Friday 24 March 2017

Belajarlah seperti air.

Bismillah.

Ujian vize saya dua minggu lagi. Namun minggu-minggu yang lepas hampir sahaja dipenuhi dengan segala kerja-kerja dan urusan-urusan penting, kecuali mengulangkaji pelajaran.

Senyum seperti kerang busuk.

Ini bukan pertama kali saya merasakannya. Perasaan risau, seriau untuk mendekati hari-hari peperiksaan kerana menyedari diri belum bersedia. Ada juga rasa sesal yang tak dapat disembunyikan. Rasa sesal kerana tidak menguruskan masa mengikut keutamaan.

Waktu-waktu ini, saya mencari talian hayat.

Ya, minta doa mak ayah, guru-guru serta rakan-rakan.

Saya hantar mesej kepada seorang kakak Turki yang saya hormati;

"Doakan saya supaya saya boleh belajar."

"Semoga Allah membantu kamu."

"Belajarlah seperti air."

Itulah nasihat ringkasnya kepada saya.

Belajarlah seperti air, ada banyak maksud.

Pertama, berterusan seperti air mengalir. Itu namanya istiqamah.

Kedua, menjadi sumber hidup buat yang lain. Itu namanya manfaat.

Ketiga, biarlah jernih agar membawa kebaikan. Itu namanya benar dan ikhlas.

Pada waktu sebegini juga, masih banyak program-program yang menggiurkan di luar sana. Program-program fenomenal yang cuba meyakinkan saya kerja belajar itu kerja biasa-biasa. Sedangkan belajar itu kerjanya seperti kerja air. Kerja mulia dan lebih utama. Saya perlu menilai keutamaan saya semula.

Melihat jam yang waktunya tidak pernah menunggu diri ini, dan kebetulan saya demam dan selsema secara tiba-tiba, saya yakin akal tumpuan bukan lagi untuk perkara sampingan. Saya perlu mula belajar laju-laju. Lajunya seperti air. Moga sampai pada tujuan akhir.









Friday 17 March 2017

Kerana sisi itu belum ku tahu...

Bismillah.

Allah ciptakan manusia dengan dua sisi, ruhani dan jasmani. Tika Allah berkata-kata dengan manusia dalam wahyuNya, ada waktu Dia mengatakan hal-hal jasmani. Dan tidak kurang Dia menyentuh hal-hal ruhani.

Dia juga melengkapkan agama ini, bukan hanya untuk keperluan jasmani, malah turut meliputi keperluan ruhani.

Jasmani adalah badan, mudah dilihat. Ia meliputi pergerakan dan tindakan, mudah untuk dibuat penilaian. Dan kerana itu, manusia memperuntukkan banyak masa mengkaji dan mendalamai hal-hal jasmani ini. Sehingga, banyak ilmu, banyak pembangunan, banyak manfaat yang diperoleh darinya.

Namun ruhani, adalah ciptaan yang tidak nampak. Malah kerana itu jugalah kewujudannya dipersoalkan. Ramai yang menafikan, ramai juga yang meraguinya. Kerana ia tidak nampak, manusia selalu terlepas pandang. Tidak dapat melihat bukti. Tidak dapat benar-benar merenung dan menghayati, apatah lagi memberi masa yang khusus untuk memperbaikinya.

Namun ruhani itu dikatakan tempat letaknya hayat. Jasmani hanya rangka. Ruhani itu menjadi kepala, ketua, membentuk peribadi jasmani.

Jasmani manusia sama, lengkap dan serupa. Namun sifat masing-masing berbeza. Kerana ruhaninya berbeza.

Tetapi kerana Ruhani itu halnya tidak nampak, kita sering lupa kewujudannya.

Ketika berhubung dengan manusia, kita juga berhubung dengan ruhaninya.

Ketika kita membangun jasmani manusia, ruhani juga menunggu haknya.

Manusia berasa jasmani itulah tempatnya perpaduan. Dia memberi dan dialah menerima. Namun asalnya ruhani itu yang menjadi pengawalnya. Kerana itu ketika manusia hairan mengapa masih ada yang berbeza, rupanya ruhani mereka tidak mahu bersama.

