Sunday 29 May 2016

Lupa...

Bismillah...

Gambar hiasan

Pagi itu Ahmad mundar mandir di perkarangan rumah. Segala tempat digeledahnya. Ahmad sudah lambat, dia ada temujanji penting hari ini. Dan kunci keretanya masih tidak ditemui! "Arghh, mana ni?".

Masa genting sebeginilah Ahmad mula susah hati, dan akhirnya bertukar menjadi stress dan marah-marah. Mulalah dia bersangka-sangka, kalau-kalau ahli rumah ada salah meletakkan kunci keretanya. Habis semua orang dimarah, muka Ahmad masam, suara Ahmad tinggi, orang jadi takut pada Ahmad.

Jam menunjukkan pukul 5.30 petang. Waktu itu, ada seorang budak lelaki, bersongkok hitam, bersamping hijau, berbaju melayu putih kain cotton tiba di rumah Ahmad. Anak yang berumur 11 tahun itu namanya Khairul bin Ahmad. Anak lelaki sulung Ahmad. Dia baru pulang dari Sekolah Agama. Tiba saja Khairul di muka pintu rumah, melihatkan bapanya ke hulu ke hilir tidak keruan, Khairul bertanya sambil membongkokkan badan mencabut kasut sekolahnya "Abah cari apa?"

"Abah cari kunci kereta, Abah dah lambat sangat ni! Sudahlah trafik sesak waktu macam ni" Jawapan Ahmad tidak ubah seperti orang panas baran. Takut Khairul dibuatnya.

"Err..Abah, yang ditangan abah tu apa?" suara Khairul perlahan.

Ahmad terdiam, raut wajahnya seperti kerang busuk. Senyum pun tidak, Masam pun tidak. Ahmad malu sendiri, rupanya kunci yang dicari itu ditangannya selama ini, dia sahaja yang tak sedar.

"Terima kasih." sepatah saja jawapan Ahmad kemudian terus berlalu dari situ.

***

Itulah Ahmad, mungkin kita juga pernah menjadi Ahmad. Atau tidak kurang juga menjadi "mangsa" keterlupaan Ahmad.

Dalam hidup ini kadang benda kita dah tahu, dah nampak, dah rasa pun... tapi sebab tidak sedar, atau sebab lupa, tahu, nampak dan rasa itu tidak membantu kita.

Paling teruk jika kita lupa pada waktu-waktu yang sangat genting. Kita jadi tak tentu arah. Kita boleh marah-marah.

Waktu itu, kesian pada yang kena marah... Kena sabar banyak-banyak.

Waktu itu juga.. kita perlukan Khairul, orang yang mengambil tahu, bertanya, melihat, dan paling penting membantu menyedarkan balik apa yang tidak disedari orang yang sedang dalam kelupaan itu.

Khairul dalam kisah ini adalah "pemberi ingat". Kalau tidak ada Khairul, mungkin malam itu Ahmad akan bertindak di luar jangkaan. Temujanji penting Ahmad mungkin lansung dibatalkan.

Dalam hidup ini, manusia senang lupa... yang lupa mesti bertenang, kadang yang tidak membantu kita bukan sikap lupa, tapi sikap kita yang tidak bertenang. Sikap cepat membuat konklusi. Sikap cepat menyalahkan orang. Sikap tidak mahu melihat ke dalam diri.

Dalam hidup ini, kita perlukan pemberi peringatan... Yang ikhlas mahu membantu. Yang prihatin. Yang memerhati dahulu sebelum turut marah-marah. Yang merendah hati mengingatkan bukan mahu mentertawakan.

Dan di akhir hari, yang lupa harus menghargai yang mengingatkan. Rajin-rajinkan diri "meminta" tolong pada orang. Kadang orang tak tolong bukan sebab tak mahu, tapi sebab takut nak mendekat, siapalah tidak takut orang marah-marah. Yang mengingatkan pula jangan mengusik, orang perlu bantuan bukan ejekan kita.

~~~

Kita hidup dalam masyarakat yang cepat betul melenting bila ada sesuatu yang tidak kena. Sabar sekejap, kadang cepat sangat mengikut rasa, buat masalah lebih sukar untuk diselesaikan. Kita hidup dalam masyarakat yang suka mengejek sesama sendiri, lupa agaknya kalau diuji benda yang sama, kita pun perlu orang yang diejek tadi membantu kita.










No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...