Friday 21 February 2014

Belajar jauh-jauh, Apa yang dicari?

Bismillah, permulaan bagi segala kebaikan.

"Betul ke nak pergi jauh-jauh ni? Bukankah sudah banyak pilihan di tanah air sendiri?"

Ya, belajar jauh-jauh. Sebuah sangsi yang harus diuruskan.

Pergi jauh nun disana bukan untuk melancong, tapi belajar. Persoalannya, bukannya tak ada pengajian yang sama di bumi sendiri. Apa yang dicari sebenarnya?

Bak kata Ustaz Hasrizal dalam bukunya Rindu Bau Pohon Tin:

Apa yang saya cari?
Bakal terlepas peluang kenduri-kendara adik-beradik.
Bakal tercampak sunyi di negeri orang.
Bakal membiarkan bonda sunyi sendirian di desa nan sepi.
Bakal berpisah mungkin bertanda mati!
Besar sekali harga sebuah perjalanan kembara ilmu yang bakal dilakar ini.

Apa yang saya cari? Salji? Glamor? Naik kapal terbang? Siar gambar saya di surat khabar Ramadan demi Ramadan (mungkin kini di Facebook atau insta kot) ? Apa yang saya cari?

Kini, saya perlu memikirkan hal yang sama.

Lagian pula, keadaan antarabangsa yang tidak menentu, ekonomi keluarga yang kurang stabil, biasiswa yang tiada jaminan mendapatkannya, dan sikap saya yang belum pandai lagi berdikari berpusing-pusing di bahagian yang paling dalam di hati.

Tambahan pula, saya perempuan. Isu yang paling hangat menjadi buah bicara masyarakat. Bermusafir tanpa mahram. (safar al-mar'ah) juga turut mengundang resah.

Apa yang saya cari sebenarnya?

Dulu masa kecik-kecik, cita-cita saya selalu berubah. Tapi terdapat satu tema yang sama pada setiap cita-cita itu....ilmu tentang manusia.

Belajar tentang manusia,
Mengenal mereka,
Mencontohi nilai-nilai baik mereka,
Mengenal pasti punca jatuh bangun mereka,
Mencari jalan menyelesaikan masalah mereka.

Dan semua itu tidak cukup berkesan jika belajar hanya pada teks di buku-buku.
Dan ia menjadi terlalu sempit dan eksklusif jika hanya mengkaji secara setempat sahaja.
Dan mana mungkin dapat mempelajari manusia jika tidak bersama mereka.

Mengapa saya perlu faham manusia? Sebab ia sebahagian modal penting dalam menjalankan tanggungjawab sebagai Khalifah Allah yang "BERTAQWA" di muka bumi.
Firman Allah: 
Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kemu saling mengenali. Sesungguhnya  orang yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa. Sesunggunya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal. (Al-Hujurat:13)
Jelas, ayat di atas mengajar kita agar tidak "racist" walaupun berlainan. Berlainan untuk dipelajari. "Ta'arafuu" dalam ayat diatas mempunyai makna yang sama dengan "ma'rifat". "Ma'rifat" itu sendiri bermaksud ILMU. Perbezaan kita untuk dipelajari, dan agar dengannya kita dapat mencari bekal dalam memburu nilai TAQWA. Ia bukan kerana manusia, ia adalah kerana nilai yang ada pada mereka.

Di luar sempadan negara juga, kita dapat melihat sendiri, bertanya sendiri, mengkaji sendiri realiti semasa. Merujuk kepada orang dan sumber aslinya.Tanpa perlu terus dipengaruhi khabar angin atau desas desus orang lain. Atau perlu menurut pendapat yang berat sebelah secara paksarela.

Pendek kata, belajar di perantauan membuka peluang yang luas dalam satu-satu bidang yang mungkin tidak ditemui jika belajar di dalam kelas yang hanya menghadap buku dan pensyarah di negara sendiri.

Dan kerana di sana ada tarbiyyah. iaitu proses mendidik, membesarkan, menjaga, dan memberi.

Tarbiyyah yang ditunjukkan melalui kelakuan bukan hanya kata-kata dan tulisan.
Tarbiyyah yang diakan oleh suasana, dan suasana terbentuk olehnya.
Tarbiyyah yang asing, dipilih bukan diwarisi.
Tarbiyyah yang dikaji sendiri, dicari bukan disuap atau diberi.
Tarbiyyah yang menjadi satu keperluan sebagai survival dalam pengajian di perantauan.
Tarbiyyah itu dirasai.

