAMBAH PARAH PADA BARAH

Jika kita mengumpat kekejian yang benar tapi tiada faedah, sama saja seperti mempromosikan jenayah tanpa tujuan.

Mungkin kita rasa teruja mendengar dan bercerita keburukan orang kerana sensasi, bahkan ada juga yang menjadikan luahan perasaan sebagai alasan. Rasanya puas, tapi adakah ianya satu kepuasan pada ketenangan jiwa dan kejernihan fikiran apabila kita menjatuhkan air muka orang lain, merosakkan kemuliaan akhlak, membunuh sensitiviti taqwa, mencucuk jarum permusuhan, meniup angin dengki dan kebencian, menjadi pembantu ke arah kehinaan kepada orang lain? Apakah ada habuan yang baik pada kepuasan 'dalaman' itu yang akhirnya berakhir dengan bencana besar dalam kehidupan?

Mengumpat menjadikan kita sukar memegang prinsip yang adil dan jelas. Berdolak dalih dalam menegakkan kebaikan dan kebenaran. Ia menjadikan kita tidak aman kerana melihat dunia dengan pandangan keburukan kerana kita memilih untuk mencari dan mengumpulnya lebih awal.

Fikiran kita menjadi cacat, emosi turut terencat.

Jika hari ini kita mengata keburukan orang pada sekumpulan manusia, maka perkataan-perkataan itu akan menjadi rumah kita berteduh. Apabila rumah itu menemui kebinasaannya, maka kita yang berteduh didalamnya akan turut binasa. Ia menjadi pengalaman perit dalam mencari jalan pulang. Jika mengumpatnya kita mencipta masalah yang menyusahkan diri, ia akan menjadi sindiran dan ejekan pada hari kita tersepit dalam masalah yang kita sendiri menciptanya.

Ia akan menjadi pemberat pada sebuah keberatan.

NASIHAT ALAM

Akal dan hati ini diciptakan dengan fitrahnya. Seperti makhluk-makhluk lain juga.
Jika air jernih bercampur lumpur setitik sudah keruh, inikan fitrah manusia?

Jika tanah kekontangan air, tak ada pokok mampu tumbuh padanya.
Jika hati kita kekontangan rahmat Allah, tak ada kebaikan subur dengannya.

Air kotor tidak menyucikan malah mematikan,
Maka lidah yang menyampaikan perkara yang kotor juga boleh membunuh kehidupan.

Alam hanya berbicara menurut fitrahnya, dan kita berlumba-lumba menyalahi fitrah? Kita akan kalah juga akhirnya.

KITA TAK MAHU SALING MERATAH


Kredit: imamudaasyraf.com

Adakah saling meratah itu enak?
Meratah akhlak, kasih sayang dan ketaqwaan yang mematikan kehidupan ibarat meratah jasad yang mematikan nyawa.

Mukmin itu ibarat binaan, saling meneguhkan. 
Mukmin itu bersaudara, maka perbaikilah hubungan sesama saudara.

Sekian,
yang baik yakinlah dari Allah semuanya,
yang lemah maafkan saya hendaknya,
assalamualaikum.










Tuesday, 22 April 2014

Merawat kelemahan 'beramal'.

Bismillah permulaan bagi segala kebaikan.

"Kemas bilik tu cepat, kejap lagi saudara mara nak datang." Kakak menggesa adik-adiknya.

"Adoi, toilet kotor kot, kawan cina aku masuk tadi...malu aku." Tuan rumah jarang cuci toilet merungut dalam satu majlis di rumahnya.

Ya...jangan terkejut apabila perkara-perkara ini berlaku pada orang yang selalu share kalimah tazkirah di pencicip dan muka buku.

kredit: lamptoro.com

Saya cuba mencari-cari punca kepada gejala kelemahan beramal pada diri.