Ruhani itu nafsu,
Ruhani itu hati,
Ruhani itu dorongan sehingga jasmani mahu melakukan.

Semakin lama diri ini hidup di bumi Tuhan, diri ini menjadi takut untuk menilai manusia. Kerana diri ini belum tahu sisi yang satu lagi.. sisi ruhani.




Monday 13 March 2017

Tujuan pendidikan.

Bismillah.

Jumaat lepas, saya sempat menghadiri kelas "Pendidikan Agama". Walaupun lewat 15 minit dan masuk kelas dalam keadaan tercungap-cungap, saya tidak menyesal berkejar ke kelas itu. Pengisiannya cukup penting.

"Apa keperluan pendidikan?" Tanya guru kami.

"Mencari Redha Allah?" Jawab seorang rakan kami.

"Memperbaiki kehidupan" Jawab yang lain pula.

Guru kami tersenyum. Katanya jawapan yang diberikan temanya sama. Keperluan pendidikan atau tujuan utamanya adalah "Mencapai kebahgiaan.". Tidak kiralah sama ada mahu mencari Redha Allah mahupun membangun kehidupan, akhirnya melalui pendidikan, manusia mencari sesuatu yang dapat membawa kepada kepuasan dan kebahagiaan diri.

Ia membuka mata saya. Seakan ada satu hipotesis yang tiba-tiba wujud dalam kepala ini;

"Pendidikan yang tidak membawa kepada kebahgiaan adalah pendidikan yang bermasalah."












Wednesday 8 March 2017

Pembahagian Tuhan , Pembahagian Manusia, Lelaki, dan Wanita.

Bismillah.

nasrettin hoca ve cocuk ile ilgili görsel sonucu
credit gambar
Satu hari 4 orang anak kecil datang kepada Nasrettin hoca sambil membawa satu plastik berisi kacang walnut. Mereka berkata: 

"Hoca, kami tidak dapat membahaginya antara kami. Jadi bantulah kami membahaginya."

Lantas jawab Hoca:

"Kamu hendak pembahagian Tuhan, atau pembahagian manusia?"

"Tentu sahaja pembahagian Tuhan!" Jawab anak-anak itu dengan yakin.

Hoca membuka plastik itu dan mula membahagi kacang kepada anak-anak itu.

Anak pertama mendapat 5 genggam kacang, anak kedua mendapat tiga, anak ketiga mendapat dua dan yang terakhir tidak mendapat apa-apa. 

Anak-anak kecil itu mula berubah air wajah mereka. Mereka berkata;

"Hoca, pembahagian jenis apakah ini?"

Jawab Hoca;

"Pembahagian Tuhan begitu kerana mahu menguji hambaNya. Ada yang diberi banyak. Ada yang diberi sikit. Ada yang tidak mendapat apa-apa. Kalau kamu mahu pembahagian manusia, sudah tentu saya berikan sama rata."

***

Agak-agak, apa yang dapat anak-anak itu pelajari? 

Pembahagian Tuhan unik.

Satu individu mustahil untuk menggantikan tempat individu yang lain. Tuhan membagi-bagi manusia dengan kelebihan dan kekurangan yang berbeza-beza. Walaupun antara dua orang kembar, kedua-duanya sangat berbeza. Mungkin yang satu itu panas baran namun tegas. Yang kedua mungkin lemah lembut namun penyayang. Mereka saling belajar survival kehidupan dari satu sama lain. 

Yang panas baran belajar perlunya kepada sifat penyayang. Yang lemah lembut juga belajar pentingnya untuk kadang-kadang bertegas. Yang satu memenuhi kekerurangan yang lain.

Pembahagian Tuhan tidak salah.

Hari ini, ketika ada orang saling berdengki atas hal rezeki, mungkin kita masih belum yakin pemberian Allah itu sebaik-baik pemberian. Pemberian Allah tidak tersalah tulis mahupun bernama malang. Satu rezeki tidak akan datang jika Allah tidak mengizinkannya. Juga tidak akan terhalang jika Allah telah menuliskan ianya untuk kita. Maka apa yang kita dapat, itulah yang paling tepat buat kita.

al-Fatir ayat 2 ile ilgili görsel sonucu
"Apa jua rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesiaupun yang dapat menahannya, dan apa jua yang ditahan Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat menyampaikannya sesudah itu. Dan Dialah sahaja yang Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana." (al-Fatir ayat 6)
Namun, kita juga tidak pernah terlepas daripada sifat anak kecil dalam kisah tadi. 

