Monday 23 July 2018

Secebis Pengalaman Forum "New Generation, the New Hope."

Bismillah.

Image may contain: 4 people, people smiling, text


Dua hari lepas, telah berlansung forum 'New Generation, the New Hope'. Satu forum yang dianjurkan melalui kerjasama MSGA (Malaysian Student Global Alliance) dan MASAT (Malaysian Student Association in Turkey). Dengan ahli penal yang super veteran dalam bidang kemanusiaan, alhamdulillah forum ini mendapat sambutan baik daripada peserta berdaftar juga dari penonton yang menonton video lansung secara atas talian.

Sebulan setengah sebelum tarikh kejadian saya diberi notis pendek untuk menjadi koodinator program ini. Waktu itu, dengan segala rasa tak mampu tapi teringin untuk mencuba saya iyakan saja. Orang kata "Biar cabaran menjadi peluang."

Takut kerana kali ini ia bukan saja melibatkan pelajar, tapi juga orang luar, tokoh ternama, dan gabungan pelajar sendiri iaitu MSGA. Kurang percaya diri kerana sering berasa tak pandai berkomunikasi dan bekerja dalam kumpulan. Dan risau kalau-kalau hasilnya tak seperti yang dihajatkan orang.

Kata orang putih "You will cross the bridge when you come to it." Maksudnya usaha dulu baru fikirkan hasilnya. Kebetulan cuti ni sibuk baca buku Teme, dalam buku Pelukis Jalanan ada satu quote ni yang berbunyi "If you worry, you suffer twice, so just follow the flow."

Maka bermulalah sesi-sesi menghubung semua ahli panel dan moderator. Tak mudah rupanya. Mujur ada ajk PR; Fatiha Ahmad Azam yang proaktif membantu saya dapatkan persetujuan, dan berkomunikasi dengan panelis. Ada ahli panel yang tak sertai, maka kami gantikan dengan calon yang lain. Ada yang tak dapat maklumbalas, maka saya korek nombornya melalui "lubang-lubang" rahsia yang ada. Huhu, mujur ada kawan-kawan yang memang bekerja dalam dunia kemanusiaan.

Daripada menyediakan rangka awal forum sehinggalah melengkapkan detail-detail forum yang perlu ada, ia membawa saya kepada jadual tidur yang berbeza, risau yang menyerang tak tentu masa, sering berulang alik ke telefon dan laptop untuk segala kertas kerja. Rasanya seperti tak cukup tangan, kadang ada perkara penting yang terlepas pandang. Kadang-kadang perlu di-sound orang atas, diingatkan team sekerja, dan perlu diberi tekanan untuk lancarkan segala yang tersangkut.

Banyak kesalahan yang tak dapat dilupakan. Daripada poster dan kertas kerja yang tidak di-proofread sebelum dikongsi, daripada kurangnya engagement dengan orang-orang yang berkaitan, kelamahan saya menyusun dan memberi arahan, terlupa dan tergesa-gesa membuat keputusan, semua itu berakhir dengan banyak kesilapan dan kekurangan yang berlaku. Bermakna menambah banyak perkara baru untuk saya pelajari.

Saya beruntung ada ayah dan mak yang sering menjadi tempat saya meminta nasihat. Rakan-rakan yang berpengalaman untuk minta pendapat. Dan moderator serta ahli panel yang sangat membantu untuk segalanya berjalanan seperti yang diharapkan. Namun sayang, badan saya tak percaya pada diri saya untuk bertenang, haha. Seminggu terakhir sebelum program, kepala saya bengkak dan tak dapat bekerja dengan baik. Perlu menangis untuk dapat berfikir dengan "normal" semula. Pelik bengkaknya, maka setelah berjumpa doktor saya disarankan untuk mengambil ubat "muscle reliever", katanya saya menggunakan otot di kepala terlalu banyak sehingga menyebabkan ketegangan.

Kelakar, tapi semua itu menjadikan segala jerih perit untuk persiapan program terasa berharga.

