Thursday 25 October 2018

Asas dakwah adalah Yakin

Bismillah.

"Maaf cik, cik nampak macam sesat. Boleh saya tolong?" kata seorang warga kawasan yang baik hati.

"Terima kasih, memang saya perlukan sangat orang tunjukkan saya jalan. Saya hendak ke tempat A, tapi saya tersalah masuk simpang. Tuan tahu jalan ke tempat A?" nada panik wanita itu menjelaskan keresahannya.

"Err, maaf cik. Saya pun tak tahu tempatnya di mana." jujur dia menjawab.

Boleh saja lelaki yang mahu menolong itu mencuba cara menunjukkan jalan. Tapi kemungkinan besar untuk bertambah sesat itu ada. Kerana dia tidak tahu. Maka untuk mengelak lebih banyak mudarat dinyatakan sahaja dia tidak tahu.

"Cik boleh tanya di rumah jaga di sana, pasti pegawai di situ lebih tahu." Tambahnya lagi.

Kali ini, lelaki tadi memberikan pilihan yang lebih selamat dan memudahkan. Menunjukkan "option" yang lebih membantu wanita tadi. Bermula dengan yakin bahawa dia tidak tahu, dia mengaku. Kemudian yakin ada pegawai yang lebih tahu, dia membantu.

Misalan di atas adalah gambaran mudah tentang dakwah.

Dalam era di mana dakwah menjadi sambutan trend yang boleh dibuat oleh sesiapa dan di mana saja, juga di saat dunia dakwah menjadi cemuhan sehingga ramai orang yang layak, menjauhi medan dakwah kerana tidak mahu berdepan risikonya, dakwah semakin kurang dilihat sebagai alat  pembantu mencari jalan untuk sampai ke jalan yang diperlukan. Malah kadang menyukarkan orang ramai menemuinya.

Dakwah ibarat lelaki yang mahu membantu tadi. Lelaki itu cuba membantu dengan penuh kesedaran dan juga ilmu. Atau kata lain dengan yakin.

Kita dahagakan dakwah yang dibina atas keyakinan. Asas kukuh untuk penyelesaian dan binaan amalan.

"Asas dakwah adalah yakin" adalah kalimah yang saya dengar dari sebuah nasyid. (Tak ingat yang mana) Satu ayat yang menjadi slogan yang cukup keramat. Ringkas namun sangat perlu diulang ingat.

Yakin ibunya ilmu, hasilnya kebaikan, menjadi sebab keberanian, memudahkan penyelesaian.

Yakin menjadikan dakwah menjadi produk yang laku. Orang mencari dan memanfaatkannya dalam kehidupan.

Yakin membersihkan dakwah ini dari kesamaran dan keraguan. Menjelaskan akal insan dan memimpin langkah jalan.

Dalam dakwah, kita adalah semut-semut kecil yang bekerja membantu. Semoga peranan kita dalam dakwah menyampaikan kepada natijah sebaiknya.

(Bosan sungguh posting kali ini haha, doakan saya. Kesuntukan masa untuk ujian midterm. Tak dapat memberi masa menyusun ayat berbunga-bunga ^^)

Posting kali ini ilham dari almarhum Jamal Khashoggi. Moga Allah menempatkannya dikalangan Solihin. Dan menjadikannya inspirasi buat kita dalam jalan dakwah.












Wednesday 10 October 2018

Kenapa MASAT4PALU?

Bismillah.


Baru-baru ini MASAT telah melancarkan satu kutipan dana untuk rakyat Palu, Sulawesi. Kutipan dana yang diberi jenama "KEMPEN 5TL untuk PALU" setakat ini mendapat sambutan yang menggalakkan.

Kempen 5 TL untuk Palu merupakan tabung pertama dilancarkan MASAT buat menunjukkan solidariti kepada rakyat Indonesia, yang diuji dengan bencana gempa bumi dan Tsunami pada 28 September 2018.

Tabung ini bukanlah mahu mengubah wajah persatuan pelajar MASAT kepada NGO kemanusiaan. Kerana objektif utama bukanlah memberi bantuan secara berterusan dan menyusun projek pemulihan, objektif utama adalah menyuburkan semangat persaudaraan dan kemanusiaan antara komuniti Malaysia dengan menjadi prihatin dan proaktif dengan apa yang berlaku kepada negara jiran kita; Indonesia.

Komuniti Indonesia antara komuniti Asia terbesar di Turki. Ini membuka peluang yang besar kepada kerjasama dan perhubungan yang baik sesama komuniti di sini. Dan kemanusiaan adalah antara platform yang membuka peluang itu.
"Looking at the earth from afar you realize it is too small for conflict and just big enough for co-operation." 
Yuri Gagarin (First human to journey into outer space)
Dengan inisiatif kecil ini, diharapkan dapat memupuk minda peduli khusunya dalam diri pelajar. Dengan kesedaran bahawa setiap usaha kita dalam membantu orang lain adalah latihan buat kita mempersiapkan diri untuk menyumbang kembali kepada masyarakat. Kerana pada asalnya juga, kita adalah sebahagian daripada masyarakat itu sendiri :)

RUQAYYA AZHARI







Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...