Kita mahukan sama rata. Kita inginkan keharmonian. Kalau boleh biarlah semua mendapat nikmat yang sama. Janganlah ada yang kurang atau yang berasa tiada. Jika berbeza sedikit, kita mula mempersoalkan segalanya. Kita meragui keadilannya. Kita marah dengan hakikatnya. Sehingga lupa ada satu hikmah di sebalik pembahagian yang tidak sama itu.

Pembahagian Tuhan itu ujian.

Berapa kali kita diingatkan dalam al-Quran, bahawa dunia ini ujian. Mahu menguji bukti keimanan. Mahu menguji siapakah yang paling baik amalannya. 

Agama ini seakan sudah memberi segala bimbingan buat hidup manusia. Siapa benar-benar meyakini akan melaksanakannya. 

Kita diajar yang lebih membantu yang kurang, yang kuat melindungi yang lemah, kita diminta menyayangi setiap makhluk, menghormati dan menjaga maruah, harta, akal, nyawa, dan agama semua insan di dunia. Kita diajar memenuhi tanggungjawab sesama, memberi kasih sayang dan pendidikan kepada anak-anak, memberi keutamaan buat orang tua.

Pembahagian Tuhan perintah keadilan

Semua itu tidak mungkin terlaksana tanpa saling berbagi. Betullah kata Ustaz Pahrol, hanya dengan memenuhi hak antara satu sama lain, kita akan mendapatkan hak kita.

Bermakna pembahagian kacang Nasrettin Hoca tadi menyuruh anak-anak itu berfikir bagaimana untuk berbagi sesama sendiri, agar yang kurang menjadi cukup, yang tiada menjadi ada. Kata kuncinya berbagi. Berbagi dalam dunia hari ini boleh jadi kita memberi secara sukarela. boleh juga jadi kita memenuhi tanggungjawab yang sedia ada.

***

Lelaki dan Wanita

Hari ini, masyarakat semakin sibuk mempertikaikan kedudukan wanita dalam masyarakat. Kerana wanita hari ini berasa tidak diadili. Hak mereka tidak dipenuhi malah dinafikan. Tambahan pula ada yang mengambil kesempatan dengan mengatakan wanita tiada nilai, lemah dan bersalah atas segala masalah yang berlaku. Dalam keadaan ini, wanita yang dizalimi mula mempersoalkan pemberian Tuhan. Mereka mula berusaha untuk duduk sama taraf dengan kaum lelaki. Yang sama sekali tidak akan dapat diperolehinya.

Masalah ini terlalu menakutkan, semakin hari wanita semakin diperlekehkan. Nilai mereka dijual dengan harga yang murah. Hanya kerana pembahagian Tuhan berbeza untuknya.

Pemberian Tuhan itu unik, lelaki tidak punya kelebihan yang wanita ada. Kelebihan psikolojinya, ketahanan jiwanya, kecekalan dirinya, sifat pengasih terhadap anak-anak, malah lelaki juga lahir dari rahim seorang wanita.

Pemberian Tuhan tidak salah.  Wanita memiliki fizikal yang lemah berbanding lelaki, namun tanggungjawab mereka tidak sebesar tanggungjawab lelaki. Dalam ibadah ada keringananan untuknya. Dalam institusi keluarga ada kelebihan buatnya. Dalam kekurangan badannya ada kebaikan buatnya.

Pemberian Tuhan itu ujian. Wanita juga ada ujian yang lelaki tidak hadapi. Untuk beliau melakukan yang terbaik. Beliau juga ada tanggungjawab yang lelaki tidak pikul. Untuk beliau memenuhi hak-hak yang lelaki tidak dapat penuhi. Begitu juga, lelaki memiliki ujian mereka sendiri.