Perasaannya berbeza mendapat tarbiyyah di negara sendiri dan di bumi asing orang lain.

Di Malaysia, kita mungkin lebih banyak duduk di dalam, sehingga tidak memahami apa sebenarnya yang berlaku pada pandangan luaran. Di negara orang, kita menjadi "orang" kedua dan ketiga sekaligus yang membolehkan kita melihat apa yang berlaku, apa yang perlu, dan lebih pantas membuat kesimpulan yang menjana idea menyelesaikan masalah melalui pandangan luarannya.

Lantas, mudah dikaitkan dengan negara sendiri, mempunyai "bahan" mencari solusi yang dulunya tak dimengerti.

Ia lebih kepada belajar dengan pengalaman, yang bakal menyokong pemahaman seseorang di dalam kelas.

Tapi bukan mudah.

Perlukan kematangan dalam melihat situasi.

Perlu jauh dengan keluarga, kasih dan masa menjadi gadaian, 

Perlu berkorban kebiasaan, di tempat orang diri disesuaikan,

Perlu melatih diri berdikari dan beradab seperti tetamu di rumah tumpangan,

Perlu memahami bahasa dan pemikiran yang mungkin lansung berlainan dengan jangkaan.

Perlu belajar berjimat, menjaga iman, masa tidak dibazirkan agar persinggahan itu bukan satu penyesalan kehidupan.

Perlu menyiapkan bekal perjalanan dan cepat membaca keadaan agar selamat dalam perantauan.

Dan mungkin banyak lagi. 

Dulunya telah berlalu satu fenomena besar yang menyumbang kepada kegemilangan Islam, iaitu "belajar dengan merantau". 

Zaman itu bukanlah selesa seperti hari ini. Tapi atas dasar keazaman dan menyampaikan misi Rahmatan lil-Alamin, mereka melangkah ke seluruh penjuru dunia.

Kerana itu pandangan mereka dinamik, menyentuh pelbagai ilmu dalam pelbagai situasi.

BERPISAH DENGAN KELUARGA

Berpisah dengan keluarga, bukan perpisahan hakiki. Perpisahan hakiki adalah apabila hati kita berpisah dari hati mereka. Bahkan jarak jauh itu menambah rindu, rindu itu adalah ubat pada hubungan. Bertambah sayang bila bertemu. Absence make heart grow fonder.

DIRI CUKUP MANUSIA

Sebelum merantau, pastikan diri kita sudah cukup "manusia" untuk mulakan perjalanan. Agar ditempat orang kita dapat membaiki ataupun semakin baik.

Jangan jadikan perantauan menuntut ilmu sebagai medan pelancongan, nilainya hanya pada gambar dan senyuman selfie tak punya pengertian.

Jangan jadikan bepergian kita sebagai satu cara untuk lari dari masalah, kerana sebenarnya kita pergi membawa dan menambah masalah.

Jangan jadikan medan menuntut ilmu itu sebagai tempat "pemulihan pelajar bermasalah", kerana mungkin kita pulih tapi setelah meninggalkan masalah ditempat orang.

RISIKO ITU PELUANG

Orang kata banyak risiko jauh ke sana, tapi tiada rugi apa-apa sebenarnya.

Jika terkorban, semoga dicatat menjadi Syuhada' si penuntut ilmu.
Kita belajar bukan untuk selesa di meja pejabat berhawa dingin satu hari nanti.
Kita belajar mencari ilmu kerana ianya perintah Allah.
Agar dapat menyubur bumi dengan khazanah dan keredhaan Allah.
Menjadi ummat terbaik yang melakar sunnatullah yang baik.
Menjadi ummat terbaik yang paling banyak bermanfaat kepada yang lain.
Memenuhi amanah usia, akal dan jasad agar bukan "kosong" jawapan di akhirat.
Melengkapkan sebahagian perjuangan yang ditinggalkan oleh para mujahidin di medan juang.
Menjadi benteng ummat ketika para tentera terkorban di tembok kota.

