Saturday 16 February 2013

Di sebalik Takdir.

Bismillahirrahmanirrahim,

Qada' dan Qadar adalah ketentuan Allah,
Bersifat rahsia,
Allah yang menetapkan,
Allah jua yang menhilangkan,
Kita tidak mampu menilik takdir,
Agar kita berikhtiar dan berusaha,
Jika semua manusia sudah tahu,
Dimana letak "ujian" dariNya?

Apabila kita berjaya,
Sebenarnya bukan kuasa kita,
Allah yang mengizinkannya,
Ketetapan Allah tidak zalim,
Siapa berusaha, dia layak berjaya.

Takdir kejayaan disertakan dua syarat,
Siapa bersyukur, Dia tambah nikmat,
Siapa kufur, azabNya sangat dahsyat.
Agar yang bersyukur ditambah ganjaran,
Agar yang kufur ditegur kesedaran,
Berhenti melakukan kezaliman.

Tetapi ada kalanya penat berusaha,
Kita gagal juga,
Allah yang mengizinkannya,
Mungkin kita belum bersedia,
Mungkin bagi mengelak sikap sombong dan derhaka.
Mungkin hanya untuk menguji keimanan kita,
terhadap kekuasaanNya,

Allah itu Maha Tahu,
Dia beri apa yang kita Perlu,
Bukan apa yang kita Mahu.

Allah menetapkannya,
Dengan izinNya sesuatu itu berlaku,
Jika Dia mentakdirkan kita berjaya,
Tiada satu kekuatan pun dapat menghalang,
Jika ditakdirkan kita gagal,
Tiada satu daya pun dapat membantu.

Allah memutusakan dengan kebijaksanaanNya,
Justeru pilihan Allah ada sahaja hikmahnya.
Agar kita tidak terlalu sedih apabila kehilangan,
Agar kita tidak bangga dikurniakan kenikmatan.

Takdir adalah ubat,
Sebagai penyembuh penyakit hati,
Kesihatannya adalah kekuatan,
Tiadalah insan beriman berputus asa dengan ketentuan,
Kerana Pencipta ketentuan adalah tempat bergantung harapan.

Takdir adalah guru,
yang mendidik dalam diam,
Hanya pelajar yang peka dan mahu belajar sahaja,
Dapat mengambil pelajaran daripadanya,
dan menemui kejayaan dalam hidup dengannya.



Yang baik Dari Allah,
Yang lemah dari ana sendiri.
Wassalam alaikum.










Saturday 9 February 2013

Antara Pertandingan dan Permainan.

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang, assalamualaikum semua. Alhamdulillah (pujian semuanya milik Allah) kita masih kekal muslim pada hari ni.

Hmm, hari sebenarnya ana ditimpa kesedihan. Ada sikit masalah. Tapi kita semua perlu ingat, masalah tak pernah hadir dengan sia-sia, cuma kadang-kadang kita sering mensia-siakannya.

Allah bagi kita semua ilham melalui pengalaman. Agar kita mengerti dunia itu hanyalah permainan bukan pertandingan... apa bezanya?

Bukan sekadar mainan...
Pernah tak antum semua main "permainan" bola sepak. Hehe, kalau lelaki mesti selalu kan?
"Menang jadi abu, kalah jadi arang". Sebab "permainan" tiada hadiah, tiada penilaian, hanya untuk suka-suka atau sekadar hiburan untuk release tension. Kalau kalah kita sedih...berbaloi tak kita menangis. Kalau menang kita bangga...ada ke nilaiannya?

Tetapi lain pulak dengan "pertandingan" bola sepak. Sifatnya lebih serius. Ada markah, pengadil dan peraturan yang wajib dipatuhi. Ada hadiah buat yang menang dan layak ke peringkat seterusnya. Yang kalah... tak dapat apa-apa. Sebab tujuan "pertandingan" bola sepak adalah Ujian. Untuk menguji siapa yang betul2 semangat, disiplin dan hebat dalam bermain. Dan menyedarkan mereka yang masih lemah dan lalai untuk memperbaiki diri.

Begitulah bezanya impak tujuan Dunia dan Akhirat walaupun pada permainan yang sama.
Ana sedih jika ana menangis bila bergaduh dengan kawan hanya sekadar melepaskan rasa sedih. Tetapi ana suka kalau ana menangis bila bergaduh dengan kawan kerana sedar ana yang silap dan perlu betulkan kesilapan. Kerana kes ini (bergaduh dengan kawan) adalah situasi yang sama macam main bola. Cuma jika ia dipandang hanya pada pandangan Dunia, tiada manfaatnya, bahkan menambah buruk. Tetapi jika dipandang dengan pandangan akhirat, sifatnya lebih kritikal dan bakal menemui jalan penyelesaian yang tepat.

Baru ana sedar, betullah ayat Allah dalam surah al-An'am ayat 32:


Dan tidak (dinamakan) dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan, dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang bertaqwa. Maka, apakah kamu tidak berfikir (mengenainya).

Justeru, apa tunggu lagi... pilihlah wahai khalifah Allah,
pilihlah antara "pertandingan dan "permainan"!
Anda yang menentukan!.

Yang Baik dan Benar milik Allah S.W.T,
Yang lemah dan khilaf dari ana sendiri,
Asif jiddan.
Wassalam alaikum.


Saturday 2 February 2013

Tegur Sayang atau Tegur Hina?

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum semua. Terima kasih Allah kita dapat bertemu lagi dalam penulisan kali ni.