  • Panjang angan-angan...rasa macam ada banyak masa lagi.
  • Belajar tentang agama difokuskan sebagai bahan kajian, mengumpul kefahaman ilmiah.
  • Menjadikan Addinul Islam sebagai penglipur lara, sebagai pemulihan, dicari bila ada yang tak kena sahaja.
  • Sukar menundukkan nafsu kejalan yang diredhai Allah, nafsu sekadar untuk kepuasan dan keselesaan diri. Menjadikan proses beramal sesuatu yang tidak menyenangkan.
  • Selesa dengan kata-kata dan ilmu yang tidak selari dengan amal. Dirasakan itu sudah cukup bagus daripada tidak berbuat apa-apa. Beramal dijadikan kelayakan maksima dalam menjadi seorang muslim yang sepatutnya merupakan kelayakan minima.
  • Berasa selesa dalam kelalaian kerana aib berlaku lalai tidak nampak di mata makhluk, kerana pemerhatian Allah jauh dari pandangan hati, tidak terasa keaibannya.
  • Tidak menyesal apabila tidak berkejar-kejaran mencapai syarat-syarat "Mukmin" yang ada pada ayat-ayat Allah dan hadith-hadith Rasulullah yang kebanyakannya adalah 'amal' bukan cakap-cakap atau angan-angan.

Kita kehilangan sesuatu yang pernah wujud pada zaman para sahabat terawal di sisi Rasulullah s.a.w iaitu 'belajar untuk mengamalkan terus'. Perkara ini dinyatakan oleh Asyahid Sayyid Qutub dalam bukunya Ma'alim Fittoriq.

Inilah bencana yang merosakkan kemuliaan beragama. Menggagalkan fungsi agama kepada diri dan merosakkan pendangan agama di mata masyarakat. Sedangkan ajaran Allah itu adalah Rahmatan lil Alamin.

Kita memilih untuk mempercayai kebaikan dan kebenaran Agama Allah ini,
Tapi mengapa kita tidak memilih untuk mengamalkannya?

Adakah kita mengambil ia separuh-separuh?
Ibarat orang tidur berjalan di malam hari.
Kesedarannya telah mati...kakinya berjalan...matanya melihat dalam mimpi dan bayangan.

Rawatlah kelemahan beramal,
Kita terlalu banyak membazir masa.

Jika kita tidak mengejar masa, masa mengejar kita.
"Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu dalam keadaan rugi. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh, dan mereka berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran." (Al-Asr: 1-3)
Sekian,
Yang baik yakinlah dari Allah semuanya,
Yang lemah maafkan saya hendaknya,
Assalamualaikum.













Tuesday, 15 April 2014

10 Muwasoffat Tarbiyyah... Hayyak!!

Bismillah, permulaan bagi segala kebaikan.

Ready doh budok-budok??
Hola kaptennn!!

kredit: speroforum.com

Minggu ni saya nak berbulatan gembira bersama kengkawan...nak cerita pasal muwasoffat tarbiyyah cadangnya.

Tapi... jiwa ini masih cetek memahami matlamat sebenar pada jalan yang dipilih ini.
Mungkin boleh tulis di kertas, boleh reka di kepala.
Tapi untuk betul-betul menjiwai dan mengikhlaskannya (selesai) hanya kepada Allah... -_-
Apakah yang ibad seorang ini boleh mempersembahkan yang tebaik di hadapan Rabbnya?

Rasa macam syok sendiri pulak nak bawak 10 muwasoffat ni pada kawan-kawan ketika diri pun masih berjalan senget benget. (Macam ketam mengajar anak jalan lurus).

Tak apa, melaksanakan langkah ini adalah proses, jelaskan dulu input utamanya yakni 'niat'...persoalan yang masih berawangan di dalam otak, masih tak mendarat di dataran hati.

Seorang muslim kena ada kesedaran ini,
jika input benar dan betul, proses pun benar dan betul, biiznillah, ouptutnya juga akan benar dan betul.

Pendek kata, keseluruhan perkara perlu dipelihara. Untuk mensasarkan kejayaan pada matlamat yang berkualiti dalam kuantitinya.