Tanpa disedari, semua risiko itu adalah peluang sebenarnya.
Dan tidak sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanya pergi (ke medan perang). Mengapa sebahagian dari setiap golongan diantara mereka tidak pergi untuk memperdalam pengetahuan tentang Addin mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali agar mereka dapat beringat-ingat. (Surah at-Taubah :122)
Jika Allah memanggil si penuntut ilmu dengan kalimat "nafara" dalam ayat Al-Quran di atas, maka bekal yang ada pada pejuang Islam di medan tempur sewajarnya menjadi bekal yang sama si penuntut ilmu. (kredit: Ust Hasrizal)

Ya, dari semua itu kita mencari nilai kehidupan, bukan permainan, bukan lakonan apatah lagi keselesaan.

Kredit buku Rindu Bau Pohon Tin (Hasrizal Abdul Jamil)

Sekian,
Doakan kami semua,
Yang Baik yakinlah dari Allah semuanya,
Yang lemah dan salah, dimaafkan dan ditunjuk ajar hendaknya,
Assalamualaikum.















Monday 17 February 2014

Ukhuwwah itu Tak boleh Dibeli, Ia Diberi

Bismillah, permulaan bagi setiap kebaikan.

Kadang-kadang ada kebaikan yang hakiki datang dari keburukan dan keperitan.

Terlalu banyak, atas rahmat dan rahsia Allah.

Termasuklah yang namanya "perhubungan". Dalam bahasa lainya "Ukhuwah"

Allah ta'ala menjadikannya perit agar dari keperitan itu kita menghargai kemanisan yang datang kemudian.

Allah menjadikan keresahan hati kita sebagai syarat untuk kita lebih mudah "memberi" untuk mencari ketenangan. Dan dengan pemberian yang seakan-akan belian itu, kita untung selamanya.

Pengalaman saya belajar di Maahad Taufikiah selama empat bulan telah mengajar itu semua. Tarbiyyah bersifat "dari Allah" itu benar-benar berbekas sehingga hari ini.

Rancangannya pada waktu itu adalah untuk belajar "agama" kerana ingin sambung belajar bidang agama bila besar nanti. Tapi disebabkan saya tak ada asas subjek agama, sekolah agama kerjaan tidak menerima saya di tingkatan empat. Sekolah Pakya adalah sekolah swasta, setelah melalui ujian kelayakan, saya berjaya mendaftarkan diri sebagai pelajar di sekolah ini.

Ayah dan Mak menyokong saya seakan-akan tanpa syarat. Walaupun tak pernah ada dalam keluarga kami yang pergi belajar agama seperti ini. Ayah dan Mak terlalu banyak berkorban dan menelan keperitan untuk menunaikan hajat saya. Walaupun ada diantaranya terpaksa menelan belanja dan membelakangi keinginan mereka. Dari sini saya belajar, saya bertanggungjawab untuk menjadi anak soleh kepada mereka, menyenangkan dan memenuhi hasrat mereka semampunya kerana mereka juga telah melakukannya tanpa meminta apa-apa bayaran.

Saya juga agak risau, risau andai berasa rugi satu hari nanti kerana meninggalkan aliran sains yang lebih menjamin masa depan sepertimana yang digambarkan oleh masyarakat umum. Tapi ia hanya isu kepentingan nafsi, kadang-kadang ia bukan kepentingan yang hakiki pun.

Setelah itu, saya menjalani kehidupan di sini selama empat bulan.


Namun, akhirnya saya keluar dari sekolah itu atas beberapa faktor. Saya kembali ke sekolah menengah kebangsaan dan mengambil aliran sains seperti sebelumnya. Hasrat untuk mendalami pelajaran agama seakan-akan terkandas. Tapi, insyaAllah saya akan meneruskan azam ini akan datang. Mohon doa semua untuk kelancaran urusannya nanti.

Pada peperiksaan awal bulan di sana, Allah mengizinkan saya mendapat keputusan yang agak baik. Lagipun, silibus subjek-subjek addin bagi SMRA hampir semuanya berkonsepkan hafalan. Jadi itu agak mudah bagi saya. Cuma bahasa arab saya tidak baik. Saya masih ingat hari pertama belajar dalam bahasa arab, hampir menangis dibuatnya.

