Friday 7 November 2014

Beraya di Perantauan (Bahagian 2)

Bismillah.

Aku seperti biasa sentiasa melihat di skrin telefonku kalau ada khabar baru yang dihantar melalui laman sosial atau Whatsapp. Seingat aku, beberapa hari sebelum Raya Haji, aku menerima poster jemputan untuk menghadiri program Mahabbah Bayram yang diatur oleh Persatuan Pelajar Malaysia Turki (PPMT/MASAT) di dalam sebuah 'group' di Whatsapp. Seperti pelajar baru yang lain, aku menyimpan sedikit keterujaan untuk menghadiri majlis ini. Mahu sekali berkenalan dengan pelajar senior dan angkatan Persatuan Pelajar.


Seawal 9.00 pagi lebih kurang, aku dan rakan-rakan serumah sudah keluar menuju stesen Metro Fatih di belakang kawasan perumahan kami. Kami menuju ke Bahçelievler. Pagi yang sangat dingin menjadikan keinginan untuk hadir hari itu tidak sehangat musim panas.

Tiba di dewan yang dimaksudkan, kami mengambil tempat masing-masing. Aku teruja kerana dapat bertemu dengan rakan-rakan Melayu yang baru sampai beberapa hari yang lalu. Aku dimaklumkan semua yang hadir datang dari jauh. Ada yang datang dari Bursa, Konya, Ankara dan Sakarya.  Bila dihitung-hitung lebih kurang 100 lebih pelajar yang telah berkumpul. Jumlah pelajar melayu meningkat mendadak pada tahun ini. Sungguh, semua ini adalah kehendak Allah. Setelah pemergian Al Marhum Ahmad Ammar, barulah gedung ilmu di bumi Turki ini lebih mendapat pemerhatian orang. Kalau tidak, aku hanya terfikir bumi Turki ini tempat melancong melihat tinggalan sejarah!

"Kita mempersilakan adik Muhammad untuk membuka majlis kita dengan bacaan ayat Al-Quran dan doa."
Majlis pun bermula. Kami membuka hati dan minda untuk menimba ilmu baru.


Tetamu kehormat pada hari itu adalah Encik Baharuddin. Beliau sudah kami anggap seperti bapa kami. Nasihat beliau, gurau senda beliau seperti yang biasa bapaku berikan kepadaku. Kami diingatkan bahawa kami adalah duta kecil Malaysia, di mana pun kami pergi kami membawa wajah tanah air kami. 


Majlis diteruskan dengan sembang santai yang disampaikan oleh pelajar-pelajar senior. Anataranya Abang Faiz Ali. Beliau adalah pelajar pertama yang datang ke Turki untuk sambung belajar pada tahun 2008. Pada waktu itu biasiswa untuk pelajar luar negara daripada kerajaan Turki belum wujud lagi. Aku pun tertanya-tanya bagaimana beliau survive pada waktu itu. Persoalan-persoalan yang bermain dalam fikiran kami menjadikan kami tertunggu-tunggu buah bicaranya.

Abang Faiz menasihatkan kami agar sentiasa peka dengan keadaaan semasa. Maklumlah, sistem dan birokrasi di Turki sentiasa berubah dan tidak diduga. Kadang-kadang sangat menduga... eheh.

Beliau menceritakan bagaimana dia mula-mula sampai ke Turki, bagaimana dia membiasakan diri dan berinteraksi dengan orang Turki. Katanya, cari rakan yang satu kepala, dan yang penting sekali minat! Jangan tunggu orang untuk anda mulakan sesuatu, jika anda minat, anda akan memulakannya. Cari peluang kerana di Turki terlalu banyak peluang baru untuk diterokai. Kini Abang Faiz menyambung pelajaran untuk Master keduanya, menjadi sayap pemuda dalam sebuah parti politik sebagai jurucakap hubungan luar lebih kurang gitulah... aku pun lupa...hehe. Paling menarik, abang Faiz melakukan semua itu sambil berniaga.

Bersambung....

























No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...