Tarbiyyah...sebuah proses pendidikan, bukan sekadar pembelajaran.
(carilah perbezaannya ya)
  • Salimul Aqidah (Akidah yang sejahtera)
  • Sohihul Ibadah (Ibadah yang Sahih)
  • Qawiyul Jisim (Sihat tubuh badan)
  • Matinul Khuluk (Akhlak yang mantap)
  • Mutsaqqal Fikri (Luas pengetahuan)
  • Munazhamun fi Syu'unihi (Terurus dalam urusan)
  • Qadiran ala Kasbi (Mampu berdikari)
  • Harithun ala Waqtihi (Menjaga waktu)
  • Mujahah ala nafsi (Mampu melawan Nafsu)
  • Nafi'un ala Ghairihi (Bermanfaat untuk orang sekeliling)

Aslih Nafsak, Wad'u Ghairak...Bismillah!

Sekian,
Yang baik yakinlah dari Allah semuanya.
Yang lemah maafkan saya hendaknya.
Assalamualaikum.




Sunday, 6 April 2014

Mencari Pemahaman pengisian Seminar Lepasan SPM Semalam

Bismillah, permulaan bagi segala kebaikan.


Semalam, berkesempatan ikut kawan-kawan pergi Seminar yang diadakan oleh MURSHID untuk pelajar lepasan SPM dan STPM 2013. InsyaAllah, penulisan kali ni bertujuan untuk menyimpulkan apa yang difahami semalam supaya saya tidak hanya mendapat ilmu dalam keadaan tidak memahaminya.


Slot bersama Ustaz Zamri tak sempat kami ikuti kerana sampai lewat. Silap jugak tak timing elok-elok, sedangkan tahu berapa lama perjalanan naik komuter. Takpe, belajar daripada kesilapan adalah satu faedah juga kan?

                                       

Untuk slot Ustaz Zaharuddin, saya rasa seperti dinasihati oleh seorang ayah. Ustaz banyak bawa kami untuk bersikap "aware" atas setiap pilihan dan tindakan yang diputuskan khususnya dalam perjalanan lepas SPM ini.



Untuk slot Ustaz Hasrizal dan Xifu Naseer pulak, perbincangannya banyak membantu kami menyedari tujuan kehidupan dan cabaran-cabaran yang ada dalam liku hidup seorang pelajar. Semua itu memerlukan kita menyiapkan bekal diri dan menjadi orang yang kuat, berilmu agar tidak bodoh dan mudah diperbodohkan.

Antara perkara di kongsikan kepada kami adalah:

1) Mengenali sesuatu sebelum apa-apa tindakan.

Sebelum kita makan, biasanya kita tahu dulu apa yang kita akan makan kan?

Begitu juga bagi pelajar, sebelum memilih kursus, menadah ilmu dengan guru dan sebelum meletakkan apa-apa perancangan dalam urusan sambung belajar, sangat penting untuk meneliti apa yang ada disebalik setiap keadaan itu. 

Jadi, rajin-rajinkan diri buat kajian sendiri tentang siapa guru kita, apa yang kursus itu sediakan, cabarannya, skop pekerjaannya, keperluannya di era ini dan banyak lagi. Belilah dan rujuklah bahan-bahan yang dipercayai. Supaya kita dapat gambaran awal dan peta agar tak mudah tersesat dan disesatkan dalam perjalanan.

2) Berprinsip walaupun dalam mempertahankan kebenaran:

Dalam menimba ilmu, ada masanya kita bertemu dengan keadaan apabila sistem atau penetapan peraturan bercanggah dengan kebenaran berlaku di depan mata. Pada waktu itu, seseorang yang menghargai kebenaran pasti kedepan untuk mempertahankannya. 

Tapi cabarannya adalah, ada yang menolak dan ada yang menerima baik. Tapi semua itu tidak penting, kerana natijahnya bukan urusan kita. Yang penting adalah adakah kita telah melaksanakannya dengan betul dan dengan niat yang betul pula? 

Justeru, jangan takut dibenci, ditolak, dipulau atau matlamat tidak tercapai. Pastikan diri berakhlak dalam mempertahankan kebenaran walaupun penyelewengan kebenaran biasanya dilakukan oleh yang tidak berakhlak. Gunakan akal dan ilmu jangan mudah beremosi dan menurut ego. Kerana kita bangkit pada tempatnya dan harus dilaksanakan pada caranya. Bangkit mempertahankan kebenaran adalah prinsip, melaksanakannya juga perlu berprinsip.

