Tuesday 14 July 2015

Ramadhan 2015

Bismillahirrahmanirrahim


Hari ni malam ke 27 Ramadhan, dan aku ditakdirkan berada di tanah air Malaysia pada saat ini. Hehe, baru sampai rumah semalam. Alhamdulillah, aku yakin keberadaan aku di sini bukan saja-saja, ketika ramai lagi rakan2 seperjuangan tidak dapat pulang untuk raya kali ini. 

Sejujurnya, tak terasa Ramadhan berlalu sepantas ini. Tiba-tiba dah sampai ke pusingan terakhir. Aku ralat, banyak betul yang belum aku dapat, banyak lagi target yang belum dapat dicapai, dan terasa sangat kosong dalam hati ini... seakan-akan tarbiah Ramadhan tidak berkesan kepada diri. Menjadikan aku berasa aku perlu muhasabah... 

Aku berhasrat untuk abadikan penulisan kali ini sebagai rujukan diri, sebagai panduan menempuh hari-hari Ramadhan mendatang jika ada rezeki. Dan sebagai catatan pengalaman aku tahun ini yang sedikit berbeza dari tahun-tahun sebelumnya, untuk dikongsi bersama.

ISPARTA.


Tahun ini, aku bersama 4 lagi rakan melayu perempuan mengikuti program Mukhayyam Ramadhan anjuran yayasan Hayat Turki di Barla, Isparta. Tempat yang jauh dari bandar, dikelilingi bukit bukau dan tasik besar yang mendamaikan ini merupakan tempat pertama Badiuzzaman Said Nursi dibuang oleh kerajaan yang memerangi penyebaran ajaran Islam pada waktu itu. Pada waktu itu tiada lagi jalan perhubungan darat, beliau dibuang sendirian di rumah usang, tanpa teman. Sebagai usaha menggagalkan khidmatnya menyelamatkan Al-Quran, tetap saja dengan kuasa Allah, di mana saja Said Nursi dibuang, pasti ada murid baru yang datang.


Di sebelah madrasah ada satu taman bunga, namanya "Taman syurga". Aku bergurau, kataku aku sudah mati... kerana aku sudah sampai syurga! Hehe. Taman ini dipenuhi bunga mawar dan pohon cerry... menawan hati.










Ringkasnya, program yang bermula dari 20 Jun sehingga 14 Julai ini disertai oleh pelajar-pelajar universiti dari seluruh Turki, Ada juga pelajar luar negara seperti dari Syria, Indonesia dan Sudan. 

Pada mulanya, aku dan rakan-rakan tak punya idea bagaimana sebernarnya rupa dan objektif program ini. Kami hanya dinasihati oleh seorang kakak Hayrat di Istanbul yang sangat menginginkan kehadiran kami ke program ini. Aku hampir saja tidak pergi kerana tarikhnya bersangkutan dengan tarikh ujian final dan tarikh pulang ke Malaysia. Tapi katanya "Walaupun awak pergi sekejap, pasti ada benda yang kamu akan bawa pulang"  Kebetulan ayah dan ibu aku juga sangat mengingikan aku menyertai program ini kerana tidak mahu aku terlepas peluang menimba ilmu dan pengalaman sepertimana yang pernah mereka alami semasa belajar dahulu. Walaupun pada mulanya aku berat hati, aku tetap mempersetujuinya. Aku pun membeli penerbangan tiket pergi dan pulang.


Minggu pertama kehadiranku, terasa sungguh berat. Kadang sampai perlu menangis kerana sudah berasa tak mampu bertahan lagi. Mungkin kerana kami sebelum ini tidak pernah tinggal di madrasah, jadi kami tidak didedahkan dengan apa yang mereka lakukan, antaranya;

Wirid atau dipanggil Namaz Tesbihat
Gabungan zikir dan doa yang tidak kami fahami sebahagian daripadanya dan tidak diketahui dari mana asal usulnya tersebut mengundang rasa tak sedap di hati kami.


