Saturday 14 February 2015

Hari pertama bergelar mahasiswi

Bismillah, Alhamdulillah.

Semalam 13/2/2015, banyak betul perkara yang mengejutkan berlaku. Pertamanya, aku dikejutkan tarikh itu adalah tarikh hari jadi rakan aku Balqis Zainurin. Lupa sungguh. (Sorry...hehe)

Yang kedua lebih mengejutkan.

Kisahnya bermula apabila kami (aku dan 4 lagi rakan) mendapat email daripada universiti tentang tarikh buka dan tarikh tutup pendaftaran serta prosedur yang perlu diselesaikan segera dalam tempoh yang telah diberikan.

Kami mulanya risau kalau-kalau kami juga perlu melakukan sesuatu untuk masa depan kami ini. Kami risau kerana sudah banyak kali kami ke pejabat di fakulti untuk bertanyakan tentang kemasukan kami, tapi jawapan mereka adalah kami perlu habiskan dahulu kursus bahasa Turki kemudian daftar di Bahagian Bahasa di Sulaymaniye. Hampir saja kami malas nak bertanya lagi (kerana bahasa Turki aku masih kekurangan, dan setiap kali bertanya seakan sukar untuk dilayan), sehinggalah rakan aku memanjangkan hal ini pada guru bahasa Turki kami. Selcuk Hoca.



Hoca (Guru dalam bahasa Turki. Baca; Hoja) pula yang kelihatan lebih risau dari kami. Katanya nanti kita pergi sama-sama ke pejabat untuk uruskan hal ini. Malangnya keesokan harinya hoca mendapat panggilan atas urusan yang lebih penting. Jadi aku dan Aliya yang pergi sendiri pada hari itu.

Sewaktu kami bertanya, aku agak bengang mengapa jawapan masih sama sedangkan kata orang yang bertugas di Sulaymaniye kami boleh masuk kelas persediaan bahasa arab dengan kelayakan minimum B2 untuk kursus bahasa Turki kami. Dan apabila rakan aku bertanya tentang halnya pula, kami dimarah pula, katanya mana ada sistem pendidikan yang sebegini, mana ada kemasukan sebelum kursus bahasa Turki sempurna sepenuhnya. Kami dua orang pelajar asing, meninggalkan pejabat dalam keadaan tertunduk malu. Tak mampu membalas lanjut.

Aku sampaikan hal ini kepada Hoca. Dan katanya, "Tak mengapa, nanti saya buat research lagi."


Hoca aku yang seorang ni, bukan diupah ajen pun, kami bukan sesiapa pun dengan dia, dia hanya seorang guru bahasa Turki yang baru kami kenal 7 bulan yang lalu. Banyak salah silap, kerenah dan kenakalan kami padanya. Tapi, hampir semua persoalan yang kami tak mampu selesaikan dia akan bantu sehingga langsai. Daripada urusan pelajaran, pendaftaran, urusan bank, sehinggalah urusan nombor telefon pun telah dibantunya. Tanpa mengeluh, walaupun memenatkan dan kadang-kadang mukanya ditebalkan untuk membantu kami.

Aku tak tahu bagaimana untuk berterima kasih padanya.


Semasa sedang menikmati makan malam, telefon aku berbunyi, mesej baru sudah masuk. 

Aku membukanya, ternyata ia daripada Hoca. Katanya esok pukul 2 datang ke Fakulti. Dia memberitahu bahawa dia telah hubungi orang penting dan esok kami akan didaftarkan. 

Aku bingung sebentar.

Pendek cerita, esoknya setelah turun naik pejabat, berulang alik dari fakulti ke Suleymaniye dengan berjalan kaki, Sedikit lagi hendak naik suara dengan kerani di pejabat fakulti, akhirnya kami berjaya didaftarkan. Hoca agak marah, katanya kerani di pejabat tak mahu kerja lebih sikit daftarkan kami. Selepas pakai nama orang besar baru mereka terima. Hoca bimbang, kami terlepas tarikh dan lambat masuk. Dia berpesan, kalau nanti akan ada lagi masalah seperti ini, cepat-cepat maklumkan pada dia.

Nama kami dimasukkan ke dalam senarai pelajar di kelas persediaan bahasa arab (ilk B). Kelas kami kelas petang, maksudnya kami boleh pergi kursus bahasa Turki di sebelah pagi.

Setelah nama kami didaftarkan, orang itu mengatakan " Kelas kamu di tingkat bawah, kamu boleh pergi ke sana sekarang, tambahkan nama kamu pada guru bahasa arab kamu nanti. Kelas mula pada hari ini."

Haa!! Kelas mula hari ini?

Aku dan rakan aku terkejut. Kami tak mampu menyorokkan rasa cemas di riak muka. Mana tidaknya, kami akan masuk kelas hari ni? Berkenalan dengan orang baru? Dan belajar bahasa arab dalam bahasa Turki?

Kami menuruni anak tangga menuju ke kelas yang dimaksudkan. Aku dan Hamzatul gementar. Kami tidak bersiap mental dan fizikal untuk kejutan ini. Hoca sempat berseloroh "Betul kata kamu, saya ni dah macam bapa hantar anak pergi sekolah." Baiklah... aku sebak. Aku membalas dengan gurauan juga "Betul hoca, hoca sudah macam ayah saya,  mungkin lebih baik daripada ayah saya." 

Hehe, tetap saja ayah aku adalah lelaki terbaik di mata aku.


Sewaktu Hoca membawa kami sampai di pintu kelas, dia suruh kami masuk. Katanya " Masuk cepat, kamu kehilangan masa. Jangan lari. Saya tengok kamu. Kenalkan saja diri kamu dan masuk."

Hoca meninggalkan kami setelah melihat kami masuk kelas dengan selamat.

Itulah hari pertama aku bergelar pelajar di universiti. Hari aku bergelar mahasiswi. Mungkin tanpa ayah dan ibu untuk menghantar dan mendaftarkan aku, tapi alhamdulillah Allah mentakdirkan Hoca sebagai orang kedua.

Aku tak tahu apa pengajaran dia, dan aku tak rasa pun "perlu" dibaca. Aku sejak awal sudah berazam, blog aku bukan tempat meluah perasaan, bukan juga diari harian. Tapi aku mahu orang ambil pengajaran, kongsi hikmah yang telah aku rasakan melalui realiti. Sifat yang sepatutnya ada dalam setiap peribadi muslim.

-Mengasihi orang lain seperti kasihi diri sendiri
-Memahami kesusahan orang lain seakan pernah melaluinya.
-Akhlak yang baik adalah penyeri kehidupan
-Memberi yang terbaik pada setiap kesempatan.
-Meninggalkan kenangan yang baik-baik untuk orang
-Layan orang sehingga dia rasa seperti dialan orang paling istmewa di mata kita
-Sabar bila berurusan dengan manusia, tapi hak kena tetap ditegakkan. (Pssst... kawan aku kata, kalau tak susah bukan namanya belajar kat luar negara.)

Semua ini bukan kebetulan, semoga aku belajar daripadanya.

Terima kasih pada Mak Ayah, dan semua yang membantu aku sampai ke tahap ini. Aku tak pernah menjangkakannya. Hanya Allah dapat membalas jasa baik semua.

Begitulah kisah yang tiada signifikannya ini, hari pertama aku bergelar mahasiswi.


Teşekkür ederim Hocam!























Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...