Saturday 28 December 2013

Awak Pendiam??

Bismillah, permulaan bagi setiap kebaikan.

Kalam dibuka,
Ada yang kedengaran seperti tin kosong,
Ada yang sepi ibarat ubi yang berisi,
Kecoh dan riuh itu menggamat susana,
Tapi sejauh mana ada nilainya?
Diam dan sepi itu suram dirasa,
Tapi betapa banyak baik dari buruknya?

Si ibad itu tak banyak bicara,
Tapi mesra bernas pendapatnya,
Diam dan diam seakan berahsia,
Suka membaca...itukah sebabnya?
Bermuram durja...itukah faktornya?
Sehingga aku bertanya,
Engkau ini...pendiamkah?.....

Lantas si ibad menjawab;
"Aku bukan pendiam, aku bercakap bila perlu sahaja".

Diamnya itu menyebabkan dia tidak dikenali,
Tidak popular sama sekali,
Diamnya membuatkan dia tidak diketahui,
Tidak banyak melalaikan dan menyakiti,
Diamnya membuat kata-katanya diingati,
Tidak dilupakan dalam memori.
Diamnya membuat kata-katanya mahal,
Susah dicari kerana bernilai.

Sehingga si ibad itu pergi,
Ketika hidupnya dia dirindui,
Diluahkan kenalannya di wall FB,
"Aku rindu kau laa...bila balik?"

Ketika matinya pula,
kata-katanya diingati,
kata-kata yang tak banyak itu,
menjadi kenangan indah buat yang terlalu rindu,
menjadi inspirasi.
ketika hati sebak dan pilu.

Wahai ibad,
Rasulullah juga tak banyak berkata,
melainkan katanya adalah wahyu,
kerana aku tak mampu sepertimu,
aku turut cemburu,
aku berasa malu,
tinggal sedar untuk mengubah sikapku.

Diamlah, melalui keyakinanmu atas "iman" yang jitu,
Berbicaralah, ketika berbicara lebih baik dari diammu.

Sabda Rasulullah sallallahualaihiwasallam;
"Siapa yang beriman kepada Allah dan Hari akhir, 
hendaklah berkata baik atau diam".
                                                   (HR BUKHARI) 




Friday 20 December 2013

Perjalanan Pendek ini.

Bismillah, permulaan bagi segala yang baik.

Assalamualaikum. Haaa, hari ni nak tulis pasal secebis pengalaman. Semoga dapat dikongsi dan dimanfaatkan.

Pada suatu pagi, saya bukak FB. Status pertama yang terpampang depan mata adalah tawaran untuk menjadi sukarelawan bagi Program "Membina Generasi Ammar" di UIAM. Pendek cerita saya dan kawan saya yang seorang ni pun bersetuju untuk berdaftar setelah melalui soal selidik yang panjang. Kami berdua diterima dalam pendaftaran tersebut. Hampir-hampir saja rasa tak nak pergi sebab tak ada transport dan tak mahu susahkan mak ayah. Tapi akhirnya kami memutuskan saya akan tumpang kawan saya ni ke sana.

Credit: GPTD Pusat
Rasa tak confident nak pergi sendiri-sendiri macam ni sebab tak pernah melaluinya. Nak yakinkan ayah dan mak juga buat saya rasa bersalah. Tapi alhamdulillah, ayah dan mak memberi izin mereka dengan mudah. Asalkan kepercayaan mereka tidak dikhianati. Perjalanan bermula apabila kami singgah sekejap rumah atok kawan saya sebelum jalan kaki ke stesen komuter di Setia Alam. Kisah di steten tu memang sedikit memalukan diri. Yelah, tak pernah naik sendirilah katakan. 

Sampai di kaunter, kawan saya bertanya pada petugas di situ; "Berapa harga satu tiket ya encik?" 
Jawab petugas dengan selamba; "Satu Dua"

Bila tanya untuk dua tiket, dia menjawab; "Dua Empat"

Saya dengan yakin pun mengeluarkan RM 20 dan mintak lagi empat ringgit dari kawan saya. Petugas tu pun meninggikan sikit suaranya; " Dua Ringgit Empat Puluh sen." Laaa, padanlah rasa macam mahal sangat.


Masa tunggu komuter pun satu cerita. 
Kami tanya petugas tu; "Berapa lama lagi ya komuter nak sampai?"
Jawabnya: "Lagi 20 minit" dengan nada yang samar-samar.

