Tuesday 21 June 2016

9 Pengenalan Ikhlas

Bismillah

Hari ni sudah masuk hari ke 16 bulan Ramadhan. Dan saya kini berada di Malaysia. Alhamdulillah.

Bila masa tinggal separuh, barulah kelam kabut manusia ini. Barulah rasa pentingnya muhasabah, pentingnya menghargai waktu. Sama seperti seorang insan yang mula menginjak 50 tahun. Segalanya dirasakan di penghujung dan impian-impian lama dirasakan terbatas.

Dan hari ini, kita berada di situasi itu. Merenung jauh, 15 hari yang telah berlalu sudah menyampaikan aku kepada apa?

***

Sebulan sebelum bertolak pulang, rakan satu madrasah memberitahu bahawa saya dan rakan-rakan Melayu yang lain dikehendaki menyiapkan bacaan Risalah ikhlas dan membuat ringkasan serta penyampaian semula sebelum berangkat pulang ke tanah air masing-masing.

Kalau di Konya dulu kami menelaah risalah Ukhuwwah, kini tibalah masa kami menelaah rakan karibnya yang tidak mungkin berpisah iaitu risalah ikhlas. Kerana itulah dua risalah ini dibukukan bersebelahan. Diterbitkan dalam kitab kecil yang sama.

Setiap benda pasti ada hikmahnya. Dan tugas menelaah risalah ini pada waktu sebegitu tidak lain saya rasakan sebagai antara persiapan awal menemui bulan Ramadhan.

Ikhlas itu penting, malah itu matlamat muslim. Jika tidak berniat ikhlas, sesuatu amalan tidak bernilai ibadah, tidak dierima, tiada nilai pahala, terhapus begitu sahaja, sia-sia.

Jika Ramadhan mendidik kita menyemai Taqwa, maka ikhlas adalah asasnya. Kerana Taqwa adalah berhati-hati di jalan Allah, ikhlas pula menetapkan tujuan "kerana Allah" di dalam prosesnya.

Saya selitkan antara teks yang menarik dalam risalah ini:

Ikhlas adalah:
-Asas yang paling penting dalam dunia ini dan dalam khidmat ini.
-Kekuatan yang paling besar
-Syafaat yang paling makbul
-Tempat bersandar yang paling kukuh
-Jalan Tarikat yang paling pendek
-Dua maknawi yang paling diterima
-Wasilah mencapai tujuan-tujuan yang paling memiliki karamah.
-Sifat yang paling mulia.
-Ibadah yang paling suci.

Itu adalah pengenalan ringkas Badiuzzaman Said Nursi terhadap ikhlas.

Kata kakak yang mengajar kami, kalau ringkasan ini dikupas satu-persatu, sudah cukup untuk kamu.

1)Asas yang paling penting.

Benar, tanpa ikhlas kerana Allah, sesuatu perbuatan tidak akan bernilai disisiNya. Tidak dapat menjadi bekal di akhirat kelak. Tanpa ikhlas, sesuatu kebaikan tidak akan sampai pada natijahnya. Akan rosak susun aturnya. Apabila ia bergelar asas, tanpanya, akan musnahlah satu binaan kerana hilang tapaknya, akan lemahlah satu gerakan kerana tiada tiang utamanya, akan hancurlah satu susunan kerana tiada yang menjaganya. Itulah dia yang bergelar asas.

2) Kekuatan yang paling besar.

Ikhlas adalah melakukan sesuatu kerana Allah. Tuhan Yang Maha Agung, Maha berkuasa, Maha Pelindung. Jikapun hamba itu lemah dalam sesuatu ibadah, jika dia benar-benar mahu melakukannya kerana Allah, Allah akan membuka laluan dijalan yang tidak disangka-sangka. Yang berat terasa ringan, yang susah menjadi mudah, yang perit terasa manis. Itu adalah kekuatan. Itu adalah rahsia wali Allah. Kepercayaannya pada Allah, pada hakikatNya, pada janjiNya, menjadi motivasi, sumber kekuatan yang mampu menolak segala hasutan, melampaui segala halangan, melawan arus yang mahu memberhentikan. Saat susah atau senang, dikeji atau dipuji, orang ikhlas yang ikhlas, kekuatannya bukan dari manusia, dia tidak terpengaruh, dia terus istiqamah, langkahnya thabit tidak berubah.

