Monday 5 September 2016

Nak balik Turki ke?

Bismillah.



"Nak balik Turki ke? Tak payahlah." Itulah soalan dan nasihat yang sering diterima sepanjang cuti kali ini. Soalan penuh keprihatinan itu saya balas dengan senyuman tak bermaya, tiada jawapan serta-merta dan meyakinkan.

Semua tahu, baru-baru ini Turki masyhur dengan berita-berita yang tidak berapa menyenangkan. Kudeta, pengeboman di mana-mana, rusuhan di sempadan, dan macam-macam lagi. Bagi kita yang mendengar, mudah tenggelam dalam persepsi 'siapa pergi Turki, boleh mati!'

Okay, saya tahu itu hiperbola.

Kini, saya menghitung hari untuk kembali ke sana menyambung semester baru. Dengan rindu yang tidak habis kepada keluarga, dengan segala pancaroba di sana, ditambah pula soalan yang merisaukan sebegitu, tidak keruan hati ini dibuatnya.

Untuk sahabat pembaca, atau yang tidak membaca..(nak suruh baca jugak sebenarnya.. hehe), janganlah risau. Persatuan Pelajar Malaysia di Turki sudah berhubung dengan kedutaan Turki di Malaysia, dan kami dinasihatkan untuk percaya kepada sistem keselamatan mereka.

Ya, setelah melihat dari dekat saya yakin kawalan mereka ketat dan kerja-kerja menjaga keselamatan negara di Turki boleh dikira efisien dan tangkas.

Satu lagi, Turki dekat dengan hati kita. Kerana Turki satu-satunya negara muslim yang lantang membela kemanusiaan dan terkedepan dalam menjadi model negara muslim berjaya. Bagi saya, jika semua orang muslim tidak mahu datang ke Turki, ia akan menjejaskan sektor pelancongan mereka. Iaitu sumber kewangan terbesar negara itu. Sayu hati ini apabila mendengar pakcik Turki yang menjual karpet di Beyazit berkata pada kami "Datanglah selalu, sejak kebelakangan ini tidak ramai pelancong datang. Sukar untuk kami berniaga."

Bayangkanlah, itu bapa saya sendiri. Pasti sangat menyedihkan. Saya selalu berpesan kepada sesiapa saja yang saya jumpa "saya ada 3 tahun lagi di Turki, datanglah selagi Turki masih aman. Saya bawak jalan-jalan" sambil tersenyum.

Saya anggap kedatangan saya ke Turki kali ini adalah solidariti saya bersamanya. Saya sedar, dengan berdoa dan menyokong negara ini, ia seakan menunaikan satu tanggungjawab sosial untuk kepentingan sejagat.

Ketika dunia lain diam membisu terhadap kezaliman di dunia, Turki sering bersuara membelanya dan berada di situ memberi bantuan. Ketika demokrasi dikhianati, Turki lebih dulu mempertahankannya. Ketika pembelotan negara rancak dilakukan, Turki cuba menangkisnya. Ketika dunia lain sibuk menjatuhkan agama, Turki masih kuat meninggikannya. Ketika ummat ini masih nafsi-nafsi sifatnya, rakyat Turki tidak jemu mempromosikan persaudaraan bersama.

Lantas kalau sekarang kita menyokong negara ini, tidakkah kita menyokong satu kemajuan yang diredhai Allah? Yang selama ini kita cari di atas bumi namun tidak kelihatan? Yang paling dekat dengan mesej rahmat yang dirindukan itu?

"Nak balik Turki ke?" soalan bernada simpati itu bersuara kembali.

"Ya... sebagai tanda solidariti saya."


Doakan saya.
















2 comments:

  1. Qayya .. buat buku Please 😊😊

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe... Maira lah tulis dulu... qayya tiru nanti.

      Delete

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...