Wednesday 9 November 2016

Bila umur sudah 20

Bismillah..

Yang dahi terkeluar akulah tu.. hehe

Hari ini, tanggal masihi 9 November 2016, genaplah sudah 20 tahun umur hidupku. Bermakna sudah tiada lagi nombor satu di depan untuk selama-lamanya.

Tak sangka sudah 20, seakan semalam baru kuinjak umur 17 tahun.

Sekejap, ya.. memang dunia ini sekejap sebenarnya.

Kali ini penulisan aku hanya untuk mengenang nikmat-nikmat Tuhan, selama 20 tahun aku hidup ini. Namun tiadalah daya untuk menghitung semuanya; ketika Tuhan sudah berfirman;
Jika kamu menghitung nikmat Allah satu persatu, tiadalah mampu kamu menghitungnya. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang. Surah an-Nahl

***

Setiap tahun tanpa disedari, peribadi kita ada yang sudah berubah. Percakapan kita, ilmu kita, pegangan kita selalunya ada pembaikan. Kerana umur adalah pengalaman. Dan pengalaman banyak mengajar insan tentang kehidupan. Justeru umur yang meningkat, walaupun mengambil kudrat, tetapi selalu membantu kita menambah hikmat, buat bekalan menuju akhirat.

Umur 20 tahun ini baru aku sedar, pentingnya menjaga yang berkat-berkat. Seperti restu orang Tua, dan halal sumber makan minum. Kalau tiada itu, terasa ada kekosongan dan kemusnahan dari dalam.

Aku juga baru sedar, pentingnya memiliki teman setia. Teman yang boleh menemani perjuangan hidup. Teman yang sentiasa mengingatkan, ikhlas mencintai, dan teman buat tempat berehat jiwa ini.

Umur 20 juga mengajar aku, sudah sampai masanya untuk tidak mengikut-ikut sahaja. Tidak perlu disibukkan hal orang lain, jalan hidup orang lain. Sudah sampai masanya memikirkan apa yang mahu dibina dari hidup ini, apa yang mahu dibuat bekal dan apa yang boleh diberi. Dengan itu terbukalah masa-masa yang penuh dengan manfaat, hati yang penuh keteguhan menghadapi cabaran, dan azam yang tidak goyah walau digoncang dunia.

Umur yang bertambah ini juga menyedarkan aku, hidup semakin susah, Kekhuatiran ibu bapa sudah menjadi sebahagian kekhuatiran diri. Banyak hubungan yang perlu dijaga dan hak-hak yang perlu disantuni. Banyak jenis manusia baru mula dikenali... ternyata, kenaifan masa kanak-kanak dahulu sangat suci bersih. Lurus, tiada simpang siurnya. Namun kini, memikirkan orang banyak, ragam dan peraturan dunia yang memeningkan, hati ini tidak lagi boleh semuanya dikemudi perasaan seperti kanak-kanak.. ia juga harus dipimpin akal, dan diawasi iman. Jika tidak lemahlah dia menghdapi godaan yang banyak.

Umur ini juga, mengajar aku bahawa di akhir hari yang dihitung itu niat. Yang diingat itu budi mulia. Yang dirindu adalah kasih sayang. Maka segala urusan dunia tanpa tiga perkara itu tiadalah ada harganya. Kecuali hanya penat sementara.

Umur ini juga, aku tidak tahu satu kuasa yang boleh aku sandarkan harapan dan kelelahan ini kecuali Tuhan. MengenaliNya menjadikan seluruh hidup ini indah. Musibah juga nikmat, nikmat apatah lagi. Tak semua ujian yang besar-besar dihadapan nanti boleh aku pikul. Maka aku tahu Tuhan ada, aku melepaskan yang bukan urusanku di tanganNya.

Umur ini... makin menjadikan aku makin reti menjadi insan. Yang selama ini aku relakan menjadi permainan orang lain.

***



Buat ahli keluarga, kehadiran aku daripada kalian bukanlah satu kebetulan. Aku mensyukurinya kerana itu ketentuan terbaik Tuhan.

Hari gelap, cerah, mendung kita, adalah hari di mana Allah mahu menguji tingkah laku kita sahaja. Mahu kita jadi lebih baik. Mahu kita diampuni dan diberikan ganjaran. 

Kehadiran kalian paling banyak mencorakkan peribadi ini pada hari ini, semoga Allah memelihara keluarga ini di dunia dan di akhirat.

Segala pengorbanan, pemberian, kasih sayang dan kemaafan tidak dapat dibalas kecuali dengan doa agar Allah merezekikan kalian syurga. Semoga dengan umur yang bertambah ini, dapatlah ku beri kembali kepada keluarga.

***

Mohon doa.. semoga Allah berkati umur ini.












2 comments:

  1. Subhanallah .. penulisan yang sungguh meruntuni jiwa ini . Moga qayya sekeluarga dilindungi Allah dan sentiasa dirahmati-Nya . Miss you qayya

    P/s : yang sentiasa merindui penulisan dan diri qayya hehehe . Nasib baik qayya tukar nama kalam ibad balik hewhewhew

    ReplyDelete
  2. Qayya tulis sambil duduk sebelah almari. Tak sehebat tulisan Maira apabila berada di tepi tingkap.. haha Aamin, rindu awok juge :)

    ReplyDelete

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...