Sebelum menulis lanjut, suka ana kongsi satu kisah yang berbunyi:

     Pada suatu hari, Imam Syafi'ie menghadapi kesukaran untuk mengingati satu-satu pelajaran. Dengan rasa sedih, Imam Syafi'ie mengadukan masalahnya itu kepada gurunya untuk mendapatkan nasihat. Gurunya Sheikh Waqi' berkata setelah memahami masalah anak muridnya:

"Tinggalkanlah maksiat, kerana ilmu itu cahaya dan cahaya tidak menyinari hati yang gelap gelita"

Maka, gembiralah hati imam syafi'ie apabila sudah mendapatkan jawapan untuk masalahnya itu.

Daripada kisah di atas, kita dapat kenalpasti bahwa setiap masalah dalam kehidupan pasti ada cara untuk diselesaikan, antara caranya adalah Teguran.

Teguran adalah medium yang sangat penting untuk menyediakan halatuju bagi fikiran yang buntu. Menjadikan seseorang masih yakin diri, bersemangat dan rasa bahawa masih ada yang mengambil berat di saat-saat ujian berselirat

Tetapi kita kerap kali jatuh dalam kesilapan menegur dengan menutup jalan bagi seseorang maju dalam kehidupan. Teguran sebegitu dipanggil teguran dengan kata-kata hinaan. Orang yang ditegur boleh jatuh malu atau marah sehingga tiada apa yang bertambah kecuali masalah demi masalah. Isunya bukan cara kita menegur, tetapi adakah kita menegur saja-saja atau dengan hati yang benar-benar prihatin dan sayang?.


Fenomena tegur-menegur adalah sesuatu yang serius. Terutama dalam kehidupan "berfacebook", "bertwitter" dan sebagainya. Menegur dengan amarah dan kata-kata jijik dan kasar bukanlah amar makruf nahi mungkar. Bahkan perkara itulah yang mungkar. Lebih teruk lagi jika teguran ke arah kebaikan tetapi menggunakan kata-kata yang tidak berhemah ini memberi imej yang tidak baik terhadap Islam di mata dunia. Menegur secara tidak matang dan mengaibkan orang lain adalah dilarang dalam Islam

Rasulullah s.a.w bersabda:
"perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling kasih, saling menyayang dan saling cinta adalah ibarat sebuah tubuh, jika salah satu anggotanya berasa sakit, maka anggota-anggota tubuh yang lain ikut merasakan sulit tidur dan demam" (sohih muslim)

Daripada kisah Imam Syafi'ie itu tadi, kita dapat lihat cara gurunya menegur bukanlah dengan melabel atau menyalahkan Imam Syafi'ie. Kerana cara sebegitu mengundang malu dan perasaan kecewa yang negatif. Tetapi sheikh waqi' dengan rasa prihatin memberikan solusi kepada permasalahan anak muridnya dan menguatkan tegurannya dengan hujjah  bagi membina keyakinan  Imam Syafi'ie untuk  terdorong meninggalkan punca masalah lupa dalam belajar iaitu maksiat.

"Tinggalkanlah maksiat, kerana ilmu itu cahaya dan cahaya tidak menyinari hati yang gelap gelita"

Justeru dalam seni menegur, kesenian itu tidak datang secara lakonan atau paksaan. Ia datang daripada hati yang benar-benar peka dan fikiran yang teliti dalam mengungkap kata. Kesenian juga lahir daripada kasih sayang. Kasih-sayang pula ada pada hati orang-orang yang beriman kepada Allah yang Maha Penyayang. Lihatlah bagaimana Alllah s.w.t menegur Rasulullah S.A.W dalam surah Abasa. Penuh dengan kasih-sayang dan bimbingan kepada hambanya yang dikasihi. 

Allah S.W.T berfirman dalam surah an-Nahl ayat 125:

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan Hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan jalan yang lebih baik"

Teguran adalah medium dakwah


Tegur dengan kasih-sayang membantu, Tegur dengan penghinaan hanyalah jalan buntu. Apabila kita menyayangi seseorang, kita merasai keperitan yang dia rasakan. Semangat mereka sebahagian daripada kita. Apabila kita sayang seseorang, kita  cuba sedaya-upaya membantu menyelesaikan masalah mereka dan memberikan kata-kata semangat agar tak putus asa. Kita akan menggunakan kata-kata yang membina dan beradab. Kita menganalisis masalahnya dan berikan tips dan jalan meneyelesaikan masalah itu. Inilah teguran yang menyedarkan bukan terus melalaikan. Dan sekali lagi, terguran inilah adalah teguran sayang bukan teguran hinaan.

Rasulullah S.A.W bersabda:
"Seorang mukmin tehadap mukmin yang lain itu ibarat sebuah bangunan dimana bahagiannya menguatkan bahagian yang lain" (sohih muslim)

Islam menggariskan cara untuk menegur seseorang. 
  1. Tidak merendahkan orang yang ditegur
  2. Memilih waktu yang tepat
  3. Memahami keadaan (masalah) orang yang ditegur
Tegurlah dengan baik, fokus pada masalah, dengarkan rintihan mereka, bela manusia dengan adil, tegurlah kerana Allah. Lindungilah diri dan orang lain daripada azab api neraka. Kembalikanlah sesuatu kepada fitrahnya dengan kasi-sayang.

Tegur sayang atau tegur hina? kita tentukan.
Yang Baik dan benar dari Allah, 
Yang lemah dari ana sendiri.
Mohon ampun dan maaf

Sekian, terima kasih.
Waasalamulaikum.






Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...