3) Syafaat yang paling Makbul.

Syafaat adalah yang membantu. Ikhlas menjadi syafaat yang paling makbul kerana dialah satu-satunya syarat yang menjadi sebab amalan diterima Allah. Ikhlas membantu melindungi usaha murni daripada dicemari anasir-anasir lain. Membantu khusyuk.. pendek kata ia adalah jambatan yang membantu insan menyeberang ke daerah "hamba Allah" yang tiada cara lain untuk sampai ke situ melainkan dengan menggunakannya.

4)Tempat bersandar yang paling Kukuh.

Orang ikhlas, tujuannya Allah; menghambakan diri padaNya, Meminta pertolongan juga daripadanya. Bukan daripada makhluk, bukan mencari Redha makhluk. Jika diugut bunuh sekalipun, Allah menjanjikannya ganjaran Syahid, dan dia menerimanya dengan gembira. Jika dalam keadaan susah, lemah, tertindas.. kuasa doa dan tawakkal kepada Allah yang merupakan hasil ikhlas itu selalunya membuah keajaiban-keajaiban yang tidak terjangka. Allah adalah Maha Kuasa, di tanganNyalah segala perbendaharaan, kunci segala kejadian, tidakkah cukup Allah sebagai tempat bersandar orang yang ikhlas?

5)Jalan Tarikat yang paling cepat.

Jikalau kita lihat tujuan utama tarikat-tarikat sufi. Semuanya mencari Redha Allah. Mahu sampai pada makam tertinggi di dekat Allah. Maka dengan itu banyaklah peraturan dan pantang larang yang mereka jaga untuk mencapainya. Namun ikhlas juga cukup untuk menyampaikan kita pada tujuan itu tanpa perlu kepada pantang larang yang banyak. Kerana tujuan utama ikhlas hanyalah semata-mata mencari RedhaNya.

6) Dua Maknawi yang paling diterima.

Kita berdoa, meminta yang baik-baik dan juga keperluan diri. Bila seseorang itu ikhlas, maka Allah tidak akan mensia-siakannya. Itu janjiNya di dalam Al-Quran. Allah pasti melimpahkan RahmatNya dan kurniaanNya sehingga hamba itu juga gembira dan Redha denganNya. Persis doa yang dimakbulkan.

7) Wasilah mencapai tujuan-tujuan yang paling memiliki Karamah.

Kita selalu lihat orang ikhlas ada saja kebaikan untuknya. Walaupun keadaannya susah, tapi dia mampu melaluinya. Seakan-akan ada karamah yang membantunya. Itulah rahsia ikhlas, bila tujuan kita hanya Allah, semua halangan dan cabaran akan mampu dilalui seizinNya, dengan bantuan dari Redha dan kasih SayangNya.

8) Sifat yang paling mulia.

Ikhlas adalah satu sifat yang bersih daripada segala tokok tambah, bersih daripada kotoran dunia. Bersih daripada tipu helah, kemalasan, dan kebencian. Pendek kata ikhlas seakan-akan magnet yang menghimpunkan segala sikap baik. Menjadikan ikhlas sifat yang paling baik.

9) Ibadah yang paling suci.

Kita beribadah, tapi ada kalanya ibadah kita dibuat daripada sumber yang haram, di tempat larangan, atau ibadah kita tercampur sebab-sebab lain menjadikan ibadah itu tercemar. Tapi ikhlas, tempatnya di hati, tidak diganggu siapa-siapa, niatnya hanya Allah semata-mata, maka berbuat ikhlas saja sudah menjadi ibadah yang paling bersih.

***

Maka itulah dia pengenalan ikhlas.. Baru pengenalan. Tapi MasyaAllah, rahsianya besar begitu sekali. InsyaAllah semoga kita mampu menjaga keikhlasan kita dalam bulan Ramadhan ini. Agar terbentuk menjadi peribadi yang akan meneman kita dalam setiap waktu kehidupan.

Sekian,
Assalamualaikum

4.00 PM, Shah Alam,
Selangor.

















No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...