Friday 21 March 2014

Ibrah Pasca Keputusan SPM

Bismillah permulaan bagi segala kebaikan.

kredit: www.wallpaperpimp.com

Alhamdulillah, semalam keputusan SPM sudah diambil.

Agak baik mungkin...

Orang sekeliling kata, mereka bangga dengan keputusan itu.
Sebab katanya, saya tak pergi tuisyen pun,
Mereka kata saya mampu dapat keputusan sebaik ini walaupun menghadapi banyak kesukaran.
Tapi tak seberapa pun sebenarnya.

Ya...itu semua mereka yang kata.
Sedangkan apa-apa jua yang dapat hari ini adalah di dalam keizinan Allah jua.
Bukan mahu lari daripada logika manusia.
Tapi sejujurnya, kita tak akan mampu kalau bukan dengan izin dan rahmatNya.
Tak kiralah pandai manapun, kalau tiba-tiba sakit masa menjawab, tak dapat jawab juga kan?

Sejujurnya, saya malu sendiri,
rakan-rakan seperjuangan dapat straight's A belaka,
yang lain pun boleh tahan juga cemerlangnya.
apapun saya tumpang gembira,
Dalam hidup ni jangan ber "ghibtah"
Walaupun ianya diharuskan.
Kerana bila sahabat-sahabat itu sudah menjadi sebahagian dari kehidupan kita,
Maka kelebihan mereka pun kita tumpang juga.
Jadi gembiralah bila rakan-rakan mendapat nikmat berganda.

Saya malu pada teman-teman yang berjaya,
Tak kisahlah mereka tuisyen atau tak,
Tapi saya yakin bahawa usaha saya tak setanding mereka,
Saya sedar bila perjalanan selama di tingakan 4 dan 5,
ibarat tayangan video di depan mata,
Saya banyak main internet,
Banyak tidur,
Tak buat homework,
Tak yakin diri bahawa saya boleh faham,
Tapi sebenarnya saya boleh bila hampir nak SPM,
sayangnya waktu tu masa dah tak cukup.

Saya sedar...malas, bertangguh, sukakan yang sia-sia dan pesimis tu bahana belaka.

Semua itu saya dah tahu tak baik,
Tapi alasan-demi alasan menutup kebenarannya.
Itulah...jangan banyak beralasan.

Rasulullah s.a.w bersabda mafhumya:
  • Sebaik-baik amalan sedikit tapi berterusan,
  • Antara kebaikan dalam agama Islam adalah meninggalkan perkara sia-sia,
  • Jangan tunggu waktu petang bila kita di waktu pagi,
  • Allah menyukai orang yang bila melakukan urusan, dia lakukan secara itqan.
  • Siapa berjalan (usaha) menuntut ilmu, akan dimudahkan jalan ke syurga.
Itulah antara hadis-hadis yang pelajar ini tahu, tapi buat-buat tak tahu...

Sesal kemudian, apa gunanya?
Ada gunanya,
Sebagai peringatan dan modal kesedaran,
Untuk menempuh hari-hari mendatang.

Result di atas kertas tu,
Tidak mengambarkan secara penuh siapa kita.
Bijak pun bukan disitu letaknya.
Bijak itu bila kita ada ilmu, ada kefahaman,
Cekap dan teliti dalam menggunakan.
Tak kiralah dalam bidang apa pun.
Action speak louder than words.

Ulang, sijil itu tak menggambarkan siapa diri kita sebenarnya,
Kadang-kadang ada orang meniru, atau graf pemarkahan diubahsuai,
Soal akhlak dan sistem manusia terheret sama,
Tapi kebijaksanaan adalah soal "kita"
Kita yang berusaha untuknya,
Jangan disalahkan luaran,
Luaran boleh mempengaruhi pencapaian kita,
Tapi kita sendiri bertanggungjawab untuk menerima atau tidak pengaruh itu.
Jadi jangan gembira sangat dengan kertas kecil itu,
Jangan kecewa sangat dengannya.

Perjalanan ilmu itu panjang,
Ia adalah modal seorang Khalifah dalam menunaikan amanahnya,
Memakmurkan dunia,
Bukan dunia memakmurkan manusia,
Bila namanya "amanah",
Amanahlah dalam melaksanakannya dihadapan Allah.
Lakukan dengan baik,
Tak kira apapun caranya dan kosnya.
Setiap perjalanan hidup adalah ilmu itu sendiri,
Malah, perjalanan SPM itu juga merupakan ilmu yang tak ada dalam subjek di sijil itu.