Pepatah arab ada berkata;
"Dengan kadar yang kamu usaha, seperti itulah kamu kan dapat hasilnya"

Saya dan rakan-rakan berdoa, moga forum ini diberkati, tercapai tujuannya, bermanfaat untuk para peserta. Alhamdulillah, rezeki Allah lebih baik dari apa yang saya harapkan. Sesi kami antara sesi yang paling popular dan paling lambat habis. Banyak cerita dan banyak pengajaran yang dikongsi ahli panel dan moderator. (Boleh cari di page fb rasmi MASAT) Semuanya menjadi hadiah yang berharga untuk para pendengar hari itu.



Yang paling melegakan bila pihak MSGA sendiri berpuas hati dengan forum ini. Walaupun kami mengambil masa melebihi had yang diberikan. Mungkin orang lain tak faham perasaaan itu, tapi koodinator program benar-benar menghargainya!

Alhamdulillah 3ala kulli hal.



Program pun dah habis, jadual saya pun tak sesibuk hari-hari itu. Kini merinduinya, dan berharap ada peluang yang lebih baik pada masa akan datang :) Moga dapat memperbaiki diri dalam bidang kemanusiaan, saya betul-betul teringin merasai kebahagiaan yang wujud pada alam memberi itu.

1124
Shah Alam






















Friday 20 July 2018

Bersiap sajalah

Bismillah.

Kau berkira-kira,
Rezeki itu,
Cita-cita itu,
Impian itu,
Orang itu,
Bakalkah menjadi milik aku?

Dalam dunia serba tak pasti,
Entah esok atau lusa,
Entah hari ini petang nanti,
Masih nyatakah pandangan di dunia?

Kalau hidup ini kejutan,
Orang kata menunggu itu siksaan,
Berharap itu percuma,
Bersangka baik itu bahagia,
Maka bersiap sajalah,
Sekadar mampumu.

Bukakan hati kami ya Tuhan,
Untuk menerima pemberianMu.

Thursday 19 July 2018

Penat

Bismillah

Ada orang penatnya berpeluh,
badannya terasa perlukan rehat,
Tapi hatinya puas,
Senyum esoknya ada makna.

Ada orang penatnya ibarat mayat,
badannya terasa perlukan nyawa,
Tapi hatinya tak bermaya,
Kalamnya tanda ada.

Penat...
Tapi Tuhan berkata, juang sabarmu akan berlabuh jua,
Di sebaik-baik tempat dalam kehendakNya.

Monday 16 July 2018

Harus Mula dengan Percaya

Bismillah.

"Dia tu memang......"

"..... lah dia tu."

"Dah agak dah benda ni berlaku, dah selalu dia buat macam ni. Dia memang...."

"Orang semua cakap aku macam tu. Aku dah cuba banyak kali tapi selalu buat silap yang sama. Aku memang..."

***

"To describe what from heart means to describe what from faith"

Apa-apa yang kita gambarkan dengan kata-kata yang keluar dari hati, adalah apa yang keluar dari apa yang kita percaya.

Tidak kiralah kita percaya tanpa ilmu,
Tidak kiralah kita percaya kerana ia banyak kali berlaku,
Tidak kiralah kita percaya dari apa orang kata,
Tidak kiralah selemah manapun hal yang kita percaya itu,
Tidak kiralah seburuk mana apa yang kita percayai,
Apa yang kita percaya menjadi "al-haq" di depan mata kecil kita.

Dan "al-haq" buatan kita sendiri mendominasi gerak kerja, tingkah laku, ucap kata kita.

Bukankah kita diajar untuk percaya pada yang benar-benar boleh dipercaya,
Yang dapat dirasa, dibuktikan, dihujjahkan dengan kata,
Yang tak dapat dinafikan, yang kuat akar asasnya.
Barulah tertunai harga "al-Haq" pada hakikatnya.

Dan biarlah "al-Haq" yang hakiki mendominasi hidup kita, gerak kerja, tingkah laku, ucap kata kita.