Mujur ayah angkat saya seorang ustaz yang fasih dalam ilmu bahasa arab. Ustaz cukup gigih mengajar anak-anaknya sendiri apabila mereka pulang pada cuti minggu. Saya pun turut serta belajar bersama mereka. Saya sempat belajar asasnya, dan sedikit ilmu I'rab dengan Kak Bushro, anak ustaz yang juga pernah belajar di sekolah Pakya. Saya masih ingat ketika ustaz meminta kami membuat karangan berdasarkan kalimah-kalimah arab yang diberikan, ternyata karangan saya seperti karangan budak tadika. Jauh jika dibandingkan dengan karangan Kak Bushro dan Bashir.

Semoga Allah membalas segala kebaikan Ustaz dan keluarga. Selama saya berada bersama keluarga ini, terlalu banyak perkara yang saya belajar tanpa perlu melalui teks buku. Saya melaluinya melalui "tarbiyyah". Ukhuwwah ayah dan mak dengan keluarga ustaz telah terjalin lama. Semoga, ia erat dan dikurniakan rahmat bersamanya sentiasa.

Ustaz dan Ayah
Mak dan M.cik Jasirah

Kebetulan abang Ngah saya dan keluarganya menetap di Penang. Abang Ngah dan Kak Ema banyak berkorban dan menjaga keperluan saya. Terima kasih sahaja memang tidak cukup untuk membalas kebaikan mereka. Hanya Allah sebaik-baik pemberi balasan atas kebaikan Abang Ngah dan keluarga.

Ketika saya menjejakkan kaki di sini setelah setahun lebih tidak berkunjung, banyak perubahan dan pemulihan telah berlaku. Sekolah ini masih kuat meneruskan perjuangan walaupun masalah dalaman dan luaran tak henti menyapa. Saya masih ingat rangkap lagu rasmi sekolah yang bermadah:

Akan kubela segala nasibmu,
Akan kupertahankan maruahmu,
Dari segala tohmahan yang datang,
Yang menghujani oh bumimu ini.

Semoga warga Taufikiah amanah dalam memikul tanggungjawab ini. Lakukanlah dengan akhlak, kerana dulu Rasulullah pernah juga ditohmah dan difitnah, tapi Rasulullah s.a.w membalasnya dengan sebaik-baik akhlak yang menutup pintu tuduhan. Bahkan membawa perubahan keatas akhlak manusia yang lainnya.

Jangan terkejut kalau sekolah pun boleh menjadi bahan politik. Saya berharap agar budaya politik di negara ini tidak mencemar kredibiliti institusi pendidikan yang asalnya bertujuan membentuk masyarakat "beradab".

Sekolah yang beroperasi seratus peratus dari tenaga rakyat adalah bukti bahawa rakyat ini adalah rakyat yang tahu berdikari, kuat dan tidak sama sekali menjadi pak turut semata-mata di tanah sendiri. Semoga institusi-institusi rakyat ini akan kekal sebagai bekal kekuatan buat masyarakat.

Alhamdulillah, Allah mengizinkan misi ziarah hari itu. Setelah ziarah di teratak Ustaz Shahruddin dan keluarga, saya tiba juga di sini. Ayah dan Mak serta keluarga juga sanggup mengorbankan masa dan kerehatan untuk membawa saya ke sini. Hanya Allah dapat membalas kebaikan mereka.

Pada mulanya, saya khuatir kalau-kalau rakan di sana sudah lupa bila bertemu nanti. Tapi mereka masih seperti dulu. Saya ter"over" excited masa mula-mula sampai. Rakan-rakan datang memeluk. Semoga saya tak lupa wajah-wajah ceria mereka pada waktu itu. Saya sengaja datang secara mengejut dan secara rahsia. Bukan selalu dapat berikan "hadiah" seperti ini dalam kehidupan.




Pertinam 2014

Kakak dan kawan yang banyak membimbing diri ini.



Ketika saya masuk ke pejabat, pengetua sempat berseloroh:
"Dia tak boleh lupa dah, dia tak boleh lupa"... Benar, saya tak boleh melupakannya.

Kenangan di sekolah ini tak akan boleh dilupakan walaupun ada diantaranya berbaur keperitan, kerana pengalaman itu adalah sebahagian dari saya dan saya akan membawanya kemana saja saya pergi.






Sawah padi tempat hati ini beruzlah
Saya rapat dengan adik-adik junior masa itu. Tak tahu kenapa. Best!! Siap boleh main baling-baling bantal lagi. Selama saya tak ada lagi di sana, saya masih berhubung dengan adik-adik bila cuti. Kadang-kadang saya malu, mereka yang menelefon saya sendiri. Merekalah adik-adik yang pujuk saya bila nangis, sakat saya, teman masa makan petang, pendengar setia tazkirah percuma dan yang paling memilukan, merekalah adik-adik yang nangis bila saya pergi.