Pemberian Tuhan perintah keadilan. Peranan wanita tak dapat digantikan oleh lelaki. Hak dan keperluan lelaki sebahagian besarnya ada pada peranan wanita. Begitu juga hak wanita, sebahagian besarnya ada pada peranan lelaki. Jika salah satu tidak berperanan, maka wujudlah yang namanya ketidakadilan. 

Di saat ada yang lebih selesa wanita duduk dirumah, menjadi suri rumah, cukup umur kahwin dan menjadi ibu kepada anak-anak, mengapa tidak lelaki juga diminta memperbaiki peribadi, menjadi seorang pemimpin yang bertanggungjawab dan melindungi, menjadi pembimbing wanita dalam kehidupannya?

Kerana lelaki dan wanita itu di akhir hari hidup dalam realiti yang sama. Yang satu sama ada menguatkan atau melemahkan yang lainnya. 

Pendek kata pembahagian Tuhan nampak berbeza, tapi menghasilkan kenikmatan yang sama. Jika manusia itu berbagi.
















Tuesday 7 March 2017

Seakan alam mahu berkata.

Bismillah.

Setitik pewarna jatuh ke air,
Tak sekelip mata kan berubah warna,
Ais batu tidak terus menjadi cair,
Jika pancaran mentari sebentar saja.

Seakan alam mahu berkata,
Setiap satu yang baru bermula,
Mahu dibina perlu bertangga,
Mahu merubah perlukan masa.

Mungkin ada kalimah keramat,
Dalam sabar perlulah thabat.

Harapkan batu menjadi rumah,
Manakan jadi tanpa diukir,
Harapkan pohon lebat berbuah,
Manakan mahu tanahnya pasir.

Seakan alam mahu berkata,
Yang menjadi itu maknanya mengena,
Pada cara, tempat dan masa,
Jika belum musibah jadinya.

Mungkin ada kalam berhikmat,
Dalam melangkan biarlah cermat.






Sunday 5 March 2017

Bila Tuhan mengajar Adab

Bismillah.

Nabi seorang yatim,
Lahirnya tiada ayah,
Besarnya di kampung Halimatussa'diah,
Bersama ibu sebentar sahaja,
Dijaga datuk ketua negara,
Sibuk dirinya tidak terjaga,
Bapa saudara begitu juga,
Merantau berdagang ramai anaknya.

Namun si Muhammad yang mulia nama,
Yang tidak sempat diasuh sempurna,
Tetap mulia akhlak budinya,
Sempurna sopan santunnya,
Bila dewasa dia bersabda;
Tuhan mengadabkan aku,
dengan sebaik-baik didikan.

Dalam al-Quran sahaja,
Ayat tentang adab merata,
Adab dengan tuhan,
Adab dengan hamba,
Jelas maksudnya,
Adil tujuannya,
Kini manusia cuba bertanya,
Adab itu apa?

Adab itu,
Bukan tafsiran manusia,
Yang berkehendak dengan dunia,
Manusia itu banyak lemahnya,
Akalnya tidak melangkau masa,

Adab itu,
Asasnya bukan kebebasan,
Nilainya sebuah keadilan,
Memberikan hak,
Pada yang berhak.

Manusia yang sering menzalimi diri,
Mana layak memberi definisi,
Kepada kalimah adab yang mulia,
Yang hanya Tuhan berhak mengajarkannya.

Oh manusia yang haru-biru,
Ke hulu ke hilir arah tujuanmu,
Mengikut orang-orang terdahulu,
Menjadi hamba buat sesuatu..

Mengapa tidak dalam beradab,
Kita hamba kepada Rabb,
Yang haluannya satu,
Tujuannya satu,
Kerana di akhir hari,
Adab itu membentuk modal insani,
Yang jika ianya satu,
Wujudlah harmoni.

Oh manusia yang suka bertanya,
Itu dan ini, mengapa dimana,
Mengapa tidak kita bertanya,
Adab itu asalnya dimana?

Oh manusia,
Bila Tuhan mengajar adab,
Pernahkah dikau lihat hasil didikanNya,
Muhammad yang yatim itu sahaja?
















Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...