3) Kena kuat, jangan jadi lembik.


"Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, 
sedangkan kamu adalah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu mukminin 
(orang yang sentiasa beriman)."

Firman Allah ini mensyaratkan 'keimanan' sebagai sebab untuk tidak menjadi lemah dan tidak bersedih hati.

Namun, pada pemerhatian kasar kebanyakan anak-anak melayu muslim di Malaysia sangat penakut dan fobia kepada persekitaran. Tak boleh usik sikit dah mengaku kalah.

"Saya rasa kamu ni tak layak la untuk jawatan ni, betul ke?" tanya interviewer.

"Ya...ya,ya. saya pun rasa macam tu." Balas longlai anak muda dan terus dibuang dari senarai.

"Weyh, aku rasa kursus ni susah kot, dahlah susah nak dapat kerja nanti. aku minat tapi...taknaklah." Luahan tipikal pelajar....

Keadaan ini lebih parah bila melibatkan hal negara malah hal akidah sekalipun.

"Eh, kau mana boleh guna kalimah Allah dalam kitab Kristian tu, nanti kami orang muslim keliru." Kata sesetengah masyarakat.

Aduhai, sampai begitu sekali kelemahan kita dalam menghadapai ujian di bumi yang memang merupakan tempat ujian ini. Sejauh mana iman kita untuk merealisasikan ayat di atas? Sejauh mana kepewiraan kita yang meyakini pertolongan dan bimbingan Allah dalam kehidupan jika kita benar mahu belajar?

Kita terlalu takut sehingga membiarkan kita diancam dari depan, belakang, atas dan bawah. Kita bahkan takut berhujjah untuk agama sendiri sedangkan kita mampu pula berasa mulia kerana dijamin syurga. Dahulu para sahabat seperti Zaid bin Thabit boleh menguasai bahasa yahudi hanya dalam beberapa minggu, tapi kini kesungguhan itu seakan berubah tempat, ramai pula orang yang tidak beragama Islam berkejar-kejar mempelajari bahasa arab dan boleh membaca akhbar arab tanpa baris hanya dalam masa enam bulan! 

Banyak kualiti orang mukmin yang disebut dalam al-Quran dan hadis, antaranya berbuat kerja dengan itqan, berakhlak mulia, menuntut ilmu dan banyak lagi kayu ukur seorang bergelar mukmin. Tapi dimanakah ia hilang dalam diri kita sebagai pelajar? Apakah agama yang dipelajari dalam buku teks hanya mengehadkan kayu ukur keimanan pada hafalan hadis dan rukun-rukun ibadah? Dimanakah asas yang pernah membangkitkan keberanian dan kekuatan ummat ini dahulu?


4) Jaga perkara prioriti dan asas.

Yang dahulu didahulukan. Mungkin kita tidak minat sesuatu kursus, tapi disebabkan adanya demand masyarakat, kita paksakan juga dan insyaAllah minat akan datang secara sendirinya. Dahulukan keperluan sebelum kehendak...benda mudah yang tak ramai orang endahkan.

Perkara asas seperti niat, persiapan mental dan emosi, matlamat, prinsip hidup, role model, rancangan jangka panjang dan pendek, pegangan agama, penguasaan bahasa, pengurusan kewangan dan masa, serta komitmen lain (berpesatuan dll) adalah antara perkara asas yang seorang pelajar perlu menguruskannya sebelum melangkah kaki ke alam pengajian yang lebih tinggi. 

Supaya tidaklah ada yang terkapai-kapai, senang terpengaruh, tak pandai mengurus masalah sediri dan mudah lemah semangat nanti. Ikutilah sunnatullah, kejayaan biasanya datang dengan perancangan yang rapi dan strategi yang mantap. Dengan izin Allah jua.

5) Cari cara untuk Mendorong diri Bersungguh-sungguh dalam Belajar.