Rupa-rupanya lagi 2 minit tibalah satu komuter yang agak usang ni. Kami teragak-agak nak masuk sebab kami tak tahu komuter ni nak ke mana. Kami ingat, sistem komuter ni sama macam bas. Satu bas ada tempat yang dituju tersendiri. Saya try tanya pada seorang kakak dalam komuter tu, tapi hampa kerana kakak tu hanya termenung panjang, tak dengar agaknya. Akhirnya, komuter yang tiba awal itupun pergi meninggalkan kami berdua sahaja di situ. Setelah tanya pada ibu kawan saya ni, barulah kami tahu bahawa setiap kali mana-mana komuter berhenti, terus masuk sebab komuter tu akan berhenti di banyak stesen dan kita akan keluar bila tiba di stesen yang kita kehendaki. Jadi dengan sabarnya, kami menunggu lagi 20 minit untuk komuter seterusnya. Mujurlah komuter yang tiba ni komuter baru, dan tak sesak seperti yang sampai terlebih dahulu.




Setelah naik komuter, kami pun turun di KL Sentral untuk naik LRT ke Gombak. pembelian tiket diuruskan oleh ibu kawan saya. 








Menunggu perhentian terakhir
Mentari petang memancar.

Dan akhirnya, kami tiba di stesen LRT Gombak. Kami menunaikan solat asar di surau stesen tersebut dan naik teksi ke UIAM. Alhamdulillah, kami tiba dengan selamat. Sesampainya di sana, kami sukarelwan berkumpul dan berta'aruf serta mendengar taklimat. Kami dibahagikan mengikut tugas dan tugas saya dan kawan saya adalah "usherer" bahagian sister. 

Rupanya, program ini bukan sekadar program biasa-biasa, tapi ada matlamat yang besar yang dibawa bersamanya. Membina Generasi Ammar bagi saya bukanlah bermaksud membina generasi yang sebijik jalan hidupnya seperti Ammar, tetapi melahirkan masyarakat yang memiliki nilai-nilai yang ada pada diri Ammar. Nilai-nilai yang dulunya pernah menjadi pemangkin pada kegemilangan Islam. Kita harus menyedari bahawa fenomena ini tidak boleh berlaku atas dasar "ketaksuban", tapi dihayati dengan penuh sedar untuk mencontohi dan mengaplikasi.






Nilah kawan saya.


Sisters sampai dulu...hehe
Masjid UIAM
Pendaftaran semakin sibuk

Generasi Ammar
Pandangan dari atas tingkat dua


Daftarlah jugak
Jualan buku tentang
Badiuzzaman Said Nursi
Penuh sampai ke pintu. 
Mulanya kami anggarkan majlis kali ni biasa-biasa sahajalah hadirinnya. Keadaan sedikit mengejutkan bila yang datang semakin ramai sedangkan ruang auditorium sudah penuh. Tangga dan ruang kosong bahagian depan audi juga dipenuhi hadirin. Ramai jugak yang sanggup berdiri untuk turut serta mendengar pengisian hari itu. Sampai saya bertanya sendirian: 
"Apa yang Arwah Ammar dah lakukan sampai begini ramai penontonnya?"
Tapi jawapan yang paling tepat adalah semua ini adalah kehendak Allah, dan segala puji bagiNya atas segala kebaikan.


Semua perkongsian kali ini penting untuk didalami dan diamalkan. Jangan hanya dengar dan kemudian hilang dibawa arus masa. Antaranya adalah sejarah kegemilangan dan keruntuhan ummat, akhlak, wawasan, dan rancangan yang perlu dilakukan untuk membina generasi berkualiti yang dapat bekerja mengembalikan semula kegemilangan Islam dengan Izin Allah.

Bahagian atas juga penuh.








Barisan sukarelawan
Semoga bermanfaat pengalaman dan ilmu yang ditimba melalui perjalanan yang pendek ini. Semoga Allah merahmati usaha keras pihak  GPTD, UIA dengan usaha Dr Fauzan, keluarga Encik Azam serta rakan-rakan ukhuwahfillah yang lain. Tak lupa terima kasih kepada mak ayah yang membenarkan anaknya ini keluar sehingga larut malam untuk menyertai program ini. Serta terima kasih dan berbanyak-banyak maaf bagi kawan saya, dan keluarganya yang sudi teman, hantar dan ambil pada malam hari. Semoga Allah merahmati kita semua dengan limpahan rahmat yang tak terkira.