Andai hari ini kita percaya, orang yang kita marahkan gelap masa depannya. Hanya kerana amarah hati kita. Tanpa sedar kita terlupa untuk percaya usaha memulihkan mampu membina sebuah masa depan, kita cepat percaya untuk berputus asa dari insan-insan di sekeliling kita. Apatah lagi mahu mencuba usaha.

Wahai diri, andai hilang semangat... carinya pada percaya.
Percaya kerja orang berani,
Percaya kerja orang setia,
Percaya kerja orang berhati besar,
Percaya kerja orang yang bekerja.

Hari ini periksa apa yang kita kata dari hati, mana tahu ada percaya yang belum kita temui.


Image result for ‫الي الله توكلنا ولنصبرن علي ما اصابنا‬‎
credit image





Wednesday 11 July 2018

Kau sedih ya?

Bismillah.

Hari itu wajah dan tingkah laku Aidil tak seperti biasa. Mukanya seperti batang kayu. Berkerut sahaja. Keras, seperti ada yang menghalangnya untuk berasa tenang.

Ada masa dia tertunduk. Ada masa dia memandang ke langit. Ada masa dia mengetap bibir.

Shafiq hanya memandang dari jauh sejak tadi. Shafiq adalah rakan sebilik Aidil di asrama sekolah mereka.

Tiba-tiba hidung Aidil merah. Matanya berair. Cepat-cepat disapu air mata itu. Berlakon seperti tiada apa berlaku, dia menggaru-garu matanya.

"Pap!" bunyi tangan Shafiq menepuk bahu Aidil.

"Woi, terkejut aku. Lain kali bagilah salam dulu." Nampak sangat Aidil tak sedar kehadiran Shafiq sejak tadi. Dia menggelamun agaknya.

Shafiq tahu, sejak Aidil kehilangan ibu kesayangannya baru-baru ini, menjadikannya anak yatim piatu kerana ayahnya sudah lama tiada khabar berita, kawannya pasti terlalu banyak berfikir.

"Kau okay tak ni?" Shafiq menyoal, sambil melabuhkan dirinya duduk disebelah Aidil. Di belakang bangunan asrama.

"Okay je. Lagi okay kalau kau takde." Aidil menyiku Shafiq. Sambil melontarkan sengih nakalnya.

"Haha, fine! Tapi aku nak duduk sini jugak." Shafiq melayan.

"Kau kenapa Dil, janganlah termenung lama sangat. Aku tahu kau banyak sangat fikir. Tapi jangan sampai kau tak bercakap dengan orang."

Aidil diam. Tangannya mengambil batu kecil di tanah. Dibaling ala kadar. Sekadar mengisi ruang waktu.

"Kau sedih ya?"

Aidil menarik nafas dalam. Matanya kembali berair. Dia mengangguk sedikit.

"Kau ni kacaulah.. haha. Hilang macho aku." Aidil mengesat air matanya.

"Mestilah sedih weyh. Ni kali pertama aku rasa betul-betul kehilangan. Aku rasa sunyi." Aidil menoleh sedikit ke arah Shafiq, kemudian mengalihkan pandangannya semula.

"Aku ingat lagi perasaan masa kucing kesayangan aku mati masa aku kecik. Betullah, bila kita dah sayang satu-satu orang tu, bukan senang untuk kita berpisah. Mesti susah untuk kau terima semua ni secara mengejut." Shafiq cuba menyusun ayat.

"Ujian kau lagi besar dari kehilangan kucing. Aku doakan kau dan mak kau dapat jumpa semula satu hari nanti." Shafiq berhenti seketika.

"Dia mungkin tak akan jumpa kau kat dunia lagi untuk gembirakan kau. Tapi mak kau mesti taknak kau sedih macam ni sentiasa? Kalau dia tahu kau kuat semangat dan ceria macam dulu, mesti dia happy."

Wajah Aidil sedikit tenang. Mungkin dia boleh terima apa yang Shafiq cuba sampaikan.