Doa2 dalam bahasa Turki .
Doa2 yang panjang dan tidak kami fahami maksudnya (kerana sebahagian memakai bahasa turki lama) kami diminta menghafalnya. Kami sendiri tak dapat melogikkan akal mengapa kami perlu menghafalnya kerana ada diantaranya bukan daripada amalan doa Rasulullah s.a.w.

Jadual yang padat. 
Jadual mereka hampir saja tiada waktu rehat antara program. Mereka tidak tidur malam pada bulan Ramadhan di waktu malam kerana malamnya singkat. Waktu tidur adalah lepas solat subuh sehingga pukul 11.00. Kebetulan aku jenis yang tak boleh tidur pagi dan tidur awal di malam hari.... hoho. Bangun saja, Program berterusan tidak berhenti dan larangan tidur dianataranya menjadikan kami rasa benar-benar tak selesa. Pernah disebut oleh murobbi kami tidur adalah lambang kemalasan, mempengaruhi rakan lain untuk turut bermalasan. Katanya jika tidak larat meneruskan, pulang adalah cara terbaik. Kami tesengguk2 sewaktu muqobalah (seakan tadarrus), sewaktu tazkirah, sewaktu di bilik seminar, dan sewaktu solat juga! Kadang rasa malu kerana seakan tak menghormati majlis, kadang marah pun ada juga.

Pemakaian tudung kecil dan skirt di madrasah
Pemakaian tudung kecil yang dipanggil yazma dan skirt adalah wajib di madrasah setiap masa kecuali waktu tidur. Di luar mereka pakai purdah. Tujuannya kerana bagi mereka madrasah adalah tempat beribadah, dan mereka menghormatinya dengan cara yang demikian. Gatal kepala kami dibuatnya, kerana orang melayu tak reti pakai tudung kecil, kami pakai tudung labuh kami. Lama-lama kami cuba walaupun kekok.

Bacaan Buku Şualar.
Kami diminta membaca dan cuba memahami buku Şualar dalam tulisan osmanlıca (tulisan jawi Turki). Tulisannya berbeza dengan jawi kita, dan kami baru sangat belajar. Ditambah pula dengan perkataan-perkataan turki lama yang tidak ada lagi dalam kamus modern mereka pada hari ini. Buku ini sebahagian daripada Risalah Annur. Buku ini adalah kompilasi balasan hujjah Badiuzzaman Said Nursi si mahkamah-mahkamah, sebagai jawapan terhadap lontaran fitnah dan hukuman yang dikenakan ke atasnya. Buku ini sebenarnya dibaca untuk pelajar Risalah Annur peringat lebih atas, jadi kami yang masih baru ini tidak dapat menerimanya dengan baik. Buku ni dipilih sebagai tema program kali ini kerana kata kakak kami, mereka mendapati anak-anak muda zaman ini mudah putus asa dan menyerah kalah. Buku ini dapat menjadi pedoman semangan dan teladan buat kami.



Salinan semula Risalah Annur 
Mereka menyalin semula memakai kaedah tekap. Aku pada mulanya tidak faham mengapa perlu menyalin semula sedangkan ada banyak kilang penerbitan yang boleh memeliharanya. Bila aku tanyakan kata mereka antara rencana pihak musuh yang memerangi islam untuk menjauhkan kita daripada Islam dan sejarah adalah menghapuskan huruf arab yang dipilih Allah untuk Al-Quran. Dahulu mereka melalui zaman yang sukar untuk mempertahankan tulisan ini tidak seperti kita di Malaysia. Mereka meyakini bahawa menulius semua untuk memelihara tulisan ini adalah untuk mencari Redha Allah. Aku kagum dan terkejut... Sampai begini cara mereka menghargai tulisan jawi mereka, dengan niat yang tak pernah terjangkau akal aku. Teringat kata Bapa arwah Ammar, manuskrip jawi kita dirampas semasa inggeris menakluk kita, sekarang mereka simpan di perpustakaan-perpustakaan mereka untuk dikaji dan membiarkan kita buta tulisan lama itu agar kita buta sejarah, tak kenal ketamadunan sendiri.


