Monday 18 December 2017

Dukamu bukan segala-galanya

Bismillah.

Mari kita mulakan,
Dengan seorang qudwah hasanah,
Yang dikatakan dalam surah Mumtahanah,
Sebaik-baik teladan dan uswah,
Bagi yang merindui Allah dan hari akhirah.

Dialah baginda Nabi s.a.w
Yang paling dahsyat ujiannya,
Paling getir hari-harinya,
Paling perit duka dunianya,
Paling kurang serba-serbinya,
Paling trajis hilangnya,
Namun paling banyak tersenyum,
Paling banyak menjadi harapan,
Buat sekalian manusia.

Kita justeru ummatnya,
Manusia biasa yang sangat disayanginya,
Baginda tak mampu untuk ada disisi,
Untuk memberi semangat buat kita,
Namun baginda tinggalkan rakaman hidupnya,
Cekal tabahnya,
Sabar cintanya,
Semangat kesungguhannya,
Buat membelai hati kita,
Turut memujuk rasa,
Suluhan cahaya,
Dengan segenap kasihnya.

Dunia ini dijadikan untuk menghancurkan hatimu,
Kata seorang guru yang banyak ilmu,
Agar cahaya masuk,
Di celah-celah retakannya.

Dalam gelap duka,
Berjanjilah pada diri sendiri,
Bahawa kau masih lagi mencintai cahaya,
Bahawa kau masih lagi merindui bahagia,
Agar yang gelap itu kalaupun dunia semuanya,
Terkecuali dirimu sendiri,
Kuasai apa yang ada pada hati,
Agar gelap duka tidak menentukan makna diri,
Agar sekelumit dukamu,
Tidak bermakna segala-galanya.

Hati manusia itu halnya ajaib,
Kecil kudrat tapi besar semangat,
Mampu memegang sebesar hasrat,
Yang tak tertampung selaut keringat.

Namun ketika duka melanda,
Hati yang sama jugalah,
Membuat segala laku terhenti,
Membuat akal dan cekal mati,
Menjadikan segala cita-citanya yang besar itu,
Tak bererti.

Kini kau tahu betapa bahayanya mengemudi hati,
Dialah tempat iman dan nafsumu bertarik tali,
Tempat pahala dosamu berjual beli,
Tempat hidup matimu diberi erti,
Tempat seluruh umurmu diperjudi,
Justeru syaitan suka,
Mematikan manusia...
Pertamanya dari hati.

Betapa syaitan suka,
Pada hati yang kecewa,
Lantas diajakinya putus asa,
Betapa syaitan suka,
Pada hati yang hilang percaya,
Lantas diajakinya sesat bersama.

Maka katakan pada hati,
Dukamu bukan segalanya,
Kerana betapa ramai yang putus asa,
Ditipu rasa kecewa dan duka,
Bukan kerana tak punya harapan,
Hanya kerana dia mengizinkan untuk percaya,
Dunia ini tiada cahaya.

Irbid
23:54











No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...