Jadi.... bangkit dari lena itu,
Kesalahan hari ini adalah bonus bagi kesempurnaan hari esok,
Bagi yang belajar darinya.
Kejayaan hari ini, gunakan sebagai penyunting semangat hari esok,
Merendah hatilah menerimanya,
Allah yang beri kita keupayaan pergi sekolah dengan mudah, beli buku, ada akal, ada cikgu,
Semua itu tanpa bayaran, 
Syukurilah, dekatkan diri denganNya.

Masa di universiti nanti....banyak lagi cabarannya.
Pandai-pandai cari kawan,
Yang boleh pengaruhi kita pada kebaikan,
Sebab masa tu tak ada warden dan mak ayah nak tengokkan,
Pandai-pandai kejar masa, jimat belanja,
Masa tu tak ada jam loceng, tak ada siapa nak tengokkan simpanan kita.
Hormat guru, belajar cara Nabi Musa berguru dengan Nabi Khidir dalam surah al-Kahfi,
Nak menadah air, kena di dataran yang rendah,
Nak mendah ilmu, merendah dirilah.

Itu baru sikit...banyak lagi.
Yang penting, dengan segala kebaikan itu ikhlaskanlah hati.
Mengharapkan hanya "Redha" Allah sebagai ganti,
Sebab jika tidak...siapa yang rugi?

Pasca SPM...tamparan buat diri.
Tapi tak macam kena tampar buaya lah... :)

Doakan saya,
Yang baik yakinlah dari Allah semuanya,
Yang lemah mohon maaf hendaknya.
Assalamualaikum
















Wednesday 19 March 2014

Keputusan SPM..Runsing atau Fikir?

Bismillah, permulaan bagi segala kebaikan.

Esok, 20 Mac 2014 insyaAllah. Keputusan rasmi SPM akan keluar.

Dalam hidup ni, perkara-perkara besar datang bersilih ganti. Dan hari esok adalah satu daripada perkara-perkara besar itu bagi kami batch 1996. Sudah menjadi lumrah, perkara besar pasti mengundang kerunsingan.

kredit: webneel.com

Perkara-perkara besar ini bagi setiap orang berbeza rupa dan rasanya. Yang paling utama adalah perbezaan natijahnya daripada setiap peristiwa ini. Kata orang, bijaksana tidak terletak pada bijaknya manusia menyusun tindakan, tapi kebijaksanaan terletak pada kebolehan manusia untuk melihat kesan tindakan itu.

Kalau kita sedari, setiap peristiwa besar ini pasti datang dengan satu "terguran" bahawa kita sebenarnya sudah berada pada satu tahap yang berbeza. Sama ada kita sudah berubah atau kita perlu berubah untuk menghadapinya.

Cara kita berfikir, berinteraksi, berpendapat, memilih dan sebagainya sudah berbeza.

Semoga perbezaan ini kita tempuhi dengan "akal", memikirkannya dan mengambil pengajaran darinya. Supaya perbezaan yang merubah kita ini menjadi wadah membentuk "ulul albab" dalam diri. Bukan semberono melalui kehidupan yang merupakan sebuah rahmat dan hikmah pada setiap saatnya. Merugilah mereka yang melalui perubahan ini tanpa mengambil apa-apa ilmu daripadanya malah tidak menyedari bahawa perubahan itu ada!

Firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 190-191:

kredit: keranakasihnabi.blogspot.com

Menerusi ayat Allah di atas, ia seolah-olah memberi tahu pada kita bahawa perkara-perkara semulajadi di sekeliling kita sebagai sesuatu yang "besar" untuk difikirkan. Hakikatnya, berapa ramai sahaja yang sudi memikirkannya dan mengambil pelajaran daripadanya.

Mungkin kerana bagi kita, perkara-perkara "lumrah" ini kelihatan biasa-biasa saja. Adapun mereka yang memikirkan, berapa orang pula yang benar-benar dapat melihat "kebesaran" Allah Yang Maha Besar itu padanya? Kebanyakan manusia, melalui perkara-perkara besar ini dengan sia-sia.

Bagi kami batch 1996, esok merupakan perkara semacam "besar" bunyinya. Maka berfikirlah akannya, agar peristiwa-peristiwa "besar" yang lumrah di pandangan mata itu tidak sia-sia.

Apa yang perlu difikirkan?

