Monday 20 February 2017

Pelajar yang menumpang kemuliaan ilmu di kedai buku.

Bismillah.

Baru minggu lepas saya mendengar ceramah yang bertajuk "Martabat ilmu".

Saya sempat mencatit beberapa nota kecil pada hari itu antaranya:

"Ilmu adalah hakikat. Pengetahuan belum tentu ilmu kalau bukan hakikat. Pengetahuan hanyalah maklumat. Kerana itu, ada orang yang banyak pengetahuan boleh jatuh ke dalam lubang keraguan. Sedang hakikat tidak begitu."

Hakikat adalah benda yang tidak dipersoalkan lagi kebenarannya. Membimbing manusia, menghasilkan amalan-amalan berguna. Dan itulah yang digelar ilmu. Itulah yang disebut Rasulullah s.a.w dalam hadisnya yang masyhur:

"Menuntut ilmu fardhu bagi setiap muslim."

Begitulah kemuliaan ilmu dalam agama ini. Sehingga mukjizat Nabi juga dalam bahan yang boleh dibaca, dan membaca adalah jambatan ilmu. Ilmu tidak akan ditemui kecuali dengan berfikir. Dan berfikir antara ibadah yang sangat dituntut oleh Allah sehingga diulang-ulang dalam al-Quran.

Dan kerana ilmu itu mulia dan dihormati, sesiapa yang mendekatinya dan memilikinya akan turut mendapat kehormatan yang sama. Itulah yang saya panggil sebagai "Pelajar yang menumpang kemuliaan ilmu."

Ilmu menjadikan pelajar memperbaiki hidupnya, akhlak peribadinya. Ilmu membantu menyelesaikan masalah, dan membimbing manusia lain juga. Pendek kata ilmu merubah manusia.

Dan ada satu sisi yang dimanfaatkan pelajar apabila mengejar ilmu adalah, orang ramai yang menghormati ilmu turut menghormatinya. Orang sukakan ilmu akan menyukainya. Orang yang membantu penyebaran ilmu, akan membantunya. Hanya dengan ilmu, apa yang tidak didapatkannya melalui kudrat sendiri akan diperolehnya.

Allah menjadikan ilmu wasilah, mengangkat darjat manusia.

Di Turki ini, saya juga menumpang kemuliaan ilmu. Di mana? Di kedai buku.

Mungkin tidak semua, tapi hampir sertiap kedai buku yang saya pernah ziarahi, memberi potongan harga yang banyak kepada saya dan rakan-rakan. Yang merupakan pelajar bidang agama.

Pagi tadi saya kedai buku. Cashier di kedai itu bertanya: "Awak ada dapat apa-apa biasiswa?"

Jawab saya: "tiada" (Memang tiada pun.. hehe)

Dan dia terus memberi potongan harga kerana itu. Lagian, kebanyakan biasiswa di Turki ini juga hasil dari zakat dan sedekah orang ramai. Yang khusus
diberikan kepada orang-orang yang belajar.

Rasa gembira bila dapat harga murah. Semua orang rasa begitu. Namun yang membuat saya mendapat harga murah pada hari itu bukan kerana saya pelajar, hanya kerana saya menumpang kemuliaan ilmu.

Di mana? Di kedai buku :)

Saturday 11 February 2017

Gua Kahfi Turki, satu muhasabah diri.

Bismillah.

Kami menuju ke bandar Seljuk, Izmir menaiki tren TCDD daripada stesen Basmane dan turun di stesen Seljuk dengan tambang sehala hanya 6tl.



Sepanjang perjalanan saya cuba menghabiskan mendengar  video lecture Nouman Ali Khan yang bertajuk Tafseer of Surah Al Kahf yang kebetulan sudah di download. Ianya bukan kebetulan sebenarnya, kerana sebentar lagi saya dan rakan-rakan akan mengembara ke tempat-tempat yang sangat dekat dengan isi kandungan surah al-Kahfi ini. Iaitu Efesus, Maryamana, dan Gua kahfi Turki (Yedi Uyuyanlar Mağarası).

Sesampainya kami di Stesen Kereta api Seljuk, kami ditegur oleh dua orang lelaki. Beliau menawarkan kami menaiki taksinya ke tempat-tempat yang saya katakan di atas tadi dengan harga 120tl. Kebetulan kami waktu itu berempat, maka kami bersetuju untuk berkongsi tambang kerana tiada cara lain yang lebih sesuai buat kami ketika itu.


Tempat pertama menjadi singgahan kami adalah Maryamana evi. Di pintu masuknya kami ditahan askar dan mereka meminta passport untuk diperiksa. (Nasihat saya selama berada di Turki jangan lupa membawa passport ke mana-mana.) Sejak kebelakangan ini kawalan keselamatan di Turki semakin ketat.

