Saturday 28 May 2016

Doa dan adat Orang Turki.

Bismillah..

Dah lama tak menulis, maaf sibuk dengan segala macam jadual. Hari ini baru habis exam final, alhamdulillah. Doakan supaya saya istiqamah menulis.

Doa dan adat orang Turki... tajuk kali ini bukan mahu bercerita tentang bagaimana orang Turki berdoa, tapi mahu berkongsi satu budaya sapaan orang Turki yang penuh dengan doa.

***

Pagi itu, sambil menggosok-gosok mata menunggu giliran bilik air, ada seorang kakak Turki juga mampir untuk menunggu giliran.. pastilah selepas saya! Hehe. Kalimah pertama yang diucap olehnya "Hayırlı Sabahlar." maksudnya.. "Semoga pagi kamu dipenuhi kebaikan". Setiap pagi, hampir saja setiap kali bertemu dengan sesiapa sahaja, itulah doa yang akan diucapkan oleh mereka.

Selepas solat dan menelaah bacaan, akan tiba masa sarapan. Dalam pukul 8.30 pagi setiap hari. Kami biasanya akan bersedia menunggu juadah di meja makan yang kami panggil "sofra" atau bahasa melayunya safrah. Ketika mahu memulakan suapan pertama biasanya rakan yang memasak pada hari itu akan berkata pada kami "Afiyet Olsun" Maksudnya "Semoga makanan itu afiah (berkhasiat) buat kamu." Ucapan itu disambut senyuman dan dibalas doa pula ;"Ellerinize Sağlık." Maksudnya "Semoga Allah mengurniakan kesihatan kepada kedua tangan kamu." Selalunya doa inilah yang akan diucap di kedai-kedai makan dan ketika menjamah makanan yang disediakan tuan rumah kepada tetamu-tetamunya.

Kemudian saya bersiap-siap, mula melangkah keluar rumah untuk ke sekolah. Semasa sedang mengenakan kasut, sesiapa sahaja yang menghantar saya sampai ke pintu akan berkata "Iyi dersler" Maksudnya "Selamat belajar." Jika keluar itu untuk tujuan musafir akan dikatanya pula "İyi yolculuklar". Yang bermaksud "Semoga perjalanan awak baik-baik saja."

Kalau singgah membeli roti di tepi jalan itu orang Turki akan berkata kepada penjaja roti "Kolay Gelsin." Yang bermaksud "Semoga dimudahkan urusan.". Selepas jual beli Pakcik penjaja roti akan berkata pada pembeli "Allah bereket versin." "Semoga Allah memberkati pembelian kamu." Bukan sahaja di kedai-kedai roti, di mana-mana sahaja kita terserempak dengan orang sedang berkerja, doa "Kolay gelsin" itulah yang akan diucapkan. Baik untuk memulakan perbualan atau sekadar sapaan mesra. Kalau singgah membeli pakaian atau hadiah, peniaga akan mengucapkan pada si pembeli "Güle-güle Kullan" "Selamat Mengguna." dan akan disambut dengan ucapan terima kasih orang Turki "Teşekkürler."

Semasa berurusan dengan orang di talian, kalau waktu itu masih siang akan diucapkan "İyi günler" atau dalam bahasa inggerisnya "Good evening." Dan jika petang "İyi akşamşar."

Di sekolah, kalau musim peperiksaan tiba, akan kedengaran doa-doa seperti:
"Allah Yardımcın olsun" "Semoga Allah membantu kamu"
"Allah kolaylık versin" "Semoga Allah memberi kemudahan pada kamu."
"Allah muvaffak etsin" "Semoga Allah membantu urusanmu"
"Allah zihnini açıklığı versin" "Semoga Allah membuka kemampuan berfikir."
Dan banyak lagi.

Kalau orang baru bertunang, kepadanya diucapkan "Allah utandırmasın." Maksudnya lebih kurang "Semoga Allah menjayakannya." Kalau yang berkahwin juga begitu, kadangkala "Hayırlı Olsun" juga diucapkan. Maksudnya "Semoga dikurniakan kebaikan (atas perkahwinan ini)."

Setiap hari di surau sekolah, ada saja kedengaran doa-doa untuk orang-orang yang baru sudah sembahyang "Allah kabul etsin" yang bermaksud "Semoga Allah menerima ibadah kamu."

Yang lucunya jika orang Turki marah, untuk tidak berkata yang bukan-bukan akan diucapnya "Allah hidayet versin." "Semoga Allah memberinya hidayah" Atau "Allah cezanı vermesin" "Semoga Allah tidak memberinya balasan buruk." Kadangkala diucap "Allah Affetsin" "Semoga Allah mengampunkan". Hehe... kadang saya ketika marah pun terikut juga budaya ini.

Bila malam berlabuh dan mata pun mahu berehat, kami biasa mengucapkan sesama sendiri "İyi geceler, Allah rahatlık versin." "Selamat Malam, Semoga Allah bersikan kerehatan."

***

Begitulah orang Turki, doa yang ringkas itu sudah menjadi adat mereka. Mungkin lebih kurang dengan ucapan harian orang Arab. Mungkin berasal dari doa yang diajar Nabi. Apa-apa pun budaya baik ini semoga berterusan sepanjang zaman. Semoga dihayati dan diamalkan dengan sedar agar mendapat pahala ibadah, di samping terus menyebar rahmah.

Sekian saja kali ini,
Doakan kami :)












No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...