Thursday 3 May 2018

PRU 14: Muhasabah cara diri menilai

Bismillah.


Apa khabar semua? Moga sihat hendaknya.

Posting kali ini, seperti biasa.. hanya catatan peribadi untuk refleksi diri satu hari nanti. Juga meninggalkan jejak sempena berada di luar negara ketika Malaysia sedang sibuk berkempen untuk pilihanraya.

Istimewanya PRU kali ini, umur saya sudah masuk umur layak mengundi. Iaitu 21 tahun.

Maksudnya, sesiapa sahaja yang sudah sebaya dengan saya tahun ini, diberi kepercayaan untuk memilih apa yang baik untuk masa depan negara. Umur yang diyakini orang-orangnya sudah berani membuat keputusan sendiri. Umur yang mana, mahu atau tidak seseorang itu perlu turut serta berfikir untuk negaranya. Dan di atas semua itu, umur dimana orang itu diberi mandat untuk menilai satu pilihan dalam hidupnya, untuk dirinya, masyarakat dan negaranya.

Seronok kan dah tua? (Acah je tua ^^)

Untuk saya, PRU ini ibaratnya macam exam. Kita semua diuji di dalammnya. Tapi bezanya dengan ujian peperiksaan di sekolah, keputusannya bukan hanya untuk diri sendiri, keputusannya kolektif. Jadi dalam menjawab, betapa pentingnya untuk tidak hanya menilai pilihan kita berdasarkan apa yang kita rasa seorang diri, melainkan mengira juga orang-orang yang akan merasa hasil pilihan kita.

PRU 14 ini menarik. Plot twist dia macam drama. Bermula dengan kisah keluar parti, tubuh parti baru, parti tidak diberi kelulusan, akhirnya guna satu bendera buat pakatan, yang musuh jadi dermawan, mengundi hari Rabu, nasihat keluarga diraja dan lain-lain, semuanya tak pernah dijangka oleh kita.

Adakah PRU 14 mengajar kita untuk menilai dunia ini di luar kotak? Menilai sesuatu di luar zon selesa? Menilai kemungkinan di luar jangkaan?

Mencabar keselesaan diri adalah cara kita belajar perkara baru. PRU 14 banyak mengajar saya perkara ini.

Atau juga, kita sebenarnya diajar bertenang dalam menilai di saat perkara luar biasa seperti itu terjadi? Kerana kadang kita terlupa manusia itu boleh berubah tanpa kita sedari. Bertenang itu perlu, sebab seringkali cemas tidak membantu.

Dalam mana-mana pilihanraya pun, kita diajar menilai bukan hanya dengan emosi, malah juga dengan akal dan fizikal. Kadang bukan hanya manifesto yang membuat kita terdorong untuk memilih, kadang akhlaknya, kadang kemampuannya, kadang barisan calonnya. Lagi banyak perkara diambil kira dalam penilaian kita, lagi banyak sel-sel otak bercantum, lagi kukuh alasan dalam sebuah pilihan.

Di Malaysia, dengan kepelbagaian agama, bangsa, juga latar belakang ekonomi dan pendidikan, sukar untuk kita menilai dari semua sudut kepelbagaian itu. Tapi tetap saja, sebagaimana kepelbagaian itu signifikan pada negara kita, sewajarnya ia dikira sebagai sesuatu yang signifikan dalam pilihan kita.

Apapun, menilai dan memilih tetap hak semua orang. Bergantung pada doktrin yang kita suap setiap hari pada diri sendiri. Lain orang lain pendedahannya. Di sini kita diajar, dalam menilai apa yang dalam pandangan kita, tidak semestinya sama dengan apa yang terzahir dalam pandangan orang lain. Mengambil kiri yang ini, kita mudah berlapang dada.

Akhirnya, menilai sebuah nikmat Tuhan, adalah alat untuk mentaakul dunia kita. Alat untuk membuat perubahan dan pembaikan. Tidak salah untuk kita muhasabah cara kita menilai, agar bila penilaian kita diperbaiki, kita membaiki hidup alam ini.

Salam sayang.

Moga yang baik-baik buat Malaysia.





















No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...