Friday 2 January 2015

Seperti pemandu bas itu...

Malam 31 Disember itu sungguh kencang. Hujannya lebat dan menyakitkan apabila ditolak angin ke kulit muka.

Aku cepat-cepat menaiki bas bernombor 11-C untuk pergi ke Emniyet Mahallesi. Selepas menekan kad bas, aku menurunkan hook ke belakang. Mataku melirik sebentar mencari tempat duduk. Aku mengambil tempatku di bahagian tengah belah kiri sebelah cermin tingkap.

Bas bergerak membelah malam itu bersama jiwa dan mindaku.

Wahai, cepat sunggu masa berlalu.
Seakan-akan aku baru habis kertas terakhir SPM semalam. Masih segar keterujaan memasuki alam kebebasan... kononya.

Bas membelok ke kanan dengan penuh teliti.

Kalau mahu disenaraikan pahit manis yang wujud, maka terlalu banyaklah dia. Sehingga membuat aku malu mengapa aku sedikit sekali beramal dan bersyukur.

Aku sudah di negeri orang, sudah 6 bulan berlalu. Sekejap benar.

Sifat aku juga berbeza, adakah kerana aku tidak berpendirian? atau aku sudah berubah?
Antara persepsi dan isi.

Mari kita intropeksi... sejauh mana masa yang Allah gunakan benar-benar kita amanah menggunakannya?

Aku takut...
Jika beberapa tahun nanti, penyesalan itu dan ini memburuku.

Aku takut...
Akan azab dan peringatan Tuhanku... kerana aku tahu banyaknya salah dan dosaku.

Aku takut...
Untuk bermimpi, meminta untuk dihidupkan kembali, di akhirat nanti.

Aku sedar kelainan yang wujud dalam diri ini, kebaikannya mahu aku lupakan jauh-jauh. Itu bukan milikku.

Yang aku risaukan... perubahan yang sia-sia, malah mungkin berdosa.

Kalau hidup itu seronok dengan sia-sia,
Kalau hidup itu seronok dengan dosa,
Kalau hidup itu terus berlandaskan yang begitu rupa,
Matilah saja...
Kalau benar itu makna kehidupanmu.

Wahai diri...
Engkau amanahku,
Memandumu sepatutnya ke tempat yang benar,
Bukan merosakkanmu,
Memandu sesuka hatiku,
Kalau tidak tak bergunalah diriku.

Aku bangun dari tempat dudukku, menuju ke pintu tengah bas.

Bunyi pemandu bas menekan brek untuk berhenti. Pintu automatik itu dibuka, aku melangkah keluar darinya.

Aku melepaskan pandangan terakhir pada bas yang mula bergerak itu, sambil hati kecilku bersuara...
"Seperti pemandu bas itu..." sambungku.





















No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...