Di zaman banyaknya distraction yang menghantui pelajar khusunya laman sosial, internet, couple (tolong tinggalkan), hang out dengan kawan-kawan serta kemudahan yang terlampau banyak, adakalanya menjadikan kita hanyut dibuai keselesaan ini. Pendek kata, comfort zone biasanya menjadikan manusia semakin lembab kerana tiadanya daya saing. Semua mudah belaka.

Jadi pelajar perlu kepada survival kit yang kebanyakannya bukanlah sesuatu yang menyenangkan, antaranya:
  • Disiplin: bermaksud sabar dengan benda yang kita tak suka untuk mendapat apa yang kita suka. Contoh;jaga masa, tidur awal supaya cukup tidur, ikut peraturan universiti, asrama etc
  • Cabar diri: keluar dari zon selesa. Contoh jika nak fasihkan bahasa arab kena pergi campak diri sorang-sorang dekat tengah-tengah masyarakat arab supaya kita dapat fasih cepat. Buat pilihan yang tak berapa popular tapi sangat berguna adalah salah satu cabaran juga.
  • Berani berdiskusi dengan pensyarah: Kalau tak tahu atau rasa ragu-ragu jangan malu bertanya atau berdebat. Sebab kalau dalam kelas pun tak tahu, belajar sendiri di akhir waktu tidak membantu. Berani berdiskusi adalah soft skill yang membantu pelajar evaluate pendapat yang nak disampaikan. Soft skill ini yang 'mahal' bila nak apply bekerja nanti.
  • Mesti fokus at least 85% dalam kelas.
  • Libatkan diri dalam aktiviti akademik dan kokurikulum. Sibuk tak apa asal dapat banyak ilmu dan kemahiran.
6) Fahamilah tujuan kita dihidupkan untuk bekerja atas muka bumi ini.

Bak kata Prof HAMKA:
Kalau hidup sekadar hidup, babi pun hidup.
Kalau kerja sekadar kerja, kera di hutan juga bekerja.


Jadi tak mungkin kita hidup di atas muka bumi ini hanya untuk berkerja, makan minum dan akhirnya mati. Adakah penciptaan manusia yang lengkap dan mengkagumkan hanya untuk hilang setakat di kuburan? Tidak. Pastinya Allah Yang Maha Bijaksana tidak menjadikan kita secara kebetulan dan sia-sia. 


Ustaz Hasrizal bercerita, pada hari-hari pertama di Sekolah Menengah Agama Izzuddin Ipoh di tingkatan 1, Guru di sekolah itu memberi ucapan awal dan memulakannya dengan soalan:

"Siapa kamu?"

Kebetulan Ustaz Hasrizal duduk di depan dan soalan tertuju kepadanya...lantas ustaz dengan spontan menjawab : "Saya Hasrizal"

Guru itupun memberitahu jawapan sebenarnya:
"Kamu adalah Abdullah! (Hamba Allah)"

Sejak hari itu, ia seakan-akan turning point bagi ustaz Hasrizal mengenal dirinya, peranannya dan terinspirasi sehinggalah terbitnya sebuah prinsip yang dipegang dalam diri ustaz:
"Aku tak boleh bayangkan aku membesar dalam keadaan muslim yang tak tahu Islam. Aku tak boleh bayangkan aku membesar dalam keadaan aku tak pandai bahasa arab"
Lantas, semangat itu yang mempengaruhi keputusan ustaz dalam perjalanan sebagai seorang pelajar.

Jadi kawan-kawan, kenalilah diri agar kita kenal siapa Tuhan kita. Dengan itu kita kenal apa tujuan hidup dan move forward untuk mencapainya. Tujuan hidup itu yang akan meneman kita dalam medan belajar ini, memberi semangat ketika tiada orang nak motivate kita, dan sebagai pendirian dalam apa jua persimpangan yang kita temui.


"Dan tidaklah aku ciptakan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepadaKu"
(Surah Az-Dzariyar:56)

Bila Allah berfirman tujuan hidup ini adalah Ibadah, bukan hanya bermaksud solat, puasa dan zakat. Semua perkara yang dilakukan dengan niat mendapat keredhaan Allah adalah ibadah. Ia perlu dilakukan dalam keadaan terbaik. Belajar juga boleh menjadi ibadah, maka lakukanlah dengan terbaik

Kredit

Kredit

Ketahuilah tujuan hidup supaya masa tengah syok nak belajar ni tak sia-sia.

