Saturday 13 August 2016

Benda baik yang mudah dan susah.

Bismillah.

Dalam hidup, ada benda baik yang Allah jadikan mudah bagi kita menerimanya.
Ada juga benda baik yang Allah ciptakan halangan pula untuk kita mencapainya.

Yang mudah dan yang berhalangan tetaplah ujian, menilai diri kita.

Ketika mudah, adakah kita mengambilnya sambil lewa? Tiada syukur dan tiada makna? Tiada pula rasa mahu dihargai dan dijaga?
Apakah kerana mudah itu kita menjadi mudah juga memandang orang lain lebih rendah?
Adakah kita menganggapnya satu pemberian yang didatangkan bersama amanah?

Ketika susah, adakah kita memilih untuk menyerah?
Berfikiran negatif, dan berputus asa daripada rahmat Allah?
Adakah waktu itu kita mahu memenangkan alasan-alasan sepele dalam diri?
Adakah waktu itu bertuhankan Tuhan berasa susah sekali?

Kedua-duanya adalah satu perjuangan dalam diri.
Menilai dimanakah diarahkan hati.

Saturday 6 August 2016

Menilik kemanusiaan dalam diri

Bismillah.

Post kali ini hanya mahu berkongsi pengalaman. Apa yang saya rasa, apa yang saya belajar.

Sejak kecil, saya diajar untuk mencintai kerja-kerja kemanusiaan. Membantu mereka yang susah. Malah sehingga kini, ia seakan menjadi satu kegilaan buat diri. Siapa sahaja yang juara di medan ini akan saya ikuti, cuba saya contohi.

Normal.. itulah benda yang boleh saya katakan buat keadaan saya ini.

Kerana semua orang itu Allah ciptakan dengan sifat kemanusiaan. Sebagai bekal agar boleh terus hidup bersama, aman dan damai. Naluri insan kata orang, yang kalau dihalusi, kalau diamati akan membuahkan budi pekerti, halus pertimbangan.

Menurut apa yang ditulis Hamka di dalam buku Falsafah hidup, kemanusiaan adalah hasil daripada cinta. Iaitu satu sifat mulia antara diri dan orang banyak. Cinta itu kata Hamka, tertegak dengan dua sifat. Adil dan hikmat. Adil adalah meletakkan sesuatu di tempatnya, memberikan hak kepada yang berhak memilikinya. Hikmat pula adalah yang menuntun kita pada kebenaran.

Mengapa saya kaitkannya dengan kemanusiaan, kerana kemanusiaan adalah satu kesedaran, kehendak batin yang mahu membela hak orang-orang yang dizalimi, ia adalah satu bentuk keadilan. Dan di dalamnya ada sejuta hikmah, yang mengajar manusia tentang kehidupan, ertinya, nilainya, pengajarannya, mesej-mesej itu diterjemah dalam bentuk amalan. Maka cinta lahir daripada situ, membuahkan pengorbanan, simpati, dan kejujuran.

Setelah saya cuba mengambil segala kesempatan bagi mencari cinta itu, rupanya tidaklah semudah yang disangka. Tak semanis yang diungkap.

Saya cuba berjinak-jinak dengan kerja-kerja sukarelawan, cuba mencari jalan turun di lapangan. Di sinilah kita akan bergaul dengan ramai orang, dengan pelbagai ragam. Apabila kerja sampai, dan memerlukan kita bergerak sekali, di sinilah keikhlasan kita teruji. Terutama bila terjadinya perselisihan, memberi peluang kita menilai diri semula.

Terutama apabila melibatkan wang dan nama, siapa yang hatinya belum thabat dalam menjaga keikhlasan, akan goyah gelisah ketika diuji dengan hal ini.

Ketiganya adalah sifat berkorban, kerja kemanusiaan bukan senang. Panas mentari, penat badan, tiada rehat, kerja berat, dan segala macam cubaan fizikal akan melanda. Bahkan sampai melibatkan nyawa. Itu baru ujian fizikal, belum lagi ujian hati. Ada masa kita akan dicemuh, dibenci, difitnah, dicaci. Kadang kita perlu melayani mereka yang akhlaknya tidak kita senangi, bau badannya, sifat peribadinya... waktu inilah keikhlasan pengorbanan kita akan teruji. Cinta itu akan lari jauh apabila hati kita tidak selesa lagi untuk didiami. Ada yang lebih dibesarkan dari cinta ini.

Duduk dalam kerja kemanusiaan, saya berjumpa banyak jenis orang. Yang sanggup berjuang siang dan malam, melawan segala halangan birokrasi, membuang segala kepentingan diri, membela orang-orang yang lemah, dizalimi.

Lama saya merenung, orang-orang ini hebat. Walaupun tidak dikenal orang. Tidak disebut namanya. Tidak pula untung dunianya. Tapi hatinya puas, hatinya ikhlas, tenang, dan kaya jiwa.

Ia bermula dengan hati, sikap, dan cinta. Lihat di dalam diri, dalam peribadi sehari-hari, dalam hubungan dengan orang terdekat. Kalau di dalam rumah, kemanusiaan kita belum ada, tiada tempat lain untuk mengisi bekal kita.

Menilik kemanusiaan dalam diri, menemukan diri kepada sifatnya sendiri.

























Tuesday 2 August 2016

Hamka berbicara mengenai Syukur.