Dua tiga orang kawan yang saya temui, fikirannya hanyalah mahu keputusan baik. Sambung belajar dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan sebagainya. Kahwin dan kerja. Beli kereta mewah. Dapat gaji besar untuk sara hidup. Dan memastikan anak-anak mereka juga dapat kehidupan yang selesa. Dengan itu anak-anak juga dikerah "belajar rajin-rajin" macam mereka.

Itu sahajakah tujuan kita diciptakan di dunia ini?

Mengulangi perkara yang pernah diulang.

Sampai bila kita perlu berada dalam "life cycle" ini yang melayan manusia seperti penghasilan robot di kilang-kilang?

Sampai bilakah kita hanya menjadi "Pak turut" kepada arus dunia? Hanya ikan yang mati sahaja yang akan hanyut dalam arus sungai yang sama.

Adakah kita sudah mati?

Fikirkanlah!

Khusus kepada rakan-rakan batch 1996 yang sangat-sangat dikasihi.

Kita telah melalui perkara-perkara besar dalam hidup ini bersama-sama.

Kalau dulu, jatuh sewaktu larian merentas desa sampai terkoyak seluar dilutut adalah perkara yang besar pada kita. Daripada itu, kita belajar untuk meminimukan risiko untuk jatuh. Kita tahu mengolahkan cara berjalan, cara untuk "control macho" dan "cool" di sekolah menengah. Kita berubah dan membawa nilai daripada perubahan itu. Walaupun perkara itu sudah menjadi seakan-akan perkara "biasa" bagi setiap orang, tapi hanya orang yang "berfikir" menganggapnya sebagai peristiwa luarbiasa. Sampai sekarang kita masih boleh bangga apabila mengingatinya dan bercerita pada kawan-kawan lama akan pahit manisnya.

Begitulah dalam kehidupan dunia.

Keputusan cemerlang yang diimpikan, rumah dan kereta yang selesa, kerja yang bertaraf profesional dan gaji yang besar yang kita cita-citakan adalah perkara "besar" dan hampir semua orang mencita-citakannya. Tapi daripada perkara sebesar itu, berapa ramai yang boleh keluar menjadi lebih baik daripada kebiasaan? Berkhidmat secara sukarela untuk masyarakat? Menjadi anak yang soleh dan berbakti ketika sudah dewasa? Menjadi seorang professor, pegawai tinggi dan doktor yang berbudi bahasa dan berakhlak mulia? Menjadi penyunting  perubahan buat generasi yang bakal ditinggalkan? Dan berapa ramai yang mahu melakukannya dengan niat kerana Tuhan?!

Hanya mereka yang berfikir dapat melakukannya. Menjadikan sesuatu yang nampak "biasa-biasa" menjadi sebuah nilai yang sangat istimewa. Mereka yang melaluinya sekadar "lalu" sahaja, mereka tak tahu apa manfaat bagi satu-satu perkara, apatah lagi yang penting untuk diambil kira. Maka bila mereka tiba ke penghujung nyawa, tanpa sedar, kerugian itu disesali ibarat sebuah neraka.

Maka fikirkanlah sebaiknya, agar kita tahu "kebiasaan" yang semacam "besar" itu ada "nilai besar" padanya. Agar kita hidup bukan sia-sia.

Bak kata ulul albab dalam ayat tadi:

"Wahai Tuhan kami, tidaklah engkau menjadikan perkara ini dengan sia-sia, Maha suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka"

Esok, bawalah hati kita untuk bertenang. Muhasabah segala ranjau yang telah dialui selama ini. Apa yang sudah kita kecapi? Yang pasti kita tak mahu menjadi robot yang kerjanya ada tapi jiwanya mati.

Jangan dirisaukan sangat "cemerlangkah keputusan aku?"

Kita bukannya memohon untuk hidup menjadi "terbaik" dipuji dan dipuja. Kerana itu seakan-akan membeli "nama baik" buatan manusia dengan kesusahan secara sengaja. Kita mohon pada Allah, kurniakan kita kebaikan yang datang bersama keputusan itu, dan menjauhkan kita daripada keburukan yang ada bersamanya. Agar "susah payah" yang selama ini kita lalui berhasil menemukan "kebaikan".

Bila keputusan baik, semoga kita masih mengenang budi, merendah diri.
Bila keputusan tidak menyenangkan di hati, semoga kita masih bersangka baik dengan Ilahi, masih punya akhlak yang murni.

Semua itu bukan grade di atas sijil yang boleh dikoyak-koyak. Semua itu ada pada "nilai" yang kekal buat mereka yang berfikir.