Bye...Ma'assalamah
Bukan sekadar "phenomena", tapi matlamat yang perlu dilaksanakan.

Sekian, 
Minta maaf salah silap,
Yang baik segalanya dari Allah,
Assalamualaikum.









Monday 2 December 2013

Aku hanya mampu Bertanya.

Assalamualaikum sahabatku di sana. Apa khabar? Aku di sini demam selepas dua hari selsema dan pening kepala. Aku harap, surat ini tidak mengganggu dirimu di sana.

Sahabatku,
           Aku menulis surat ini hanya untuk bertanya, benarkah keadaan dirimu di sana penuh sengsara? Aku lihat di newsfeed Facebook setiap hari, pasti ada gambar-gambar tragis yang berlaku di wilayahmu. Gambar-gambar itu memberitahu aku, wilayahmu diserang musuh dari tiap penjuru. Media dunia hanya membisu malah menyalahkan dan memfitnah dirimu dan sahabat-sahabatmu. Gambar-gambar itu memberitahuku bahawa disana, dikau kekurangan pelbagai keperluan. Kanak-kanak kecil mati kelaparan. Bayi yang baru lahir terpaksa hidup dengan air basuhan beras sahaja. Musim sejuk hampir tiba, kulihat banyak poster-poster badan kemanusiaan meminta bantuan derma. Apa khabar ayahmu dan ibumu? Apakah mereka gembira? Aku bertanya kerana aku bimbang mereka juga adalah mangsa kezaliman tentera pengkhianat itu. Aku dengar, banyak rumah-rumah dirobohkan tanpa izin, sehingga ramai yang tiada lagi tempat berlindung. Apakah dirimu di sana masih punya rumah? Tempat yang dulu menjadi syurga tempat dirimu tertawa bersama keluarga?


Sahabatku,
           Adakah dirimu masih di wilayah itu? Wilayah yang menjadikan nyawa manusia seakan-akan tiada harga? Aku bertanya kerana aku mendapat fakta bahawa setiap 30 saat, seorang kanak-kanak di wilayahmu menjadi pelarian. Aku juga mendapat tahu, kem-kem pelarian tidak punya tempat yang selesa dan makanan yang cukup. Apakah dikau masih berani meneruskan kehidupan di situ? Aku bangga jika dirimu tetap disitu untuk mempertahankan wilayah dan maruahmu. Namun aku bimbang akan keselamatan dirimu. Andai dirimu tidak mahu meninggalkan tempat itu kerana Allah dan RasulNya, maka aku mengharapkan Syurga merinduimu di sana.

Kem pelarian
         Di wilayahmu, aku mendapat tahu ramai yang terkorban. Anak-anak yang sepatutnya
bermain kejar-kejar terpaksa berlari bertempiaran ketika bom-bom itu memburu mereka tidak kira tempat dan waktu. Apakah kau punya mainan atau bahan hiburan? Aku bertanya kerana aku hanya mampu menahan sebak melihat rakaman sahabat-sahabat di wilayahmu memberanikan diri bermain bola di tanah lapang walaupun serangan akan datang bila-bila masa. Apakah dikau masih bersekolah dan riang bertemu sahabat-sahabatmu di sekolah? Aku bertanya kerana aku dapat tahu bahawa di sana, sekolah-sekolah banyak dimusnahkan ketika kelas sedang berjalan. Nyawa pelajar-pelajar dan alat-alat persekolahan musnah bersama seakan-akan kedua-duanya bukan lagi nadi terhadap kemajuan negara. Aku harap dikau masih berusaha mencari ilmu walau keadaan benar-benar mengujimu kerana aku mahu lihat dikau berjaya menelaah ilmu dan menyampaikannya kepada generasimu jika umurmu panjang.

       
          Dimanakah ayah dan abang-abang kamu menunaikan solat Jumaat? Di mana tempat kamu bersolat Hari Raya pada hari kegembiraan Addin ini? Aku bertanya kerana aku melihat foto-foto masjid-masjid dan makam para Sahabat Nabi turut dihancurkan ketika ibadat sedang dilaksanakan di situ. Aku rasa bersalah atas pengkhianatan sebegitu berlaku ketika aku hanya mampu melihat dan menggeleng-geleng kepala tanda sesal.


