Tuesday 7 January 2014

Sejarah...Mencari nilai berat yang diringankan.



credit; mangapo.wordpress.com
Bismillah, permulaan bagi segala kebaikan. Assalamualaikum :)

Kalam dibuka....

Masa sekolah menengah nilah, baru ada sikit-sikit minat dalam subjek Sejarah. Entah mengapa, memahami dan menghafalnya sangat menarik. Tapi diri ini masih tak nampak, apakah kepentingan sebenar yang ada di sebalik sebuah bidang ilmu yang namanya "Sejarah".

Namun, sejak kerap membaca laman sesawang Ustaz Hasrizal berkenaan Sejarah dan sejak perginya almarhum Ammar yang memilih untuk mendalami Sejarah, saya begitu terinspirasi. Bahkan berasa teruja mendengar penyampaian Tuan Haji Ahmad Azam tentang misi dan visi yang ada di sebalik mempelajari Sejarah. Maka bermulalah sebuah minat yang agak besar. Tapi minat bukanlah kelayakan utama di medan sejarah yang penuh amanah ini.

Semasa singgah di kedai buku Imanshoppe, saya terus membeli sebuah buku berjudul "Bangkit dan Runtuhnya Khilafah Utsmaniyyah" yang harganya berjumlah RM 60 tanpa berfikir panjang. Walaupun harganya dirasakan begitu besar bagi poket "pelajar", atas nasihat abang saya, saya membelinya.

credit; www.kautsar.com

Sebaik sahaja Kak Naheed dan suaminya pulang dari Turki dua bulan lalu, saya dihadiahkan senaskah buku yang katanya pernah dibeli oleh almarhum Ahmad Ammar kepada Abahnya. Saya kemiskinan kalimah untuk mengungkapkan Terima Kasih pada mereka berdua. Semoga Allah merahmati jasa baik Abang Ipar dan kakak saya. Buku Bilinmeyen Osmanlı ini adalah buku berbahasa Turki. Saya sendiri masih merangkak mempelajari bahasa Turki, mohon doa semua agar saya mampu menguasainya. 


Credit; urun.gittigidiyor.com

Antara bahan bacaan yang menarik bagi memahami konsep Sejarah Islam adalah buku "Konsepsi Sejarah Dalam Islam" karya Asy-Syahid Sayyid Qutb. Terliur pulak nak baca buku "Fiqhu Al-Sirah" karya Syeikh Al-Buti. Namun, saya rasa lebih selamat jika menelaah ilmu mengikut tahap-tahapnya.

***

Memahamkan Tugas Besar Sejarah.

Pepatah dulu berbicara;
"Pelajari sejarah! Kerana kaum yang melupakan sejarah,
Adalah seperti anak pungut yang tidak mengetahui nasabnya,
Atau seperti orang yang hilang ingatan,
Sehingga ia tidak ingat masa lalunya."
Tahun 2014 yang tiba ini tidak mungkin wujud tanpa adanya tahun 2013. Begitulah pentingnya mengenal sejarah. 

Bagi seorang muslim, tanpa mengenal sejarah asal usul dirinya, mana mungkin dia berjaya mengenal Tuhannya dan mengabdikan diri kepadaNya. Sebahagian besar ayat-ayat Al-Quran juga berbicara tentang Sejarah. Bahkan, amat rugi kalau setiap yang membaca Al-Quran tidak memahami sejarah penurunan ayat (baca; Asbabun Nuzul) yang merupakan sandaran asas bagi pemahaman dan penggunaan ayat tersebut.

Pada zaman ini, kita beruntung walaupun realiti yang ada seakan tidak menguntungkan kita. Kita beruntung kerana kita memiliki panduan dan nasihat-nasihat yang ada dalam sejarah masa lalu bagi menguruskan masalah hari ini. Dan mengambil pengajaran daripada "sejarah hitam" agar kita tidak lagi mengulangi kesilapan yang sama. Ia seakan-akan pertunjuk "percuma" bagi manusia dalam perjalanan hidupnya.

Firman Allah dalam Surah Sajdah;26 yang bermaksud;
"Dan tidakkah menjadi petunjuk bagi mereka, betapa banyak ummat-ummat sebelum mereka yang telah Kami binasakan sedangkan mereka berjalan di tempat-tempat kediaman mereka itu. Sungguh, pada yang demikian itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) Apakah mereka tidak mendengarkan (memperhatikan)?"


Penduduk Pompei (sredit; www.fasak.com)

Pengalaman juga adalah sejarah. Dalam kehidupan bekerja juga, mereka yang kaya dengan pengalaman dan ilmu mudah mendapat pekerjaan berbanding mereka yang hanya memiliki ilmu sahaja. Pengalaman membentuk cara fikir, kematangan dan kemahiran yang merupakan kayu ukur terhadap keberkesanan ilmu yang diperolehi. Pendek kata, pengalaman yang merupakan sejarah adalah satu bentuk pendidikan yang tidak dipelajari melalui kelas!