***

Mungkin banyak lagi kot pengisian dia, tapi setakat ni je yang saya boleh kongsikan. 
Akhirnya, saya faham jugalah apa yang saya dengar walaupun tak sempurna.
(tu yang kena tulis balik tu, refresh minda bawah sedar)

Resolusinya... 
Segalanya bermula dengan anda!!
Sekian, semoga berjaya rakan-rakan seperjuangan semua.
Yang baik yakinlah dari Allah semuanya,
Yang lemah maafkan dan berilah tunjuk ajar hendaknya,
Assalamualaikum.
























Wednesday, 2 April 2014

Muslimkah MUSLIM itu?

Bismillah permulaan bagi segala kebaikan.

Pena kali ini dihunus jua melalui jari jemari yang menekan papan kekunci.

Entah berapa kali diri ini cuba menulis artikel, tapi selalu rasa tak bersedia. Tak cukup idea.

Tapi hari ini saya redah juga walau apapun perasaan yang menghalangnya.


"Cermin diri" adalah frasa mudah untuk meminta kita intropkesi diri. 
 Samakah kita dengan diri di cermin itu?

***

MUSLIM...apakah hari ini kita muslim sebenarnya?

Andai kata MUSLIM itu dikira pada ruangan di atas kad pengenalan atau borang-borang kemasukan, pasti ramai orang yang mengatakan dirinya muslim.

Tapi hidup ini tidak sedangkal itu.

Mana mungkin seseorang menggelarkan dirinya pelajar, kalau dirinya tak pernah belajar.
Mana mungkin seseorang menggelarkan dirinya pemimpin, tapi tak mampu memimpin.
Mana mungkin seseorang menggelarkan dirinya polis dan tentera, tapi tak punya kelayakan tak punya senjata.

Mana mungkin diri seseorang itu dinisbahkan kepada MUSLIM jika dia tidak hidup dengan ISLAM.

ISLAM adalah addin (cara hidup) yang berasaskan Syahadatain (dua kalimah syahadah).
Aku bersaksi bahawa tiada ILAH (yang berhak disembah, dicintai, ditaati) melainkan ALLAH, Dan aku bersaksi bahawa nabi Muhammad itu utusan Allah.

Sifirnya mudah, jika seseorang itu mahu menggelarkannya MUSLIM, haruslah keseluruhan kehidupannya tertegak atas asas ISLAM ini yakni dua kalimah SYAHADAH.

Jika kehidupannya bercampur aduk dengan jahiliyyah atau yang bertentangan dengan asas hidup muslim, bagaimanakah dia mampu menisbahkan ISLAM itu pada dirinya? Bagaimana dia mahu menggelarkan dirinya MUSLIM?

Kerana kekurangan itu dunia hari ini memperlihatkan berjuta ummat di dunia salah faham tentang ISLAM kerana penganutnya yang menggelarkan diri mereka MUSLIM tidak mengambil ISLAM sebagai satu prinsip yang mencerminkan ISLAM itu apa kepada dunia. Tanpa disedari, ketika masalah ummat menjadi-jadi kerana manusia meninggalkan agama, individu dalam ummat itu sendiri sebenarnya bermasalah.

Inilah perkara yang diketengahkah oleh Sayyid Qutub dalam satu penulisannya berjudul "Sistem Hidup".

Kebanyakan penganut Addinul-Islam pada hari ini tidak memahami secara mendalam apa yang ada di balik dua kalimah SYAHADAH.

Kebanyakan kita menjadikan SYAHADAH sebagai syarat selesa untuk jaminan ke syurga. Namun tanpa disedari mereka tak memahami apa yang ada pada syaratnya.

Apabila kita bersaksi bahawa ALLAH sahajalah yang layak disembah, dicintai, ditaati secara mutlak, maka haruslah sudah terbina dalam diri yang mengucapkannya MENGAPA ALLAH itu yang layak untuk segala pengabdian sehebat itu?