Saya tidak sempat mengkaji banyak tentang tempat ini. Maka saya tidak dapat berkongsi apa-apa. Hanya kerana ianya sebuah gereja dan menjadi antara tempat penganut agama Kristian ini menunaikan haji mereka, saya meninggalkan satu persoalan untuk pembaca dan saya...



"Siapakah Maryam ibu Nabi İsa? Apakah yang Allah sebutkan tentang beliau di dalam al-Quran? Mengapa beliau istimewa dalam agama İslam sehingga satu surah dalam al-Quran dinamakan dengan namanya? Apakah persamaan dan perbezaan pandangan kita dengan orang Kristian pada hari ini tentang ibu Nabi İsa? Apa pengajarannya?"

Soalan-soalan itu saya jadikan homework peribadi. Kerana dalam hati yang paling dalam saya yakin, tanpa memahami siapakah insan yang Allah muliakan ini, kita belum dapat memahami agama kita sebaiknya.

Seterusnya kami ke bandar Efesus. Satu bandar Kerajaan Rom yang musnah kerana gempa bumi. Bandar Rom ini dikatakan mula dibina 6000 tahun sebelum masihi.


Berjalan di celah-celah runtuhan bangunan yang dahulunya gah itu membuatkan saya teringat pada ayat Allah dalam surah Ghafir ayat 86 yang bemaksud:
"Maka apakah mereka tidak berjalan di bumi, lalu mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang sebelum mereka, mereka itu lebih banyak dan lebih hebat kekuatannya serta lebih banyak peninggalan-peninggalan peradaban mereka di bumi. Namun apa yang mereka usahakan itu tidak dapat menolong mereka."
Bandar yang hebat seperti itu, lengkap dengan perpustakaan, rumah teater, parlimen  dan kawasan perumahan itu sangat mengkagumkan. Saya tidak dapat bayangkan sejauh mana pencapaian mereka terhadap kemajuan ilmu dan pembangunan material. Pendek kata, mereka sudah ada semua. Namun sayang, mereka menyembah berhala, mengagungkan tokoh-tokoh, sibuk dengan falsafah yang tidak menemukan mereka kepada hakikat penciptaan mereka. Akhir sekali ianya dimusnahkan sekelip mata.

                                     

Semua itu seakan mengingatkan kita bahawa asal usul kita, tujuan hidup kita tidak sepatutnya terbatas di dunia ini. Segala yang anak adam capai pada hari ini, memberitahu kita bahawa kemampuan yang diberikan padanya ada tujuan yang lebih utama daripada dunia. Jika tidak samalah nasib kita seperti kaum yang dimusnahkan ini. Semuanya tinggal sisa yang diratapi.

Setelah keluar dari Efesus kami dibawa ke Gua kahfi. Tempatnya tidak terjaga, berada di atas bukit. Perlu panjat sedikit setelah melihat papan tandanya. Tempatnya seperti rumah kecil. Berdindingkan batu-bata merah.

                   

Sepanjang berada di situ, saya mengingat kembali point-point Ustaz Nouman di dalam videonya. Antaranya adalah signifikannya amal anak muda yang berlindung di gua kahfi itu sehingga Allah memilih untuk merakamkannya dalam kitabNya.

Allah menggunakan kalimah 'fityan' merujuk kepada kepemudaan mereka. Kepemudaan adalah satu umur di mana manusia sering leka. Mudah dipengaruhi nafsu keinginan yang berada di kemuncaknya. Mahu bersuka ria dan mudah mengikut jalan-jalan manusia. Namun anak muda yang Allah sebutkan ini berjaya menjaga pendirian mereka yang Haq itu walaupun segala nikmat dan musibah yang mereka hadapi.

Seperkara lagi, dalam dialog mereka dalam surah al-Kahfi, mereka saling mengingatkan dan membantu sesama sendiri dalam jalan kebenaran. Mereka berkumpulan. Ya, ini bermakna bagi seorang anak muda, bergerak dalam kumpulan yang saling membantu adalah sumber kekuatan.

Dan doa mereka di dalam gua itu menyedarkan kita, dalam zaman di mana fitnah materialist dan dajjal ini berleluasa, adakalanya berada di dalam gua boleh menjadi pelindung utama. Sambil berdoa: Ya Allah kurniakanlah dari sisiMu Rahmat, dan sempurnakanlah petunjuk yang lurus dalam urusan kami. Dalam perjuangan kita memburu kebenaran dan hakikat di muka bumi ini, dengan sifat manusia yang lemah, kita tidak boleh lari dari memohon pertolongan Allah, dan memohon petunjuknya. Tiada siapa yang tahu jalan mana yang merupakan jalan kejayaan. Usaha mana yang diredhai Tuhan. Dan kejayaan itu sendiri bukan daripada kita, melainkan kurniaanNya. Siapa sangka, hanya berada di dalam gua dan ditidurkan beberapa tahun lamanya merupakan jalan yang Allah pilihkan buat mereka?