Mesti Berwudhuk
Kami mesti berwudhuk untuk memegang buku tesbihat mereka.  Sedangkan iainya cuma buku zikir. Bukan al-Quran pun. Bagi sesetengah daripada kita, Al-Quran terjemahan pun boleh dipegang tanpa wudhuk. Mereka sangat menghormatinya, sehingga buat yang haid perlu memegangnya dengan kain. Menjadikan kami berasa sukar ketika menghafal dan membaca wirid selepas solat.

Tajuk Berat
Tajuk2 seminar mereka berat-berat dan menarik belaka. Memang membuka minda dan disampaikan setelah kajian mendalam oleh orang berpengalaman. Malangnya, keterbatasan bahasa membuatkan kami sukar memahami dan cenderung mengantuk dan tertidur... hehe. Aku kagum, kerana memang orang Hayrat tidak membataskan pembacaan hanya pada kitab Risalah annur, mereka menyajikan ilmu fiqh dan adakalanya menggunakan kebolehan yang ada pada pelajar-pelajar mereka untuk berkongsi ilmu di bidang mereka, seperti seorang kakak graduan food engineering yang telah berkongsi kepada kami tentang kandungan makanan yang haram dalam makanan sehari-hari. Ini menjadikan pelajarnya tidak menjadi katak di bawah tempurung, dan melahirkan kader-kader dakwah yang sarat ilmu.

Mengagungkan Tokoh
Di mana-mana tazkirah, seminar dan  setiap kesimpulan, mereka selalu menyebut "Ustaz kita berkata demikian..." "Ustaz kita pernah...." "Ustaz berpendapat..." dan pernah sekali bila ada yang cuba bertanya dengan baik dijawab "Siapa kamu untuk mengubah apa yang ustaz cakap?" Wah2, panas terasa. Kadang mereka selalu mengkaitkan kehidupan mereka dengan mimpi ustaz ustaz mereka, Ustaz yang dimaksudkan di sini ada Ustaz Badiuzzaman Said Nursi. Aku tahu dia hebat, ilmunya, peribadinya, akhlaknya hebat. Bahkan ada yang menyakininya mujaddid zaman itu. Tapi pendirian aku, sejauh manapun hebat dia, kemuliaan itu dari Allah semuanya. Aku rasa tak selesa kerana aku pernah belajar yang kebanyakan kesesatan yang berlaku zaman dahulu adalah kerana terlalu agungkan tokoh. Sedangkan Rasulullah sallahualaihiwasallam sendiri tidak kita diagungkan sebegitu kecuali apa yang diajarkan oleh Allah ta'ala. Cumanya aku dan rakan-rakan cuba mengalah kerana menyedari adat dan sejarah Turki memang sarat dengan kebiasaan menaikkan nama tokoh-tokoh. Contohnya masjid-masjid dibina dengan nama tokoh, dalam sebahagian tarikat diTurki menyatakan cara mendekati Allah juga perlu melalui wasilah tokoh mereka, sehingga saat ini boleh dilihat, tokoh-tokoh seperti pejuang tanah air, ahli intelektual dan pemimpin, nama-nama mereka diabadikan dengan universiti-universiti bernamakan nama mereka.

Rantai çevsen
Rantai Çevsen ini adalah rantai yang dalamnya ada doa dan ayat al-Quran. Mereka meyakini memakainya boleh melindungi daripada bahaya dan gangguan. Sebagaimana yang kita rakyat Malaysia yakini, ianya adalah khurafat. Kerana yang melindungi kita hanyalah Allah, bukan mana-mana ayat. Ayat-ayat tersebut juga boleh mlindungi seseorang dengan izin Allah ta'ala. Jika kita meyakini bulat-bulat yang benda itulah yang melindungi kita maka bagi rakyat Malaysia, kita meyakini ianya boleh membawa kepada syirik. Tapi kami cuba berlapang dada, kerana mungkin ini adalah alternatif lain untuk membuang kepercayaan karut masyarakat trki kepada nazar (mata yang melindungi) yang sudah sebati zaman-berzaman.

