Friday 17 March 2017

Kerana sisi itu belum ku tahu...

Bismillah.

Allah ciptakan manusia dengan dua sisi, ruhani dan jasmani. Tika Allah berkata-kata dengan manusia dalam wahyuNya, ada waktu Dia mengatakan hal-hal jasmani. Dan tidak kurang Dia menyentuh hal-hal ruhani.

Dia juga melengkapkan agama ini, bukan hanya untuk keperluan jasmani, malah turut meliputi keperluan ruhani.

Jasmani adalah badan, mudah dilihat. Ia meliputi pergerakan dan tindakan, mudah untuk dibuat penilaian. Dan kerana itu, manusia memperuntukkan banyak masa mengkaji dan mendalamai hal-hal jasmani ini. Sehingga, banyak ilmu, banyak pembangunan, banyak manfaat yang diperoleh darinya.

Namun ruhani, adalah ciptaan yang tidak nampak. Malah kerana itu jugalah kewujudannya dipersoalkan. Ramai yang menafikan, ramai juga yang meraguinya. Kerana ia tidak nampak, manusia selalu terlepas pandang. Tidak dapat melihat bukti. Tidak dapat benar-benar merenung dan menghayati, apatah lagi memberi masa yang khusus untuk memperbaikinya.

Namun ruhani itu dikatakan tempat letaknya hayat. Jasmani hanya rangka. Ruhani itu menjadi kepala, ketua, membentuk peribadi jasmani.

Jasmani manusia sama, lengkap dan serupa. Namun sifat masing-masing berbeza. Kerana ruhaninya berbeza.

Tetapi kerana Ruhani itu halnya tidak nampak, kita sering lupa kewujudannya.

Ketika berhubung dengan manusia, kita juga berhubung dengan ruhaninya.

Ketika kita membangun jasmani manusia, ruhani juga menunggu haknya.

Manusia berasa jasmani itulah tempatnya perpaduan. Dia memberi dan dialah menerima. Namun asalnya ruhani itu yang menjadi pengawalnya. Kerana itu ketika manusia hairan mengapa masih ada yang berbeza, rupanya ruhani mereka tidak mahu bersama.

Ruhani itu nafsu,
Ruhani itu hati,
Ruhani itu dorongan sehingga jasmani mahu melakukan.

Semakin lama diri ini hidup di bumi Tuhan, diri ini menjadi takut untuk menilai manusia. Kerana diri ini belum tahu sisi yang satu lagi.. sisi ruhani.




No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...