Anak muda yang hari ini kerap merasakan segalanya dicapai dengan daya kemampuan sendiri adakalanya harus berhenti mengingatkan diri, bahawa yang memberi, dan mengizinkan sesuatu itu adalah Tuhan, anak muda perlu kembali kepadaNya.

Musafir negeri buah limau, musafir muhasabah.






















Tuesday 7 February 2017

Wasilah

Bismillah.

"Kenapa Kak Mira teruskan buat benda ni? Dah lah tak dapat hadiah, susah pulak tu." saya bertanya kehairanan.

"Wasilah." Jawabnya pendek sambil menoleh sedikit kepada saya dengan mimik yang nakal.

Saya hanya tertawa kecil hari itu. Sehinggalah merasakan ianya signifikan pada hari ini.

Wasilah. Ianya signifikan.

Soalan di atas saya tujukan pada K.Mira sebab dia pada mulanya mengumpul nama orang-orang yang mahu melanggan majalah Risalah Annur bahasa Inggeris sehingga cukup 15 orang untuk mendapatkan hadiah dua jilid kitab sejarah secara percuma.

Namun akhirnya hanya 4 nama yang berjaya dikumpul. Sayang benar fikir saya kerana hajatnya tidak kesampaian dan urusan menghantar nama itupun nampak susah dan leceh. Banyak benda perlu diisi, dan dihantar. Tetapi K.Mira meneruskannya tanpa menunjukkan sesal. Sayalah yang hairan sehingga merasakan dia patut hentikan sahaja.

Jawapan "Wasilah." yang diberikannya memukul bendak perasaan ini.

Hari ini pula saya berborak dengan rakan-rakan serumah tentang penulisan. Kata saya "saya minat menulis kerana minat penulis." Kerana melalui penulisan orang kita mendapat motivasi dan penyelesaian kepada persoalan kita.

Ya... bukankah itu satu bentuk wasilah.

Tiada siapa tahu penulisan mereka yang ditulis hanya sekadar hobi itu boleh menjadi inspirasi orang lain. Boleh menyelesaikan masalah orang lain. Ilmu yang mereka kongsi boleh mengubah hidup orang lain, menemukan orang lain kepada jawapan dan bimbingan. Dan selagi ianya terus diamalkan oleh mereka yang memanfaatkannya, ganjaran terus bertambah seperti ganjaran yang mengamalkannya tanpa dikurangi sedikitpun.

Hari ini, kita mungkin antara orang yang berasa rendah diri dan tak layak melakukan kebaikan kerana rasa bersalah terhadap kekurangan dan kesilapan lalu yang ada dalam hidup kita. Sehingga akhirnya kita berasa tidak mampu untuk berbuat apa-apa dan selesa di takuk lama.

Jangan begitu.. saya sendiri perlu mengingatkan diri sendiri.

Bukankah Rasulullah s.a.w pernah bersabda;

الدال على الخير كفاعله
"Orang yang menunjukkan seseorang kepada kebaikan, balasannya seperti orang yang mengerjakannya." (Riwayat Tirmizi)

Hadis ini adalah motivasi buat kita agar tidak dilemahkan oleh rasa kerdil diri dalam membuat kebaikan. Biarlah sekecil manapun kebaikan yang kita sampaikan, siapa tahu jika ianya adalah wasilah ganjarannya besar. Perubahannya besar. Manfaatnya besar.

Rasa bersalah kita tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada kebaikan yang besar itu. Hari ini kita mengajak kepada kebaikan, dan memberi laluan kepada kebaikan, kita sebenarnya sedang berbuat baik kepada diri kita sendiri. Kerana semuanya akan tertulis kemas dalam kitab catatan amal. Tidak dikurangi malah sentiasa bertambah.

Menurut kajian Psikoloji juga, tubuh badan manusia perlu berbuat kebaikan untuk kesihatannya. Berbuat baik membuatkan kita berasa positif dengan diri sendiri. Dan orang yang berasa positif, sistem imunisasinya lebih kuat. Akalnya lebih cerdas. Hatinya lebih lapang.

Di akhir hari, menjadi wasilah ke arah kebaikan di dunia ini adalah wasilah untuk kebaikan diri sendiri juga. Allah s.w.t berfirman dalam surah al-Israa':

"Jika kamu berbuat baik, maka sesungguhnya kamu berbuat baik untuk dirimu sendiri.."

Maka.. jangan berhenti menjadi wasilah. Jika semua orang melakukannya, alangkah makmur dunia ini.

We can make a different :)


















Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...