Sahabatku,
          Musim sejuk hampir tiba di sana. Apakah rumahmu ada sistem pemanas air? Apakah dikau sekeluarga sudah punya baju sejuk? Adik kecilmu, apakah dia punya selimut untuk tidur di saat suhu sejuk menggigit di tulang yang dalam? Aku bertanya kerana aku dikhabarkan, bantuan-bantuan itu adakalanya terputus. Sedangkan ramai pula yang tiada rumah untuk berteduh lagi. Kasihan rakan-rakanmu yang kehilangan ayah, ibu, keluarga dan rumah, mereka terpaksa membawa diri dan tidur di lantai semen di kaki-kaki lima apabila malam yang dingin itu tiba. Hari ini, genap 100 hari mengingati pembunuhan beramai-ramai menggunakan senjata kimia yang mengambil nyawa sebahagian besar kanak-kanak secara perlahan dan begitu menyakitkan. Aku harap dikau dapat bersabar dan maafkanlah aku kerana tak mampu melakukan sesuatu yang besar untuk menghalangnya.


         Keadaan disini tidaklah seteruk keadaan disana. Di sini, kami dijamin aman. Namun kes bunuh, tembak-menembak dan rogol meningkat secara mendadak. Para pemerintah pula bermain tarik tali dengan hukum Allah dalam Al-Quran. Amalan Riba berleluasa bahkan wujud dalam pinjaman biaya pelajar. Di sini, isu perpaduan menjadi bahan mainan atau umpan sahaja. Slogan perpaduan dan perlembagaan ternyata bercanggah antara satu sama lain. Korupsi berlaku di peringkat atasan sehingga menular dalam budaya masyarakat aku. Aku bingung, disini pendidikan agama bukan lagi atas dasar akhlak, ia hanya ada pada sijil-sijil kelulusan sahaja. Pembangunan di sini berjalan di atas dasar pecah amanah dan manipulasi. Ekonomi negara dijadikan alat pengaut harta bagi orang-orang tertentu sementara menjadi punca jenayah dan kemiskinan dalam masyarakat.

         Di sini, masyarakatku sibuk dengan perdebatan-perdebatan khilaf tanpa sedikitpun berusaha mendalami ilmu asas. Di sini, media massa menjadi jin merasuk akal masyarakat dan menjadi dadah yang merosakkan akhlak dan pemahaman agama dalam keadaan ketagihan yang melampau. Di sini, pembaziran berlaku tanpa rasa bersalah malah yang cuba berjimat dan berhemat dipandang jumud dan bermasalah. Anak-anak muda di sini terlalu dimanjakan sehingga malas berusaha dan tidak tahu berdikari."Malu" sudah tercabut daripada kebanyakan pemuda dan pemudi di negara aku. Laman-laman sosial menjadi sarang fitnah dan dosa. Ilmu dijadikan bahan mengaut populariti bukan lagi alat mentamadunkan manusia. Keadaan ini menyesakkan fikiranku sementara hatiku semakin bersalah memikirkan keadaan dirimu.

         Di tempat-tempat lain, etnik muslim tidak diiktiraf. Dihalau dan dibunuh. Demonstrasi aman di Mesir menjadi tempat kudeta mencorakkan darah rakyat. Bencana alam semakin menjadi-jadi di seluruh pelosok dunia. Kegawatan ekonomi mengancam kesejahteraan dunia. Semua ini berlaku atas kerakusan tangan-tangan manusia. Dan aku berpandangan bahawa, hanya Allah sahaja tempat rujukan untuk menyelesaikan masalah ini. Maaf sekali lagi jika soalan-soalanku dan berita-beritaku mengganggu perasaanmu.

        Akhir kalam, sampaikan salamku buat ayah, ibu serta adik-beradikmu di sana. Bersabarlah sahabatku dalam memperjuangkan kebenaran ini. Kepuasan dalam perjuangan ini bukan pada kesenangan dan kemewahan, kepuasan itu hanya ada pada Redha Tuhan. Maafkan aku kerana aku hanya mampu bertanya. Aku berdoa dan berharap agar kita boleh bertemu di Syurga. Fi amanillah.

Yang benar,
   Aku.

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...