Sunday 20 September 2015

Pandai Menyusun Warna


                                                  

Bismillah...

Gambar ihsan; www.theonlyquran.com
"Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenali, Sesungguhnya yang paling mulia dalam kalangan kamu disisi Allah adalah yang paling bertaqwa, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Teliti."

Benarlah kalam Allah yang Maha Agung....

Hela nafas.... lepas.

Coretan kali ini bukanlah berniat untuk mentafsir ayat Allah ini, hanya mahu mengambil inti sebagai bekal diri. Kebetulan baru-baru ini di Malaysia heboh isu cemuhan ke atas bangsa cina. Yang sepertinya menyempurnakan perjalanan jauh "perkauman" yang berakar panjang dalam sejarah insaniah, akhirnya sampai kepada kita...

'Perkauman' boleh jadi satu kalimah yang terlalu besar dan terlalu bersifat akademik untuk dihuraikan, maka, siapalah diri ini untuk mengulas isunya.

Tapi perkauman tidak jauh kaitannya dengan masalah yang lebih kecil skalanya yang kita hadapai sehari-hari.

Dan masalah-masalah itu saya arahkan kepada kehidupan mahasiswa, terutama yang menuntut diluar negara. Di luar negara, cabarannya kalau boleh saya katakan tidak semudah ketika berada di tanah air. Kerana pelajar kita termasuk dalam kumpulan minoriti, di negara yang majoritinya berbangsa, berbahasa, berbudaya, bahkan mungkin beragama lain daripada kita. Ditambah lagi ketiadaan ibu bapa dan keluarga di sisi, dan dikelilingi pula oleh jemaah-jemaah, parti politik, dan segala namanya persatuan yang menunggu-nunggu peluang menarik perlajar-pelajar ini menerima fikrah mereka... yang akhirya menjadikan pelajar-pelajar diuji luar dan dalam.

Perezaan latar belakang dan sejarah
Perbezaan pendapat dan pendirian,
Perbezaan norma kehidupan,
Perbezaan karakter,
Perbezaan budaya,
Dan banyak lagi....

Yang kalau tidak dapat diselesaikan dengan betul, berkeras kepala merasakan diri lebih utama dan pegangan diri lebih mulia, mulalah kelompok kecil ini berbunyi bising,

Pertelingkahan,
Pemulauan,
Mengutuk sesama sendiri,
Tidak bertegur sapa,
Tak boleh duduk semeja
Bermasam muka.... and so on.

Secara peribadi, masalah-masalah ini, inputnya lebih kurang sama dengan input yang menyebabkan masalah perkauman. Cumanya prosesnya yang berbeza, dan tidaklah serumit itu.

Yang sama adalah, kegagalan memproses input menghasilkan output yang bermasalah.
Ya... kita kegagalan semasa fasa proses.

Dalam Surah al-Hujurat ayat 13, Allah menyatakan perbezaan sebagai input, saling mengenali sebagi proses, dan Allah menyatakan output yang diingininya adalah Taqwa.

Dalam mengurus warna-warni yang ada, kita selalu mahukan ianya menurut kita. Sehingga kita lupa kehendak Allah melalui ujian ini adalah mahu melihat siapa benar-benar bertaqwa.

Kalau masing-masing merasakan diri lebih mulia, mari kita betulkan semula. Kemuliaan bukan milik sesiapa, kemuliaan adalah milik Allah semuanya, Dan Allah mengatakan yang paling mulia antara kamu disisiNya adalah yang paling bertaqwa.

...

Jika sebut taqwa pasti semua tahu makna dan caranya... (kalau tak tahu boleh cari sendiri... hehe)

Ketika kita tidak sehaluan, bukanlah maksudnya kita memutuskan terus hubungan. Cukuplah bila kita tidak mencapai kata sama, kita saling menghormati pendapat masing-masing, menjaga hak yang lebih utama.

Ketika cara dan peribadi yang berbeza mengundang jauh hati dan terluka, sabar, memaafkan, dan ambil masa memahami "mengapa dia begitu" adalah lebih mulia daripada berkata aku-tak-suka-dia-lebih-baik-duduk-sorang-sorang. Kadang akhlak yang kita tidak suka itu tidak dia sedari, mungkin selama ini tidak pernah dia pelajari, mungkin orang-orang yang terdekat menerima dia sebegitu... jadi kita perlukan waktu belajar tentang dia, dan mungkin kita juga boleh mengajar dia.

Bagaimana terukpun apa yang telah diperlakukan kepada kita... Jangan pernah menghina, jangan pernah mebuat konklusi mudah 'yang salah dia'.

Kerana jika kita menghina,
Kita rasa diri lebih mulia,
Mungkin di mata Allah, dia jauh lebih ikhlas, lebih tinggi martabatnya,
Tanpa sedar,
Kita menolak kebenaran yang diperkatakan mereka...
Itu sombong namanya,
Kita tak tahu,
Mungkin yang lebih memerlukan contoh yang baik itu dia bukannya kita.
Jika kita menghina mereka,
Mungkin kita telah menutup pintu perdamaian yang kuncinya di tangan kita.

Saya tahu bukan mudah... terutama bila yang terluka, yang menanggung derita adalah pihak kita.

Tapi orang bertaqwa, dia bertindak bukan kerana diri... Tapi kerana Allah ta'ala.
Orang bertaqwa, mencintai Allah lebih daripada dunia,
Orang bertaqwa, berlaku adil walaupun dizalimi,
Orang bertaqwa, mencintai kasih sayang daripada membenci,
Orang bertaqwa, tahu bersimpati,
Orang bertaqwa, sabar dan baik budi,
Orang bertaqwa, menahan diri daripada perbuatan yang keji.
Orang bertaqwa itu mulia, walau semacam mengalah di mata manusia.

Kalau perangainnya sangat mengkusutkan kepala,
Fikir sajalah begini,
Manusia itu,
Matanya terlalu kecil menilai.
Penilaiannya terhasil daripada sejauh mana dia membaca, melalui, dan mengamati,
Mungkin bersama kita... bermulalah pengamatan baru,
Mungkin bersama kita... tersembunyi apa yang dia perlu,
Mungkin dari kita... ada yang boleh melengkapi dirinya...
Mungkin dia masih muda, baru menimba pengalaman,
Dia perlukan bimbingan bukan kemarahan,
Mungkin dikaulah orang pertama,
Yang dapat merubah dirinya,
Hanya saja kalau kita dapat bertahan,
Mengambil tempat yang lebih mulia,
Mengambil cara orang bertaqwa.

Perbezaan yang kita ada...
Adalah seperti warna,
Memerlukan kita pandai menyusunnya,
Agar cantik gambarannya.

















No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...