***

Perkara-perkara sedemikanlah yang kadang menghilangkan keikhlasan dan fokus aku, kadang buat aku merengek nak balik... Tapi bila dah sampai pertengahan, aku mula boleh sesuaikan diri. Dengan nasihat dan pujukan rakan-rakan, aku lama-kelamaan boleh mengikuti program ini dengan hati yang lebih lapang.

Banyak lagi perkara yang baik.... kalau mahu disenarai tak mampu ditulis semuanya.

Aku sukakan cara mereka melatih semangat kerjasama, terutama ketika makan. Setiap kumpulan perlu makan mengikut sunnah iaitu menghabiskan makanan selicinnya. Ketika inilah kami belajar pengorbanan, mendahulukan orang lain, bersabar dengan apa yang tak disukai, dalam masa yang sama menjadikan kami boleh berkenalan dengan lebih lagi.

Aku sukakan cara mereka menyusun kumpulan. Kumpulan itulah yang kumpulan gotong-royong sesi pagi, kumpulan itu jugalah kumpulan untuk mengkaji risalah annur. Kumpulan inilah yang membuat aku lebih mudah mengenali mereka, mengetahui hati budi mereka. 

Aku juga suka sifat pembersih, disiplin dan budaya orang Turki. Melalaui kerja berkumpulan, aku belajar bagaimana orang Turki membersihkan rumah (Bersih gilerrr... hehe) Belajar bagaimana mereka basuh toilet, cuci dapur dan sediakan makanan. Seronok, bila lagi aku boleh belajar kalau bukan dikesempatan ini.

Aku sukakan akhlak dan sifat peramah, simpati, empati dan sifat suka meraikan orang yang ada pada mereka. Sekejap-sekejap peluk, puji, bergurau dan bertanya khabar. Kadang dalam sehari 10 kali orang yang sama bertanya khabar kita. Aku teringat dalam sebuah hadis rasulullah, antara sifat yang paling disukai Allah adalah sifat peramah dan mudah didekati. Aku jatuh cinta dengan akhlak mereka.

Aku sukakan asas perjuangan mereka, keyakinan mereka dalam usaha dakwah ini. Asas paling utama bagi mereka adalah keikhlasan dan kejujuran. Ukhuwwah sangat mereka jaga. Berkerja keras dan meninggalkan kerehatan adalah antara sifat mereka, motivasi mereka adalah, ketikamana musuh islam berkerja seperti raksaksa menyesatkan kita, mengapa kita masih perlu bermalas-malasan. Ketika dunia bukan lagi tempat yang selesa, mengapa kita perlu fikir untuk menyelesakan diri sendiri. Aku kagum, semoga Allah berikan aku semangat seperti mereka.

Aku sukakan kerohanian yang mereka halusi dalam setiap ibadah, bait-bait doa, apa yang terselindung di balik pakaian serba hitam mereka, niat mereka menjaga kebersihan, dalam menghormati orang lain, dalam ketelitian menjaga kemuliaan ibadah.... semuanya adalah hasil pancaran keikhlasan mereka melakukan yang terbaik di hadapan Tuhan... Allah, aku masih jauh ketinggalan.

Aku sukakan istiqamah mereka menjaga halal haram makanan. Disebabkan tanda halal turki masih baru dan bukanlah satu yang lazim di sini, maka makanan yang boleh dibeli dan dinikmati tidak semewah orang lain. Coklat, ais krim dan lain-lain tidak akan dibeli pelajar hayrat kecuali setelah benar-benar disahkan halal. Bukan mudah...

Aku sukakan alam semula jadinya, tafakkur yang mereka ajarkan padaku. Indah, tak pernh terbayang aku akan lihat tempat sebegini indah.


Pendek kata... banyak sangat benda yang aku suka... 

Hari terakhir, mikrofon diberikan kepada kami pelajar asing untuk memberitahu apa perasaan dan pandangan kami terhadap program ini.