Esok, ubahlah kalimat "runsing" kepada kalimat "Fikir"

Semoga kebaikan menyertai kita semua esok. ^_^

Fi barakatillah.
Yang baik yakinlah dari Allah semuanya,
Yang lemah mohon maaf hendaknya.
Assalamualaikum.










Wednesday 5 March 2014

Si Peramah yang mencintai Diam.

Bismillah, permulaan bagi segala kebaikan.

"Malu betul tadi, buat lawak tak menjadi. Yang jadinya kecik hati"

Kebiasaan yang berlaku buat insan yang suka berbicara.

kredit: bustergammons.blogspot
Bukan satu label yang ada buat orang yang banyak bicara, banyak.

Mulut murai

Mulut Laser

Banyak Cakap

Penceramah

Banyak lagi....tapi biarlah saya memilih kalimah yang sesuai....Peramah.

Saya sendiri orangnya banyak cakap. Dari kecik lagi. Sampai orang kata, "Qoy, Qoy ni banyak cakap lah".

Ada yang banyak cakap kerana dia seorang yang ceria,

Ada yang banyak cakap tapi isinya kosong, lawaknya sia-sia belaka,

Ada yang banyak cakap kerana menyampaikan ilmu di dada,

Ada yang banyak cakap kerana suka mengumpat mengkeji orangnya,

Ada yang banyak cakap kerana suka bertazkirah dan bercerita,

Tapi yang pasti...itulah dirinya...si peramah.

Pilihlah, mahu menjadi peramah dalam tabiat yang baik atau yang buruk. Masalahnya bukan pada buruk atau baik yang disampaikan, masalahnya adalah buruk atau baik akhlak yang menjadi pegangan.

Sejujurnya, sukar untuk istiqamah menjauhi "terbabas bicara" dalam menjadi seorang peramah walaupun bicaranya selalunya adalah tazkirah! Sehingga ada waktu kita rasakan kitalah orang yang paling memalukan dalam dunia ni kerana banyak bicara.

Kerana ada masa kita nampak kalut di mata manusia, ada masa kita rasakan gurauan kita mengusik jiwa dalam bersama. Kadang-kadang semua itu hanya andaian diri. Terlalu risaukan pandangan orang.

Sehingga ada waktunya kita cemburu kepada si Pendiam. Yang sangat kurang mendengar suaranya.

Tapi kita tak mampu melakonkan dan memaksa watak pendiam. Kerana jika ya, kita tidak menjadi diri sendiri.

Cukuplah melatih diri, berbicara yang mendatangkan kebaikan sahaja. Jawablah soalan sekadar perlunya. Jangan diraikan lawak bodoh dan gurauan sia-sia. Tahanlah diri, katakan tak tahu bila tak tahu. Jangan berbicara atas perkara dusta, perkara hina, atau seakan-akan kita tahu semua.

Teruskan berbicara. Jika dikau seorang ilmuwan berjiwa hamba, maka bicaramu adalah bicara penuh input-input berharga. Bicara seorang penyayang dan ceria akan mendatangkan mesra. Bicara memberi peringatan mengingat jiwa yang leka. Bicara bantuan meringankan beban. Bicara yang memudahkan bukan menyusahkan. Dan yang pasti, berhenti pada waktu perlu memberhentikannya. Maka jika itu ada, berbicaralah.

Jangan malu menjadi si Peramah. Bemuhasabahlah ketika di penghabisan kalimah.

Bicara itu penghubung jiwa manusia. Maka jadikan bicaramu penghubung jiwa-jiwa itu.

Banyak atau sikit, tidak perlu dijadikan kerisauan utama.
Terbabas yang biasa-biasa itu, belajarlah darinya.
Terbabas yang buruk itu, jangan ulanginya

Jangan jadikan rasa bersalah pada "terbabas bicara" menjadikan kita berhenti menyebarkan kebaikan.

Jangan jadikan "pandangan orang" sebagai kerisauan utama. Cukuplah pandangan orang menjadi bahan muhasabah. Matlamat sebenar bicara si Peramah adalah Redha Allah.

Lidah itu amanah Allah, kita yang memilih cara menggunakannya.
Sama ada kita pendiam atau peramah,
Gunakanlah ia sebagaimana yang diamanahkan.

"Berkata baik atau Diam" prinsip orang beriman!

Sekian,
Yang baik  yakinlah semuanya dari Allah,
Yang lemah mohon maaf hendaknya.
Assalamualaikum

























Monday 3 March 2014

Kemarau...Hujan buat Hati.

