Monday 3 March 2014

Kemarau...Hujan buat Hati.

Bismillah permulaan bagi segala kebaikan.


Apa yang ada jarang disyukuri,
Apa yang tiada sering dirisaukan,
Nikmat yang dikejar baru kan terasa,
Bila hilang...
Apa yang diburu,
Timbul rasa jemu,
Bila sudah...di dalam genggaman.

Lirik Nasyid: The Zikr

***
"Kemarau berpunca dari angin monsun timur laut dijangka akan berterusan sehingga akhir bulan tiga."

"Syarikat bekalan air akan melaksanakan catuan air fasa kedua yang akan bermula awal bulan ini dan dijangka berterusan selama sebulan. Fasa kedua akan melibatkan kawasan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya dan kawasan yang berdekatan dengannya, pelaksanaan akan berubah mengikut kondisi cuaca."

"Ha sudahh!"

"Cepat takung air tu!"

"Mandi kalau boleh sekali sehari je tau. Tak mandi lansung pun tak apa kalau tak perlu."

"Ambil wudhuk yang wajib-wajib je eh, secawan cukup dah"

"Jangan basuh dulu pinggan tu, tunggu ada air nanti."

"Tutup air rapat-rapat, menitik tu!!"

"Ayah, kita makan kat luar jom, tak ada air nak masak."

"Macam mana nak cebuk ni, air tak ada."

Sehinggalah ia berubah kepada........

"Ya Allah, kami rindukan rahmatmu."

"Ya Allah, turunkanlah hujan untuk hambamu"

"Ya Allah, kasihani makhluk-makhlukmu..."

Ketika ini, semua hati yang beriman seakan-akan nampak jelas hakikat dirinya. Semakin kuat kebergantungannya kepada Allah. Tiada lagi kesamaran dan alasan. Semakin dia menghargai nikmat Allah. Semakin dia insaf kelalaiannya selama ini.

Tak kurang juga, ada yang mempersoalkannya. Menjadi tidak siuman atas kemarau yang melanda. Hilang rasional dan punca. Kerana hatinya tak ketemu jawapan. Kepada apa persoalan ini mahu disandarkan. Pada pakar meteorologi? Kerajaan? Awan dan tangki air?

Kemarau membawa mesej :  "Kembali mengenal dirimu, kembali mengenal Tuhanmu"

Sehingga kemarau itu berlanjutan....

Ramai yang sudah biasa berjimat air, malah lebih ramai yang menghargai setitis air.

Ramai yang sudah biasa bersederhana, hidup sekadarnya.

Ramai yang tersedar erti ukhuwwah, bagaimana mendahulukan orang lain dalam musibah.

Ramai yang sedar erti simpati, kepada pohon-pohon yang layu dan kering, kepada haiwan-haiwan lidah terjelir...juga hauskan air.

Ramai yang tersedar apa yang tak mampu disedarkan tanpa kemarau.

Namun ada juga yang mempersoalkan mengapa tiada bantuan? Mengapa dunia tiada kemudahan?

Kemarau membawa mesej: "Kembali mengenal kehidupanmu"

***
Kerana bumi itu namanya "tempat ujian", kemarau itu antara pakej yang datang bersamanya.

Memang sudah menjadi tujuan ujian, membezakan kualiti insan.

Kemarau membawa mesejnya, maka pelajarilah sebanyak mungkin didikan darinya.
Agar ujian kemarau mengeluarkan insan-insan yang cerdik, mampu mengaplikasikannya dalam kehidupan.
Bukan hanya mampu melaluinya, tapi tetap keluar darinya dalam kelalaian.

Pelajarilah cara beradab dengan makhkluk Allah bernama "Air"
Gunakannya dengan akal yang berfikir,
Hati yang berzikir,
Insafilah buruknya tabiat membazir.

Jadilah hamba Allah, terhadap nikmat dunia.
Agar nikmat dunia tidak menghambakanmu.

"Bila hujan sentiasa turun, tanah tidak gersang, tapi hati yang tidak bersyukur itu yang gersang."

"Benarlah kalau hujan itu menyuburkan tanah, kemarau itu menyuburkan hati."

Kemarau adalah "hujan" buat hati.

"Dan Dialah yang meniupkan angin sebagai berita gembira sebelum kedatangan rahmat-Nya, hingga apabila angin itu membawa awan yang mendung, kami halau ke suatu daerah yang  tandus, Lalu Kami turunkan hujan di daerah itu, maka Kami keluarkan dengan sebab hujan itu buah-buahan. Seperti itulah Kami membangkitkan orang-orang yang telah mati, muda-mudahan kamu mengambil pelajaran"

Mesej Kemarau...Menghidupkan hati yang mati.

Putrajaya
3/3/2014






















No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...