Adik-adik Dorm 12 yang baik


Surau yang menyimpan banyak kisah


Sekolah inilah yang banyak menyedarkan saya erti kehidupan. Yang mengajar saya menghargai hubungan kekeluargaan. Biasanya, budak-budak yang menetap di asrama lebih mesra dengan keluarga sebab berjauhan. (absence make hearts grow fonder). Saya cukup menghargainya.

Tak lupa kepada ustaz, dan ustazah. Ustaz Helmi, Ustaz Bahar, Ustaz Karim, Ustaz Manan, Ustaz Fakhrul, Ustaz Solehuddin, Ustaz Fauzi. Ustaz Azwadi, Ustaz Yasir, Ustaz Zakwan, Teacher, Ustazah Noriah, Ustazah Azzah, Ustazah Halimah dan Kakak-kakak Warden, Kak Yati, Kak Mai, Kak Ha, Kak Hajar serta kakak-kakak senior, rakan-rakan dan adik-adik yang banyak mendidik diri ini sehingga dapat menjadi seperti saya yang sekarang.

Semoga kesilapan dan kelemahan saya selama ini kepada warga Taufikiah dapat dimaafkan dan dilupakan. Semoga ukhuwwah kita berkekalan dan dalam perlindungan Tuhan.

Ukhuwwah yang hakiki itu tak boleh dibeli, tapi ia diberi. Kehidupan manusia semuanya berakhir. Jadi kita tahu bahawa kehidupan itu bukan untuk manusia, tapi kehidupan adalah nilai dan ibadah yang kita pelajari darinya.

Sampai di sini saja,
Assalamualaikum










Friday 14 February 2014

Taubat.... Kecewamu mengapa?

Bismillah, permulaan bagi setiap kebaikan.

"Kenapa orang suka kaitkan dengan keburukan aku dulu hah?" Soalan yang beralaskan luahan.

"Orang dah nak berubah ni, kata macam tu pulak"

Cabaran pasca taubat.

Taubat itu maknanya kembali. Sekarang bila diri sudah "kembali" pada Allah, sedarilah tak ada tempat yang lebih indah berbanding itu.

Jadi, kurangkan kecewamu bila dikritik insan sekeliling, sewajarnya hatimu bersukacita kerana dihadapanmu hanya ada Yang Esa.

Jadikan hentaman orang-orang disekeliling sebagai cabaran untuk kita membuktikan pada mereka bahawa kita ini benar-benar berubah.

Kerana mereka manusia, mereka tak tahu apa di hati kita. Mereka tahu berdasarkan pengalaman dahulu. Pengalaman yang pernah mencerminkan diri kita siapa.

Jadi, ukirlah kembali pengalaman yang lain. Pengalaman yang kukuh, lebih kukuh daripada pengalaman silam bahawa kita adalah insan yang baharu.

Mereka hanyalah manusia, seperti kamu. Yang memerlukan bukti untuk menerima satu realiti.

Dan kita juga manusia, bukan Tuhan.

Kita tak mampu menjadikan segalanya berlaku seiring kehendak kita. Cuma kita yakin bahawa segala yang terjadi adalah kehendakNya. Dan tak ada kehendak yang lebih adil dan lebih berhikmah dari kehendak Allah Ta'ala.

Sekarang, teguhkan taubatmu agar menjadi Taubat yang sebenar-benarnya (nasuha)

Kerana kecewamu kerana kritikan manusia tidak menentukan kebaikan bagi hidupmu. Hanya keampunan dan perlindungan Allah yang mampu menjadikan hidupmu semakin baik dalam kebaikan.

Maka buangkan kecewa itu. Kerana alasan untuk kecewa dengan manusia sementara. Jika kamu bersabar, balasan atas kesabaran itu kekal.

Kepada Allah sahaja kita sematkan segala harapan, bukan manusia.
Kepada Allah sahaja kita maknakan kebahgiaan, bukan manusia,

Dan Allah menyuruhmu kembali kepadaNya, menyebarkan kasih-sayang kepada manusia, menyebarkan kebaikan kepada mereka. Bukan kecewa.




