Saturday 2 February 2013

Tegur Sayang atau Tegur Hina?

Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum semua. Terima kasih Allah kita dapat bertemu lagi dalam penulisan kali ni.

Sebelum menulis lanjut, suka ana kongsi satu kisah yang berbunyi:

     Pada suatu hari, Imam Syafi'ie menghadapi kesukaran untuk mengingati satu-satu pelajaran. Dengan rasa sedih, Imam Syafi'ie mengadukan masalahnya itu kepada gurunya untuk mendapatkan nasihat. Gurunya Sheikh Waqi' berkata setelah memahami masalah anak muridnya:

"Tinggalkanlah maksiat, kerana ilmu itu cahaya dan cahaya tidak menyinari hati yang gelap gelita"

Maka, gembiralah hati imam syafi'ie apabila sudah mendapatkan jawapan untuk masalahnya itu.

Daripada kisah di atas, kita dapat kenalpasti bahwa setiap masalah dalam kehidupan pasti ada cara untuk diselesaikan, antara caranya adalah Teguran.

Teguran adalah medium yang sangat penting untuk menyediakan halatuju bagi fikiran yang buntu. Menjadikan seseorang masih yakin diri, bersemangat dan rasa bahawa masih ada yang mengambil berat di saat-saat ujian berselirat

Tetapi kita kerap kali jatuh dalam kesilapan menegur dengan menutup jalan bagi seseorang maju dalam kehidupan. Teguran sebegitu dipanggil teguran dengan kata-kata hinaan. Orang yang ditegur boleh jatuh malu atau marah sehingga tiada apa yang bertambah kecuali masalah demi masalah. Isunya bukan cara kita menegur, tetapi adakah kita menegur saja-saja atau dengan hati yang benar-benar prihatin dan sayang?.


Fenomena tegur-menegur adalah sesuatu yang serius. Terutama dalam kehidupan "berfacebook", "bertwitter" dan sebagainya. Menegur dengan amarah dan kata-kata jijik dan kasar bukanlah amar makruf nahi mungkar. Bahkan perkara itulah yang mungkar. Lebih teruk lagi jika teguran ke arah kebaikan tetapi menggunakan kata-kata yang tidak berhemah ini memberi imej yang tidak baik terhadap Islam di mata dunia. Menegur secara tidak matang dan mengaibkan orang lain adalah dilarang dalam Islam

Rasulullah s.a.w bersabda:
"perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal saling kasih, saling menyayang dan saling cinta adalah ibarat sebuah tubuh, jika salah satu anggotanya berasa sakit, maka anggota-anggota tubuh yang lain ikut merasakan sulit tidur dan demam" (sohih muslim)

Daripada kisah Imam Syafi'ie itu tadi, kita dapat lihat cara gurunya menegur bukanlah dengan melabel atau menyalahkan Imam Syafi'ie. Kerana cara sebegitu mengundang malu dan perasaan kecewa yang negatif. Tetapi sheikh waqi' dengan rasa prihatin memberikan solusi kepada permasalahan anak muridnya dan menguatkan tegurannya dengan hujjah  bagi membina keyakinan  Imam Syafi'ie untuk  terdorong meninggalkan punca masalah lupa dalam belajar iaitu maksiat.

"Tinggalkanlah maksiat, kerana ilmu itu cahaya dan cahaya tidak menyinari hati yang gelap gelita"

Justeru dalam seni menegur, kesenian itu tidak datang secara lakonan atau paksaan. Ia datang daripada hati yang benar-benar peka dan fikiran yang teliti dalam mengungkap kata. Kesenian juga lahir daripada kasih sayang. Kasih-sayang pula ada pada hati orang-orang yang beriman kepada Allah yang Maha Penyayang. Lihatlah bagaimana Alllah s.w.t menegur Rasulullah S.A.W dalam surah Abasa. Penuh dengan kasih-sayang dan bimbingan kepada hambanya yang dikasihi. 

Allah S.W.T berfirman dalam surah an-Nahl ayat 125:

"Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan Hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan jalan yang lebih baik"

Teguran adalah medium dakwah


Tegur dengan kasih-sayang membantu, Tegur dengan penghinaan hanyalah jalan buntu. Apabila kita menyayangi seseorang, kita merasai keperitan yang dia rasakan. Semangat mereka sebahagian daripada kita. Apabila kita sayang seseorang, kita  cuba sedaya-upaya membantu menyelesaikan masalah mereka dan memberikan kata-kata semangat agar tak putus asa. Kita akan menggunakan kata-kata yang membina dan beradab. Kita menganalisis masalahnya dan berikan tips dan jalan meneyelesaikan masalah itu. Inilah teguran yang menyedarkan bukan terus melalaikan. Dan sekali lagi, terguran inilah adalah teguran sayang bukan teguran hinaan.

Rasulullah S.A.W bersabda:
"Seorang mukmin tehadap mukmin yang lain itu ibarat sebuah bangunan dimana bahagiannya menguatkan bahagian yang lain" (sohih muslim)

Islam menggariskan cara untuk menegur seseorang. 
  1. Tidak merendahkan orang yang ditegur
  2. Memilih waktu yang tepat
  3. Memahami keadaan (masalah) orang yang ditegur
Tegurlah dengan baik, fokus pada masalah, dengarkan rintihan mereka, bela manusia dengan adil, tegurlah kerana Allah. Lindungilah diri dan orang lain daripada azab api neraka. Kembalikanlah sesuatu kepada fitrahnya dengan kasi-sayang.

Tegur sayang atau tegur hina? kita tentukan.
Yang Baik dan benar dari Allah, 
Yang lemah dari ana sendiri.
Mohon ampun dan maaf

Sekian, terima kasih.
Waasalamulaikum.






No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...