Thursday 1 June 2017

Trip Çanakkale bersama Dr. Hafidzi

Bismillah

Pada 10 Mei yang lepas. saya berkesempatan mengikuti lawatan sambil belajar ke Çanakkale. Salah satu wilayahnya adalah Gelibolu atau nama inggerisnya Galipoli. Satu tempat yang penting dalam sejarah perang dunia pertama. Apa yang unik bagi lawatan kali ini adalah ianya turut membawa seorang tokoh penting yang terkenal dalam kajian sejarah di Malaysia iaitulah Dr. Hafidzi.

Rombongan yang berjumlah 30 orang itu bertolak awal pagi sejurus selepas menunaikan solat subuh. Cuaca sangat baik dan perjalanan juga lancar. Dari pejabat Jejak Uthmaniyah bersamaan Markaz Akif perjalanan mengambil masa kurang lebih 4 jam untuk sampai ke Çanakkale.

Ketika langit masih gelap dan matahari belum menampakkan diri, kami membelah jalanraya istanbul sambil mendengar penerangan awal tentang Çanakkale oleh Dr Hafidzi. Beliau memulakan taklimat dengan ayat al-Quran dan hadis yang mengingatkan kami agar memasang niat untuk mengambil ibrah dari perjalanan hari itu. Katanya, kupasan sejarah yang akan dibuat sepanjang perjalanan kami pada hari itu adalah kupasan sejarah dari sudut yang berbeza. Di mana beliau akan mengaitkan bagaimana keadaan Turki pada waktu itu dengan kesannya terhadap umat İslam seluruh dunia.

Perang Çanakkale ataupun terkenal dengann nama The Gallipoli campaign dan The battle of Dardenelles adalah antara peristiwa terbesar dalam sejarah perang dunia pertama. Perang yang berterusan selama setahun ini adalah cubaan negara-negara bersekutu untuk menjatuhkan Kerajaan Uthmaniyah dengan cuba memasuki İstanbul melalui Çanakkale. Namun cubaan ini gagal apabila tentera Uthmaniyah berjaya menenggelamkan 16 kapal British dan Perancis bersama 8 kapal selam mereka. Tentera negara bersekutu yang sebahagian besarnya terdiri daripada tentera Australia dan New Zealand mencatatkan korban nyawa sebanyak hampir 250 00 orang. Kerana itu setiap tahun akan ada rombongan daripada New Zealand dan Austalia ke Gallipoli untuk menziarahi kubur tentera mereka yang terkorban. Korban tentera Uthmaniyah juga tidak kurang jumlahnya.



Kami meneruskan perjalanan selepas dua kali berhenti. Semakin matahari naik, pemandangan semakin cantik. Di kiri dan kanan jalan terbentang pemandangan indah ladang-ladang pohon yang berbeza dan kampung-kampung Turki. Ralit melihat keindahan alam, kami tidak sangka kami sudah menghampiri Çanakkale. Siapa sangka tanah Çanakkale yang subur itu satu masa dulu menjadi saksi pengorbanan tentera-tentera muslim dalam mempertahankan Khilafah Uthmaniyah di penghujung hayatnya.


Bas yang kami naiki semakin perlahan. Menandakan kami telah sampai pada destinasi pertama kami. Akbaş Şehitliği. Tanah perkuburan para syuhada yang meninggal dunia di hospital Akbaş, antara hospital utama semasa perang Çanakkale.


Sebelum masuk, Dr Hafidzi sempat mengingatkan kami agar cuba menjiwai sejarah yang kami lihat pada hari itu seakan kami hidup di dalamnya. Beliau menceritakan bagaimana umat İslam pada perang dunia pertama saling menunggu khabar berita dengan cemas. Setiap kali rombongan dari mana-mana negeri umat İslam seperti Acheh sampai ke Mekah, soalan pertama yang ditanya oleh warga di sana adalah "Sudahkah kamu tenggelamkan kapal-kapal Belanda?" Pada zaman itu, walaupun ummat Islam duduk berjauhan antara satu sama lain, mereka tetap mengambil tahu perkembangan ummat dan mengikutinya dari dekat.
Ummat Islam itu ibarat tubuh yang satu, jika satu bahagian sakit, bahagian lain tidak dapat berehat kerananya. (Mafhum Hadis)
Mungkin dengan menjiwai perasaan ummat Islam pada waktu itu, kita dapat mengingat semula semangat persaudaraan yang dibawa dalam hadis di atas. Hari ini kita di sebahagian negara ummat Islam makan kenyang dan tidur lena. Sementara hati kita tidak benar-benar terpanggil untuk mengangkat kezaliman dan kesengsaraan yang dihadapi saudara seagama kita di penjuru bumi yang lain.


Saya melemparkan pemandangan seluas kawasan itu. Hati ini menjadi hiba. Dengan langkah yang perlahan saya melalui lorong-lorong makam yang tersusun rapi itu. Sambil cuba membaca nama dan tahun para perajurit perang yang syahid. Ternyata kebanyakannya muda-muda belaka. Di batu nisan tertulis tahun lahir dan mati. Ramai yang berumur sekitar 20 dan 30'an. Di batu nisan juga tertulis asal bandar mereka. Mereka datang dari bandar-bandar berlainan. Jauh dari kampung halaman. 

Pada hari ini wajar benar anak muda banyakkan syukur dan berusaha sehabis daya memajukan negara. Dalam suasana aman, manusia boleh bercita-cita tinggi, menimba ilmu dan mencari rezeki. Sementara para syuhada yang muda ini, mereka memendam semua harapan dunia, menahan segala keinginan rasa, terpisah dari keluarga untuk berjuang membela negara. Yang mana mengakhiri hidup mereka. 
"Dan janganlah sekali-kali kamu mengira bahwa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati, sebenarnya merek itu hidup di sisi tuhannya mendapat rezeki." 
(Ali İmran 3;169) 

Selepas Akbaş Şehitliği, kami bergerak menuju Rumeli Mecediye Tabyası. Antara kubu utama tentera Khilafah Uthmaniyah dalam menangkis serangan-serangan negara bersekutu. Dalam perjalanan menuju ke sana, di sebelah kiri jalan terbentang pemandangan laut marmara. Laut yang menyaksikan kapal tentera-tentera negara bersekutu mara bagi menyerang tembok-tembok pertahanan Khilafah.


Sebelum sampai ke situ, kami berhenti seketika di Kilitbahir Kalesi, satu kubu pertahanan yang dibina oleh Sultan Fatih pada tahun 1452. Disini saya sempat turun merasa air laut marmara. Air yang nyaman lagi jernih tidak memberi sedikit tanda pun ianya pernah menjadi medan tempur satu masa dahulu.




Bersambung pada posting seterusnya...






















No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...