Mereka sewajarnya sudah mengenal ALLAH secara mendalam sehingga mereka meyakini dengan kukuh akan Kasih sayang Allah, KebesaranNya, KemuliaanNya yang menjadikan hidup si MUSLIM itu hanya terpaut pada ALLAH dalam kehidupannya. Tiada lain melainkan ALLAH.

Apabila kita bersaksi bahawa Nabi Muhammad pembawa risalahNya, maka tidak ada yang dapat menghalang kita daripada mencintai utusan ALLAH itu dan tak ada alasan dan halangan lagi untuk tidak membenarkan dan tidak mengikuti apa yang dibawa oleh baginda Nabi.

Kerana kita tidak ada satu pun yang terbit dari bibir baginda dan tindak tanduk baginda melainkan wahyu daripada ALLAH melalui RahmatNya, KasihNya, KebijaksanaaNya, KepemurahanNya yang mengetahui kelemahan kita jika ketiadaan pemimpin daripada kalangan manusia sebagai petunjuk.

Setelah ini semua menjadi pendorong dua kalimah syahadah itu diucapkan, maka apakah akan kita temui anak muda yang selalu culas dalam solat? Dua tiga minggu tak membaca al-Quran? Apakah nanti tidak ada dorongan untuk memahami al-Quran? atau dorongan untuk mencontohi sunnah?

Pokok tak goyang andai tiada yang menolaknya.

***

Mana mungkin sesuatu keyakinan dipilih untuk dipercayai tanpa ianya difahami?

Masalah utama kita adalah kebanyakan kita menjadi MUSLIM dalam keadaaan WARISAN, bukannya PILIHAN.

Jika kita memilih sesuatu barang untuk dibeli, pasti kita pilih yang elok, yang baik kualitinya, yang mampu kita miliki, yang mampu kita pakai dan gunakan.

Begitu juga dengan ISLAM, apabila kita MEMILIHNYA, kita pasti MEMAHAMINYA dengan jelas terlebih dahulu. Dan setelah ISLAM menjadi PILIHAN muktamad, pasti sahaja pilihan itu DIAMALKAN. Maka, layaklah dengannya si penganut yang memilih ISLAM itu menggelarkan dirinya MUSLIM.

Lihat sahaja pada bahasa arab,

Kalimah Majlis yang berasal daripada kata kerja JALASA (duduk) bermaksud tempat orang ramai duduk berhimpun.

Kalimah Masjid berasal daripada kalimah SUJUD bermaksud tempat orang ramai sujud mendirikan solatnya.

Kalimah Madrasah berasal daripada kalimah DURUS (pelajaran) bermaksud tempat orang ramai belajar.

Maka apabila MUSLIM itu berasal daripada kalimah ISLAM, mana mungkin MUSLIM itu tidak dapat mencerminkan apa itu ISLAM. Sedangkan kalimah itu sendiri menisbahkan diri kepadanya.

Apakah hari ini kita MUSLIM secara benar?

Tanyakanlah...apakah ISLAM sudah DIFAHAMI dan DIPILIH sebaiknya?

Fikiran kita, Jiwa perasaan kita, Akhlak kita, Tindakan kita, Jadual kita, Muamalah kita, Ibadah kita, Hiburan kita, Keluarga kita, Kebersihan kita, dan semuanya telah berjaya melayakkan kita bergelar MUSLIM? Apakah cahaya ISLAM sudah menyinari melaluinya?

Jika input seringkas itupun (dua kalimah syahadah) tidak difahami secara sempurna, maka apa jadi pada prosesnya, apa pula yang terbit pada outputnya?

Semak semula, kerana jika kita tidak memahami ISLAM, siapa lagi yang lebih dituntut untuk memahaminya? Siapa pula akan dikira sebagai pengamalnya? Siapakah yang mampu mebuktikan kebenarannya kalau bukan MUSLIM itu sendiri.

Apakah kita sudah muslim secara benar?

peringatan untuk diri sendiri dan semua.
Doakan saya.

Sekian,
Yang baik yakinlah dari Allah semuanya,
Yang lemah maafkan saya hendaknya.
Assalamualaikum.










Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...