"Realiti hari ini, adalah sejarah hari esok"
Tenatnya ummat hari ini berpunca daripada masalah-masalah tertentu, kalau kita kembali melihat sejarah, masalah-masalah yang kita alami hari ini merupakan masalah yang sama temanya dengan masalah-masalah yang pernah meruntuhkan sesebuah tamadun yang agung satu masa dulu. Contohnya, keruntuhan akhlak, gila kuasa, kehilangan kuasa sesebuah masyarakat dalam sistem feudal, jauhnya pemikiran dan budaya masyarakat dari agama, atau mungkin agama yang diamalkan atau difahami dengan cara yang salah yang akhirnya membunuh masyarakat itu sendiri.

Semua itu ada dalam Sejarah. 

Sejarah adalah alat bagi seseorang memahami sebuah teori dan teks dengan pemahaman yang luas. Dari mana ianya diperoleh, apakah faktor yang menyebabkannya terhasil, apakah kesannya, dan memungkinkan ianya diubahsuai dan diguna pakai pada realiti semasa.

Di saat masyarakat terlalu ghairah dengan kehidupan fantasi, tenggelam dalam penghayatan agama secara ritual dan romantism, dan menyamakan hidupnya dengan Drama dan Sinetron, "Sejarah" adalah rujukan terbaik untuk memisahkan pemahaman Realiti dengan segala kesamaran itu.

Kerana Sejarah sifatnya realiti, nasihat, meransang pemikiran dan rasional, dan menggilap apa yang kelam dan berhabuk. 

Namun, perkara yang dikhuatiri adalah sejarah yang tidak terjamin kesahihannya, tidak telus cara penyampaiannya, tersasar pula matlamat dan kesannya. Memutarbalikkan sejarah ataupun menyusun sejarah untuk menutup kebenaran adalah sebuah pengkhianatan yang bertali arus melalui generasi kepada generasi seterusnya.

Matlamat mempelajari Sejarah dalam diri seorang muslim adalah mengambil sebanyak mungkin Ibrah daripada sejarah untuk kemaslahatan diri dan ummah pada hari ini.

Ia hanya boleh dicapai apabila kita mempelajari sejarah dalam asas untuk Menegakkan kebenaran, Merungkai kekusutan dan salah faham, Mengadaptasi kebaikan daripada sejarah sesebuah tamadun dan Membela mereka yang dizalimi dengan fitnah dan tomahan yang terlalu berleluasa dalam pengolahan sejarah oleh para orientalis barat. Dan semua ini memerlukan kita beradab dengan sejarah.

Sejarah mungkin merupakan subjek yang popular sebagai 'Subjek Bosan' di peringkat sekolah menengah. Atau mungkin iainya kuliah terakhir yang dipilih bagi seorang pelajar untuk menyambung pelajaran di peringkat lebih tinggi. 

Pandangan masyarakat terhadap sejarah mungkin terjadi akibat terlalu selesa berada dalam dunia kini yang dirasakan serba cukup sehingga tidak sedar betapa sejarah itu penting bagi keperluan mereka lantas sejarah diremehkan. Sehinggalah bencana yang pernah menimpa sejarah menimpa mereka, barulah mereka menghargai yang namanya "Sejarah". Seperti tanaman yang tanahnya lama tak digembur, lama kelamaan tanahnya keras dan padat, tidak mengalirkan air, menyebabkan pohon layu dan mati.

Orang dulu kalau ditanyakan pendapat mereka akan berkata;
"Atok dulu......"
"Orang tua lebih banyak makan garam daripada kamu"

Sejarah, adalah sebahagian daripada kehidupan individu yang membina individu.

Begitu juga bagi masyarakat, negara dan tamadun.

Bagi Muslim, sejarah Islam yang mulia bukanlah bahan untuk bermegah-megah sehingga menyebabkan kita berasa selesa untuk tidak melakukan perubahan, tapi teguran untuk kita bagi mengorak langkah dan menyusun perancangan. Yang salah jangan diulangi, yang baik dicontohi. Dalam misi Rahmatan lil Alamin, dalam niat hanya kerana Ilahi.

Minat itu adalah bonus dalam merenangi lautan ilmu sejarah ini. Tapi untuk menjadi ilmuwan, kita memerlukan keseungguhan untuk menjadi pakar dalam sesuatu bidang, bukan sekadar minat padanya.

"Kita perlukan pakar sejarah, sebab biasanya mereka yang merosakkan sejarah adalah peminat sejarah." Kata-kata seorang guru yang masih terngiang-ngiang di kepala.

Belajarlah Sejarah!

Sekian,
Yang baik dari Allah,
Yang lemah dari diri ini.
Doakan saya :)
illalliqa'.








No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...