Friday 15 January 2016

Istanbul Yang Ku Kenali.

Bismillah.



Semalam semalam, dunia digemparkan dengan letupan bom di perkarangan SultanAhmad. Tempat yang baru saja aku dan rakan aku yang seorang lalui minggu lepas, menghabiskan sebahagian cuti musim salji kami merakam memori winter 2016.

Allahu... siapa sangka, sewaktu aku tengah fokus belajar untuk peperiksaan pada pagi  Selasa lalu, dalam jam 10.00 begitu, ada kejadian yang mengorbankan nyawa 10 orang bersama 15 yang lan cedera.

Kejadian ini bukan kali pertama, tahun lepas semasa kami sedang mengaji di kursus bahasa guru kami menasihatkan "Saya tak galakkan kamu keluar ke kawasan Sultan Ahmet dan Taksim, kerana bom berlaku di mana-mana." Tahun lepas kejadian sama berlaku, di tempat yang sama.

Apa yang mengejutkan, berita ini menggemparkan seluruh dunia (pastilah dengan asbab media) dalam masa beberapa jam sahaja. Aku terlelap sebentar selepas penat belajar, terjaga sahaja telefon aku penuh dengan mesej baru masuk menanyakan pengesahan berita tersebut, juga risaukan keadaan pelajar-pelajar Malaysia di sini.
     
                         

Aku menyemak kemaskini berita di Facebook, hampir saja tiada berita lain selain daripada Turki! Baik daripada laman ajensi berita luar negara, juga asatizah-asatizah yang menyatakan kesedihan dan takziah ke atas apa yang menimpa Turki pada hari itu. Anataranya adalah Ustaz Nouman Ali Khan, Ustaz Abdel Ibrahim, Raef dan ramai lagi. Mulalah fenomena hashtag #prayforturkey dan #prayforistanbul di laman-laman sosial.


Aku yakin, Istanbul punyai tempat istimewa di hati-hati insan yang pernah singgah ke sini. Walaupun singgah untuk waktu yang sekejap... Tarikannya sangat kuat, kesan di hati dan ingatan sangat berlainan. Aku sendiri tidak dapat mengetahui sebab utamanya, tapi itulah, seakan ada rahsia di sebalik bangunan berusia itu.

"Aku gelarkan ini negeri cinta... Nak tahu kenapa marilah ke sini."  Sengaja aku post ayat ini di facebook, sebagai usaha kecil memperbaiki trauma masyakat manusia terhadap trajedi berdarah yang sedikit sebanyak memberi kesan negatif terhadap sektor pelancongan Turki. sehingga ada seorang sahabat kami mengusik di ruang komentar "Sudah ku kemari, namun masih belum ku fahami kenapa adinda menggelarkan negeri ini negeri cinta. Haha."

Bukan seorang, bukan dua orang yang aku temui yang memuji keindahan negeri ini. Bahkan si barat mengatakan "siapa yang menawan Konstantinople, dia telah menawan dunia."

Guru aku yang sekarang sedang menghabiskan pengajian master dalam bidang turkish literature (maaf tak ingat bahasa melayu dia apa) pernah berkata kepada kami "walaupun Istanbul adalah negeri yang sangat sibuk (melampau sibuk), tapi tiada satu bandar pun dapat melawan kelebihan yang ada pada negeri ini."

Negeri yang dipenuhi lebih kurang 14 juta penduduk ini, merupakan wilayah kedua terkecil Turki tetapi memiliki kadar penduduk yang paling banyak. Kerana sumber pendapatan dan pendidikan serta kemudahan yang boleh dikatakan lebih banyak dan lengkap daripada wilayah-wilayah lain. Di Istanbul juga adalah wilayah dimana majoriti pelajar Malaysia belajar.

                                          

Ayah aku ketika ziarah ke mari tahun lepas  mengatakan bahawa Turki adalah muzium terbesar dunia. Kerana seorang rakan Turki kami yang belajar sejarah berkata "Tamadun pertama dunia menetap di Turki, iaitu tamadun mesopotamia." Dari zaman itu sehingga ke hari ini, beberapa tamadun, dan empayar datang silih berganti menduduki negara ini, dan Istanbul beberapa kali dijadikan bandar utamanya kerana kedudukannya yang stratejik untuk pertahanan, perdagangan dan kelansungan hidup. Kerana itu memang wajarlah kalau hari pertama kalian menjejak Istanbul, kalian boleh ternganga melihat di kiri kanan bahu jalan terdapat bangunan-bangunan lama yang masih utuh berdiri berjirankan bangunan-bangunan baru yang tenggelam kewujudannya dek keindahan seni bangunan-bangunan bersejarah itu.