Maka ketika aku diizinkan berbicara, setelah aku memberitahu bagaimana aku mengenal jemaah ini, Allah mengizinkan aku menuturkan kalam berkut;

"Saya sendiri tak faham mengapa saya boleh sampai ke sini, tap satu perkara sahaja yang saya tahu tak ada satu perkara pun merupakan kebetulan. Minggu pertama kami di sini, kami terasa begitu berat, saya mintak maaf kadang-kadang saya tertidur masa kuliah, saya cuba tahan tapi.... (disambut tawa kawan-kawan). Apa-apa pun, walaupun dengan ketidafahaman dan sebagainya, saya cuba menyakini bahawa semua latihan ini adala latihan dan didikan buat nafsu saya. (tarbiah annafs)kerana ini adalah bulan Ramadhan. Saya teringat Allah menyebut dalam Al-Quran bahawa perkara yang paling Allah hendak lihat daripada kita pada penghujung bulan ini adalah Taqwa."

Aku terpukul dengan kalamku sendiri.... tahulah aku betapa selama ini aku lemah mendidik nafsu, dan tahulah aku, perjalanan aku menuju taqwa yang sempurna masih jauh.

"Rakan-rakan, esok saya akan pulang. Maafkan saya segala salah silap, halalkan segala hak2 kalian yang belum terpenuhi. Ada sebuah peribahasa arab berbunyi 'Jangan ucap selamat tinggal, ucaplah jumpa lagi, kalau tidak di muka bumi, insyaAllah di syurga nanti'". 

Aku menutup kalam, dengan hati yang sebak meninggalkan kerusi bicara itu.


KEMATIAN

Dua hari setelah kepulanganku, aku dikejutkan dengan kematian ibu rakan kumpulan aku, iaitu Feyza. Ibunya meninggal akibat kemalangan. Tapi dia kuat, walaupun tak sempat melihat ibunya buat kali terakhir kerana berada di madrasah. Berita kematian kedua adalah kematian ustaz di sekolah lama aku, ustaz Solehan. Isteri ustaz merupakan guru bahasa melayu aku. Ustaz masih muda, anaknya yang bongsu pun masih sekolah. Ustaz meninggal setelah sesak nafas terkena serangan jantung. Aku tak sangka, kerana kali terakhir melihatnya dua tahun dulu masih sihat, ceria seperti selalu. Berita kematian ketiga sampai ketelingaku pagi ini. Ayah kepada rakan kakakku meninggal dunia dalam tidur setelah sahur. Sedangkan semalamnya masih sihat berjalan.

Wahai... kita tak pernah boleh jamin masih ada hari esok buat diri. Masih sempatkan kita menemui Ramadhan sekali lagi? Sebak.

***
Aku perasan mungkin Ramadhan kali ini terasa lompong, kerana hati aku belum betul-betul aku ikhlaskan untuk Allah. Kalau tidak, mengapa aku perlua mengeluh.

Satu lagi, aku tak buat persediaan sebelum memasuki bulan ini. Baik mental, rohani dan jasmani. Buat aku lelah di tengah-tengah jalan. Ilmu yang menyuburkan hati tentang bulan Ramadhan pun tidak aku hiraukan sangat... wahai, menyesal pun sudah lambat.

Taqwa, adalah berhati-hati dalam mentaati Allah.
Sepertimana kita mengelak dari terluka ketika berjalan dalam semak berduri.

Taqwa itu pakaian, bukan yang compang camping jadi pilihan.
Taqwa itu bekalan, biarlah cukup buat perjalanan.

Haruslah kuingat ayat Allah dalam kitabNya;

Berbekallah, sesungguhnya sebaik-baik bekal adalah taqwa. Maka bertaqwalah wahai ulul-albab

Semoga Allah ta'ala mengizinkan kita mencapai taqwa yang sebenarnya pada Ramadhan kali ini.

Mohon maaf salah silap,
Assalamualaikum.




















Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...