"Shafiq, Terima kasih ingatkan aku." Aidil menyiku Shafiq kali kedua.

"Sakitlah oi, kau tu tulang je. Siku kau tajam!" Shafiq menolak bahu Aidil.

Mereka ketawa bersama.

"Jomlah pergi padang bola. Aku rindulah nak tengok kau main sekali." ajak Shafiq sambil bangun perlahan-lahan.

"Kau pergilah dulu. Aku sampai sat lagi" kata Aidil.

"Jangan lama sangat. Aku bukan boleh percaya kau ni. Haha." Shafiq berseloroh.

Mereka berpisah di situ. Shafiq mengintai Aidil naik ke asrama dari bawah. Wajahnya lebih tenang dari tadi. Seakan ada beban yang terangkat dari bahunya.

Shafiq tersenyum. Dia tahu ada masa manusia perlu diiktiraf perasaannya agar dia tahu bagaimana untuk mengawalnya.














Monday 9 July 2018

Bangkit

Bismillah.


Sesekali terperosok jatuh,
Dek kaki yang mahu melaju,
Batu kerikil dipandang kecil,
Sehingga luka akibatnya besar,
Darah pun tak segan mengalir.

Tak sikit ujian Tuhan,
Yang buat kita terjatuh,
Terluka berparut penuh,
Lelah tak henti mengeluh,
Buat kita lemah dan jiwa kita lusuh,
Hanya kerana terlanggar batu-batu kecil,
dari sekian banyak batu ujian bumi ini.

Tapi terperosok jatuh kita,
Dibanding tegak berdiri kita,
Hanya sesekali.
Bahkan sedikit sekali.

Tapi luka sakit kita,
Dibanding nikmat segar kita,
Tidaklah sama seri,
Bahkan sekejap sekali.

Ya kita tersilap,
Ya kita terburu-buru,
Ya batu kecil itu kita pandang rendah,
Ya kita pelupa, letih dan lemah,
Ya luka itu sakit,
Ya parut itu mengingat ungkit.

Kalau dalam banyak-banyak cara,
Itu saja ayat Tuhan buat ajarkan dirimu cekal,
Buat berhati-hati langkahmu terkawal,
Pedomanmu banyak cukupkan bekal,
Tak lupa diri dan tak mudah kesal,
Menguat hati tajamkan akal,
Fahamkan hakikat diri,
Buat menuju alam kekal,
Jatuh lukamu yang ditelan seorang itu,
Kau telanlah dengan rasa nyaman,

Kau tahu bila Tuhan berkata tentang rahmat dalam kalamNya,
Dia memperkenalkan diriNya dengan dua nama,
Yang Maha Pelindung, dan Maha Terpuji,
Agar padaNya kau taruh harapan lagi dan lagi,
Agar kau ingat Dia ada untuk melindungi,
Dan ujianNya bukan mahu membuat keji,
Sayang Tuhan padamu,
Ibarat hujan yang menimpa tanah kering,
Suburkan hidupmu kembali,

Bangkitlah!
Carilah rahmat Dia,
Putus asa hanya membuat kelam dunia.


وَلَوْ بَسَطَ اللَّهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ وَلَكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَّا يَشَاء إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ ﴿٢٧﴾ 
Dan jikalau Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hamba-Nya tentulah mereka akan melampaui batas di muka bumi, tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendaki-Nya dengan ukuran. Sesungguhnya Dia Maha Mengetahui (keadaan) hamba-hamba-Nya lagi Maha Melihat. (27)

وَهُوَ الَّذِي يُنَزِّلُ الْغَيْثَ مِن بَعْدِ مَا قَنَطُوا وَيَنشُرُ رَحْمَتَهُ وَهُوَ الْوَلِيُّ الْحَمِيدُ ﴿٢٨﴾ 
Dialah yang menurunkan hujan sesudah mereka berputus asa dan menyebarkan rahmat-Nya. Dan Dialah Yang Maha Pelindung lagi Maha Terpuji. (28)






Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...