Bismillah


Kemarin dulu, terserempak dengan video ini di youtube. Saya pun membukanya dan tanpa sedar sudah menjadi halwa telinga, meneman saya menggosok pakaian dari mula hingga selesai.

Wah, tak pernah saya dengar orang terangkan tentang syukur begini. Inilah yang saya cari selama ini. 

Kalau ada masalah dalam hidup, orang akan pesan dan bagi nasihat "bersyukurlah" , "count your blessing" "Ada orang lebih teruk daripada kita"

Itu ayat-ayat yang biasa didengar, tapi rasanya tidak masuk ke dalam hati. Lagu nasyid "Syukur" dendangan raihan pun hanya setakat zikir pengingat, agar jangan lupa bersyukur pada Allah dan manusia.

Alhamdulillah, dipertemukan dengan video ini. Kalau kawan-kawan pembaca sempat, dengarkanlah, catitlah nota, hayatilah... semoga keindahan "bersyukur" yang sebenar dapat difahami dan dirasai.

Hamka berjaya membawa pendengar memahami "big picture" tentang permasalahan syukur. Saling berkait antara akidah (kepercayaan), ibadah (amalan), silah (hubungan), tidak mengurangkan, tidak pula mengabaikan antara satu dengan lainnya. Kalau satu aspek syukur itu diketepikan, maka keseluruhan hidup terasa tak tersusun, dilanda bencana, tak senang duduk, tak sedap rasa. 

Sekali sahaja kita tidak bersyukur, ibadah kita terasa lomopng, bacaan kita terasa kosong,  kepercayaan kita pada Allah tersakiti, dalam hidup sering rasa tidak puas, dengan yang lain berdengki, terlalu sedih dalam kecewa, maka sukarlah bersabar, memaafkan, dan melupakan, maka sukar pula terasa bahagia, hatinya sakit maka tubuhnya turut sakit... dan banyak lagi keburukan hasil daripada jiwa ketika ia tidak bersyukur.

Itulah yang Hamka cuba fahamkan pendengar ketika menyebut ayat Allah:

doa sujud syukur, kata ucapan syukur, ungkapan syukur, ayat tentang syukur, kata mutiara syukur, hadist tentang syukur

Andai kita rasa berterima kasih dengan apa yang ada, kita punya kekuatan untuk memperbaiki apa yang tidak dengan akal jelas, dan hati bersih.

Andai kita masih boleh melihat apa yang masih boleh disyukuri, nescaya yang kurang-kurang itu akan pudar, lama-lama menghilang.

Andai kita rasa beruntung dengan nikmat-nikmat yang sedikit. Berasa cukup apa adanya, maka hidup terasa lengkap, semuanya kelihatan sempurna. Makin bertambah atau berkurang tidak mengganggu jiwa kita. Setiap masa sama, tidaklah takabbur bila diberi nikmat, tidaklah sedih ditimpa musibat. Itulah rahsia beriman dengan kadar rezeki yang ditetapkan Tuhan yang kita gelarkan sebagai "takdir"

Andai kita tersakiti oleh insan, dengan berterima kasih atas kebaikan-kebaikannya yang masih ada, maka masih ada peluang untuk kasih sayang, dan kemaafan. Yang pedih akan bertukar simpati dan mendoakan.

Andai kita redha dengan ketentuan Tuhan pada hari ini, tiada ruang dalam hati untuk berdengki, malah nikmat orang lain itu dirai dan hati gembira melihatnya.

Andai masih tahu ada banyak pada diri yang boleh diuntung, sebesar manapun kesukaran, dan kesedihan, syukurmu itulah pengubat hati, penambah sabar. Orang yang tidak bersyukur tidak memiliki kekuatan itu.

Benarlah ayat Allah itu, yang bersyukur bertambahlah makmur, yang sebaliknya akan terasa neraka dunia sebelum neraka akhirat yang dibikinnya sendiri.

Saya cukup tertarik ketika Buya hamka menyebut tentang hubungan syukur dan sabar;

"Syukur dan sabar itu barat sayap burung. Jika patah satu tak bisa terbang. Kalau kapalterbang itu haris cepat-cepat mendarat, tidak selamat lagi di udara."

Saya tertanya-tanya sendirian, kesedihan melampau, dendam, kecewa, putus asa, dan tidak percaya diri yang saya alami selama ini adakah puncanya daripada tidak bersyukur? Sehingga dunia menjadi neraka awal buat diri, sehingga terasa tidak selamat lagi melayarkan bahtera kehidupan?

Saya letakkan formula syukur:

1)Meyakini sifat Rububiyyah Allah- Dialah pemberi dan Maha kuasa. Dialah Maha mencukupkan, Maha Pemelihara. Dia mentakdirkan yang terbaik buat hambanya.

2)Kembali pada jiwa hamba- Istighfar, rendah diri dengan Allah, Redha atas ketentuannya, taat perintahnya ketika disuruhnya bersabar, memaafkan, jangan putus asa.

3)Kenanglah nikmat yang masih ada-contoh jika kita ada kawan yang suka membuat kita terasa, kita peelu bersyukur jika dia masih solat, tak mencuri, tak berkhianat, tak ajak kita ke arah maksiat.

Ajaib sungguh syukur ini..

Ya Allah, jadikan kami termasuk orang-orang bersykur. Aamin ya Rabb.

















Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...