Wednesday 12 February 2014

Gambaran Penuh Menyelesaikan Masalah

Bismillah, permulaan bagi segala kebaikan.

kredit: kisahbest.my

Pernah dengar tak kisah tiga orang buta yang disuruh untuk menceritakan tentang rupa gajah?

Mereka bertiga disuruh memegang seekor gajah untuk merasa sendiri rupanya dan menceritakannya.

Yang pertama berkata: Gajah itu keras dan besarnya sepemeluk.

Yang kedua berkata: Tidak!, gajah itu nipis dan lembut

Yang ketiga: Salah kamu berdua, gajah itu panjang dan anjal.

Mereka bertengkar. Rupanya, yang pertama menyentuh bahagian kaki gajah. Yang kedua memegang telinga gajah, Yang ketiga memegang belalainya.

Begitu juga dalam kehidupan, jika kita tak dapat melihat sesuatu dengan gambaran yang penuh (baca:holistik), pasti wujud perselisihan dan masalah.

Jika kita melihat Islam hanya pada Fekah, maka akan ada masalah dengan bahagian yang lainnya.

Begitu juga kalau kita mengatakan bahawa penyelesaian masalah yang berlaku pada ummat Islam hanya boleh diselesaikan dengan Politik, atau Akidah atau Akhlak atau Hati dan banyak lagi. Maka pandangannya akan menjadi sempit. Sedangkan punca-punca masalah itu berkait antara satu dan lainnya. Maka, jika hanya sebahagian diambil, mana mungkin keseleuruhan masalah dapat diselesaikan,

Sedangkan Islam itu Syumul, sempurna. Meliputi pelbagai bidang dan mampu menyelesaikan semua masalah manusia. Jika kita melihatnya dalam keadaan yang tak sempurna, pasti wujud ketidakseimbang padanya.

Perkara ini pernah disentuh oleh Imam Hassan Al-Banna dalam kitab Risalah Ta'lim. Beliau berpendapat bahawa untuk menyelesaikan masalah ummat, kita mesti mengambil kira semua aspek dalam Islam tanpa meninggalkan satu pun daripadanya. Walaubagaimanapun, kita tetap menghormati mereka yang berpendapat bahawa semua masalah berpunca daripada "ini dan ini" sahaja.

Jadi, luaskan pemikiran kita. Tambah ilmu kita untuk mendalami Syumulnya Islam ini. Rugi kalau kita hanya melihat seperti mana penglihatan si buta tadi.

Post kali ini singkat, nak kejar masa. InsyaAllah, akan menyambung bahagian lain nanti. =)

Yang baik yakinlah dari Allah semuanya,
Yang lemah maafkan saya hendaknya,
Assalamualikum.














Saturday 1 February 2014

PRK Kajang, sembang atau bincang.

Bismillah, permulaan bagi segala kebaikan.

Dalam minggu ni, saya maklum sendiri perletakan jawatan ADUN Kajang yang akan menatijahkan sebuah pilihanraya kecil akan datang.

Banyak spekulasi, banyak pendapat, banyak yang rasional, banyak pula yang emosional.

Saya sebagai rakyat negeri Selangor juga terkejut dengan khabar angin bahawa mereka menjangka Anwar Ibrahim akan menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagi menteri besar. Agak di luar jangkauan kepala saya. Bahkan kini, Tan Sri Khalid sendiri telah menidakkan khabar angin itu.

Saya sempat sembang dengan ayah dua hari lalu dalam perjalanan ke rumah.

"Ayah, bertul ke Anwar Ibrahim nak ganti Khalid jadi Menteri?"

Ayah menjawab pertanyaan saya lebih kurang beginilah;

"Itu semua pandangan orang saja. Tak mungkinlah Anwar Ibrahim nak jadi Menteri Besar, itu bukan tandingan dia. Anwar Ibrahim layak jadi Perdana Menteri. Kalau setakat Menteri Besar, nanti jadi bahan lawak orang BN saja"

"Selangor ni "cream of the country". Banyak kekayaan dan kemajuan di Selangor yang menjadi rebutan orang BN. Salah sikit je isu kepimpinan PKR di Selangor, akan dibesar-besarkan untuk lemahkan PKR."

"Sekarang BN dan UMNO berada di tahap paling lemah. Sampai ada pemerhati politik mengandaikan kalau ada PRU hari ni, akan kalahlah BN. Jadi masa mereka tengah lemah nilah, kita cepat-cepat betulkan dan kukuhkan strategi kita. Kita letak Anwar di Selangor supaya mereka tak boleh buat main Selangor ni."