Bismillah permulaan bagi segala kebaikan.


Apa yang ada jarang disyukuri,
Apa yang tiada sering dirisaukan,
Nikmat yang dikejar baru kan terasa,
Bila hilang...
Apa yang diburu,
Timbul rasa jemu,
Bila sudah...di dalam genggaman.

Lirik Nasyid: The Zikr

***
"Kemarau berpunca dari angin monsun timur laut dijangka akan berterusan sehingga akhir bulan tiga."

"Syarikat bekalan air akan melaksanakan catuan air fasa kedua yang akan bermula awal bulan ini dan dijangka berterusan selama sebulan. Fasa kedua akan melibatkan kawasan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya dan kawasan yang berdekatan dengannya, pelaksanaan akan berubah mengikut kondisi cuaca."

"Ha sudahh!"

"Cepat takung air tu!"

"Mandi kalau boleh sekali sehari je tau. Tak mandi lansung pun tak apa kalau tak perlu."

"Ambil wudhuk yang wajib-wajib je eh, secawan cukup dah"

"Jangan basuh dulu pinggan tu, tunggu ada air nanti."

"Tutup air rapat-rapat, menitik tu!!"

"Ayah, kita makan kat luar jom, tak ada air nak masak."

"Macam mana nak cebuk ni, air tak ada."

Sehinggalah ia berubah kepada........

"Ya Allah, kami rindukan rahmatmu."

"Ya Allah, turunkanlah hujan untuk hambamu"

"Ya Allah, kasihani makhluk-makhlukmu..."

Ketika ini, semua hati yang beriman seakan-akan nampak jelas hakikat dirinya. Semakin kuat kebergantungannya kepada Allah. Tiada lagi kesamaran dan alasan. Semakin dia menghargai nikmat Allah. Semakin dia insaf kelalaiannya selama ini.

Tak kurang juga, ada yang mempersoalkannya. Menjadi tidak siuman atas kemarau yang melanda. Hilang rasional dan punca. Kerana hatinya tak ketemu jawapan. Kepada apa persoalan ini mahu disandarkan. Pada pakar meteorologi? Kerajaan? Awan dan tangki air?

Kemarau membawa mesej :  "Kembali mengenal dirimu, kembali mengenal Tuhanmu"

Sehingga kemarau itu berlanjutan....

Ramai yang sudah biasa berjimat air, malah lebih ramai yang menghargai setitis air.

Ramai yang sudah biasa bersederhana, hidup sekadarnya.

Ramai yang tersedar erti ukhuwwah, bagaimana mendahulukan orang lain dalam musibah.

Ramai yang sedar erti simpati, kepada pohon-pohon yang layu dan kering, kepada haiwan-haiwan lidah terjelir...juga hauskan air.

Ramai yang tersedar apa yang tak mampu disedarkan tanpa kemarau.

Namun ada juga yang mempersoalkan mengapa tiada bantuan? Mengapa dunia tiada kemudahan?

Kemarau membawa mesej: "Kembali mengenal kehidupanmu"

***
Kerana bumi itu namanya "tempat ujian", kemarau itu antara pakej yang datang bersamanya.

Memang sudah menjadi tujuan ujian, membezakan kualiti insan.

Kemarau membawa mesejnya, maka pelajarilah sebanyak mungkin didikan darinya.
Agar ujian kemarau mengeluarkan insan-insan yang cerdik, mampu mengaplikasikannya dalam kehidupan.
Bukan hanya mampu melaluinya, tapi tetap keluar darinya dalam kelalaian.

Pelajarilah cara beradab dengan makhkluk Allah bernama "Air"
Gunakannya dengan akal yang berfikir,
Hati yang berzikir,
Insafilah buruknya tabiat membazir.

Jadilah hamba Allah, terhadap nikmat dunia.
Agar nikmat dunia tidak menghambakanmu.

"Bila hujan sentiasa turun, tanah tidak gersang, tapi hati yang tidak bersyukur itu yang gersang."

"Benarlah kalau hujan itu menyuburkan tanah, kemarau itu menyuburkan hati."

Kemarau adalah "hujan" buat hati.

"Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai berita gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya, hingga apabila angin itu membawa awan yang mendung, kami halau ke suatu daerah yang  tandus, Lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang-orang yang telah mati, muda-mudahan kamu mengambil pelajaran"

Mesej Kemarau...Menghidupkan hati yang mati.

Putrajaya
3/3/2014






















Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...