Di Istanbul, benda yang paling menarik perhatianku adalah masjid-masjidnya, semuanya hampir sama pada rupa, dan terletak berdekatan antara satu sama lain. Setiap satu masjid dibina pada zaman yang berbeza dan memiliki kisahnya tersendiri. Ketika tiba waktu solat, Istanbul seoalah-olah melaungkan azan dari perut buminya. Muazzin-muazzin mereka adalah mereka yang terpilih sahaja, bukan semua orang boleh menjadi muazzin di Istanbul, mereka perlu ada kelayakan tersendiri.

Image result for kız kulesi

Kisah cinta disimbolkan dengan Kiz Kulesi. Kasih seorang bapa kepada anak pula digambarkan dengan Masjid SultanAhmet dan Masjid Syehzade, Istana-istana lama memberitahu keadaaan masyarakat di zamannya, Tembok pertahanan Byzantium dan tentera Sultan al-Fatih mengajar kita tentang keikhlasan, kesungguhan, dan pengorbanan tanpa suara berbicara.


Yang paling menusuk kalbu, adalah makam Abu Ayyub al-Ansari r.a yang terletak di Istanbul ini... mengenangkan aku kepada jiwa-jiwa setia yang pernah bertemu Rasulullah sallahualaihiwasallam dulu, berjalan beribu batu untuk merealisasikan hadi baginda yang menjanjikan tentang pembukaan kota ini.


Tidak dilupakan sejarah Turki yang perit... dalam membentuk negaranya sendiri, dalam mencari identiti dan perjuangan ke arah hak mengamalkan agama dibumi sendiri... Istanbul menjadi saksi terhadap jatuh bangun pemerintahan Khilafah terakhir itu, bagaimana bibit-bibit kegagalan bemula apabila insan tidak lagi jujur membawa amanah pemerintahan, meninggalkan agama sebagai panduan, sehingga Allah menggantikan mereka dengan yang lain, dan menguji mereka sehingga mereka menyedari untuk cepat-cepat kembali kepadaNya, itulah yang menjadi pengajaran terbesar buat penduduk wilayah ini.

Istanbul seoalah-olah ibu kota dunia, atau lebih tepat dunia yang kecil. Di sinilah terhimpun pelbagai bangsa, agama, budaya, dan bahasa serta pemikiran. Dan benda yang paling indah untuk dihadam adalah bagaimana kebersamaan dan perpaduan masih hangat dirasai menguruskan perbezaan-perbazaan yang banyak itu.

Syair-syair ditulis untuk mengungkap rasa cinta dan kagum terhadap negeri ini. Juga lirik-lirik lagu-lagu yang dimelodikan untuknya. Dan aku... menjadikan penulisan ini sebahagian daripadanya.

Aku menemui insan-insan baik yang belum pernah aku temui seumur hidup aku di sini. Aku belajar tentang cara hidup dengan manusia, tentang sabar, tentang persaudaraan, tentang saling menghargai sesama insan, tentang kasih sayang, tentang tujuan hidup aku di sini. Istanbul bukan tempat yang mudah... banyak cabaran dan ujiannya, dan ujian itulah yang mendidik aku kembali kepadaNya setiap kali aku berasa lemah. Setiap kali aku dilanda kesedihan, aku berjalan seorang diri di kawasan-kawasan lama Istanbul, sambil mengenang kembali peristiwa sejarah silam yang memujuk diri agar tabah menempuh hari-hari mendatang. Istanbul buat aku lebih menghargai keluarga, buat aku lebih sedar... aku ni dah besar... hehe.

                               

Kini aku menetap di Fatih, dengan berjalan kaki 5 minit aku boleh sampai ke Makam Sultan Fatih yang terletak berdekatan rumahku. Mereka katakan tuan Istanbul adalah Eyyup, dan aku katakan menterinya adalah Fatih... Seakan-akan sabda Rasulullah itu dibawa oleh penduduk Eyyup dan dilaksanakan oleh penduduk Fatih, kalian akan temui Fatih sebagai bandar ilmu, bandar yang kaya dengan sisterm wakaf, juga pusat kepada badan-badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak-hak kemanusiaan.

Aku pernah berdoa "Ya Allah kembalikan aku kepada Fatih." ketika aku berpindah sebentar dari bandar itu... kerana jujur hatiku telah tertinggal padanya.

Istanbul yang aku kenali, bukanlah negeri biasa-biasa. Ada yang istimewa pada hati setiap orang yang menziarahinya...

Doakan kami, doakan negeri ini... Semoga kita berjumpa lagi.






































No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...