Wednesday 11 July 2018

Kau sedih ya?

Bismillah.

Hari itu wajah dan tingkah laku Aidil tak seperti biasa. Mukanya seperti batang kayu. Berkerut sahaja. Keras, seperti ada yang menghalangnya untuk berasa tenang.

Ada masa dia tertunduk. Ada masa dia memandang ke langit. Ada masa dia mengetap bibir.

Shafiq hanya memandang dari jauh sejak tadi. Shafiq adalah rakan sebilik Aidil di asrama sekolah mereka.

Tiba-tiba hidung Aidil merah. Matanya berair. Cepat-cepat disapu air mata itu. Berlakon seperti tiada apa berlaku, dia menggaru-garu matanya.

"Pap!" bunyi tangan Shafiq menepuk bahu Aidil.

"Woi, terkejut aku. Lain kali bagilah salam dulu." Nampak sangat Aidil tak sedar kehadiran Shafiq sejak tadi. Dia menggelamun agaknya.

Shafiq tahu, sejak Aidil kehilangan ibu kesayangannya baru-baru ini, menjadikannya anak yatim piatu kerana ayahnya sudah lama tiada khabar berita, kawannya pasti terlalu banyak berfikir.

"Kau okay tak ni?" Shafiq menyoal, sambil melabuhkan dirinya duduk disebelah Aidil. Di belakang bangunan asrama.

"Okay je. Lagi okay kalau kau takde." Aidil menyiku Shafiq. Sambil melontarkan sengih nakalnya.

"Haha, fine! Tapi aku nak duduk sini jugak." Shafiq melayan.

"Kau kenapa Dil, janganlah termenung lama sangat. Aku tahu kau banyak sangat fikir. Tapi jangan sampai kau tak bercakap dengan orang."

Aidil diam. Tangannya mengambil batu kecil di tanah. Dibaling ala kadar. Sekadar mengisi ruang waktu.

"Kau sedih ya?"

Aidil menarik nafas dalam. Matanya kembali berair. Dia mengangguk sedikit.

"Kau ni kacaulah.. haha. Hilang macho aku." Aidil mengesat air matanya.

"Mestilah sedih weyh. Ni kali pertama aku rasa betul-betul kehilangan. Aku rasa sunyi." Aidil menoleh sedikit ke arah Shafiq, kemudian mengalihkan pandangannya semula.

"Aku ingat lagi perasaan masa kucing kesayangan aku mati masa aku kecik. Betullah, bila kita dah sayang satu-satu orang tu, bukan senang untuk kita berpisah. Mesti susah untuk kau terima semua ni secara mengejut." Shafiq cuba menyusun ayat.

"Ujian kau lagi besar dari kehilangan kucing. Aku doakan kau dan mak kau dapat jumpa semula satu hari nanti." Shafiq berhenti seketika.

"Dia mungkin tak akan jumpa kau kat dunia lagi untuk gembirakan kau. Tapi mak kau mesti taknak kau sedih macam ni sentiasa? Kalau dia tahu kau kuat semangat dan ceria macam dulu, mesti dia happy."

Wajah Aidil sedikit tenang. Mungkin dia boleh terima apa yang Shafiq cuba sampaikan.

"Shafiq, Terima kasih ingatkan aku." Aidil menyiku Shafiq kali kedua.

"Sakitlah oi, kau tu tulang je. Siku kau tajam!" Shafiq menolak bahu Aidil.

Mereka ketawa bersama.

"Jomlah pergi padang bola. Aku rindulah nak tengok kau main sekali." ajak Shafiq sambil bangun perlahan-lahan.

"Kau pergilah dulu. Aku sampai sat lagi" kata Aidil.

"Jangan lama sangat. Aku bukan boleh percaya kau ni. Haha." Shafiq berseloroh.

Mereka berpisah di situ. Shafiq mengintai Aidil naik ke asrama dari bawah. Wajahnya lebih tenang dari tadi. Seakan ada beban yang terangkat dari bahunya.

Shafiq tersenyum. Dia tahu ada masa manusia perlu diiktiraf perasaannya agar dia tahu bagaimana untuk mengawalnya.














No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...