Monday 3 October 2016

Hujung 2016, Memasuki persimpangan identiti.

Bismillah.

Hujung tahun ini secara rasminya saya keluar daripada madrasah Hayrat atas beberapa sebab. Dan mengambil keputusan untuk tinggal bersama rakan-rakan melayu di Yusufpaşa.

Keputusan ini bukanlah mudah, kerana setiap keputusan yang dibuat ada risikonya. Ada konsekuensi berikutnya.

Benarlah kata Salim A.Fillah, bahawa melepaskan sesuatu juga adalah kesabaran dan keberanian. Kesabaran kerana melepaskan sesuatu yang sudah lama bersama kita adalah satu perubahan, satu fasa membiasakan diri, satu ruang menilai diri yang sangat memerlukan kepada kesungguhan dan kesabaran. Adakah iman, akhlak, niat kita lebih baik, atau sama, atau lebih teruk berbanding kita ketika dulu?

Ia juga adalah satu keberanian, kerana melepaskan sesuatu juga sentiasa datang dengan ujian. Ia boleh menatijahkan kepada rasa kekurangan, ketidakcukupan. Pada waktu ini, adakah saya bersyukur? Adakah saya berdengki? Adakah juga saya patah semangat untuk terus bangkit lagi?

Saya sudah mengenali hayrat sedari umur 17 tahun. Dan siapa saja yang mengenali jemaah ini pasti akan jatuh hati pada perjuangan mereka, pada risalah-risalah yang mereka bawa. Dan yang paling penting adalah disiplin dan akhlak mereka. Yang mengajar saya dan rakan-rakan agar memandang kehidupan dengan panduan al-Quran, dengan cahaya iman.

Keluar dari madrasah Hayrat, dan hidup seperti pelajar biasa tanpa apa-apa disiplin dan peraturan yang menjaga, adalah satu ujian buat diri. Saya berada di zon yang cukup selesa dengan masa yang sangat lapang. Ruang pergaulan dan sosial saya menjadi besar, dan boleh dikatakan tidak bertapis seperti dulu.

Maka di sinilah saya perlu melihat kepada diri sendiri... siapa saya? Apakah dengan berbeza tempat dan suasana, pedoman dan pegangan ang menjadi bekal diri selama ini dibuang ketepi?

Mohon doa, penghujung 2016 benar-benar waktu menilik diri.














No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...