"Ayah pun sedih bila ada orang kata PRK kali ni satu pembaziran. Ya, mungkin benar pada beberapa pandangan. Tapi untuk langkah ini kita perlu buat pertimbangan sebelum menyebut ianya pembaziran. Kalau UMNO BN nak ajar kita pasal membazir, mereka lagi banyak membazir bekali-kali ganda."

Saya bertanya pula; "Boleh ke ada dua kerusi dalam satu masa?"

Ayah menjawab;
" Yang Permatang Pauh tu kerusi Parlimen, kalau undi BN kurang separuh dewan Anwar boleh jadi Perdana Menteri. Tapi Kajang ni kerusi ADUN je, paling-paling pun boleh pakai buat jadi Menteri Besar. Dulu, Tuan Guru Haji Hadi pun pernah ada dua kerusi, satu Parlimen, satu Adun. Jadi sekarang Anwar boleh jadi dua, Perdana Menteri atau Menteri Besar. Kalau sampai satu masa tedesak yang memerlukan Anwar jadi Menteri Besar, takpa, kita tolak saja dia ke depan"

Soalan saya lagi;

"Qayya(gelaran saya) tengok kat FB tu penyokong-penyokong PAS kata nak boikot dan ada pulak yang desak Pas tarik diri dari PKR. Kalau diaorang berpecah, lagi senang BN nak lemahkan kedudukan kita"

Kami juga penyokong Pas, tapi kami lebih suka kepada kesatuan untuk merealisasikan kebaikan buat negara ni, daripada menempah perpecahan yang sia-sia.

Ayah menjawab soalan itu:

"Ini semua pendapat yang tergopoh-gopoh. Kita sepatutnya melihat dari kaca mata yang lebih besar. Lagipun, langkah meletakkan Anwar calon Kajang telah diputuskan di peringkat pimpinan. Mereka dah bincang lama untuk strategi ni. Tuan Guru Nik Aziz dan Dato' Mustafa Ali juga telah mengeluarkan kenyataan untuk mengawal situasi ni, pucuk pimpinan dah mengambil langkah yang lebih bijak, cuma peringkat bawahan tak maklum perkara ni".

http://www.pas.org.my/v2/index.php/artikel/setiausaha-agong/165-kenyataan-setiausaha-agong-pas-sesi-2013-2015/2216-dun-kajang-jangan-buat-kenyataan-bersifat-spekulatif

"Dah tu ayah, kenapa diorang macam tak dapat penerangan? Status dekat page diaorang luahkan perasaan macam dah lama berdendam dengan PR, nanti senang orang BN nak masuk campur".

Ayah menjawab pula:

"Media sekarang dikawal oleh siapa Qayya? Dalam parti yang ada beribu-ribu ahli ni susah kita nak kawal."

Saya terfikir, Kalau saja mereka ikut ajaran Allah dalam Al-Quran, pasti sejahtera keadaan.

Kredit: mudahannan.wordpress.com

"Ayah, kenapa Adun tu letak jawatan? Ada sebab lain ke?"

Jawab ayah;

"Di berkorban la Qayya, dah lama diorang bincang, dan mungkin dah berkali-kali bincang untuk buat keputusan besar macam ni."

"Mula-mula dapat berita ayah dah fikirkan bahawa ini adalah strategi. Baru-baru ni Rafizi pun mengeluarkan kenyataan. Ternyata sama dengan jangkaan ayah."

Sampai di situ saja sembang-sembang kami. Tapi saya menemuinya sebagai sebuah pebincangan!

Hmm, besar ujian kita di Malaysia. Nak fahamkan semua orang susah, nak menangkan hati semua orang lagi susah. Perbezaan pendapat begitu ketara. Tu belum lagi masuk bab perjuangan mujahidin di Syria, fitnah dia lagi berselirat. 

Sukalah saya pegang prinsip ni,

Dalam kerjasama kita untuk mencapai kebaikan, lebih baik kalau kita mencari di mana letak persamaan daripada terus menggali perbezaan yang mengasingkan diri dari perjuangan.

Sekian.
Yang baik yakinlah dari Allah semuanya,
Yang lemah maafkan saya hendaknya.
Assalamualaikum.














Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...