Monday 24 July 2017

Kehidupan auto-mode; sejauh mana hidup menjadikan kita hidup?

auto mode ile ilgili görsel sonucu

Bismillah

Bis-mil-lah

Dengan nama Allah.

Berapa ramai yang membaca kalimah Bismillah yang saya letakkan di penjuru atas belah kiri pada setiap post dengan menghayati maknanya? Berapa ramai yang membacanya sambil memohon keberkatan? Berapa ramai juga yang membaca dengan laju selaju gerak anak mata untuk hanya menghabiskan pembacaan?

Mungkin saya juga, kerap kali menjadi golongan ketiga.

Dunia serba laju menjadikan kita tidak sempat berfikir dengan akal. Apatah lagi untuk turun menyantuni hati.

Bukan menyuruh menjadi lambat, tapi agar laju tidak membuat kita keciciran.

Kata orang laju-laju mahu ke mana?

***

Minggu lepas saya menunaikan solat di Masjid Putra di Putrajaya. Pertama kali menjejakkan kaki di sana setelah hampir 15 tahun walaupun kedai Mak tidak jauh darinya.

Lama benar, sampai saya tak ingatpun bagaimana rupa dalamnya.

Apatah lagi cara solat imam-imamnya! Aha, ini sangat melebih.

Kebetulan sampai di sana pada waktu asar, maka ayah memberi peluang saya dan tetamu dari Acheh menunaikan solat di dalamnya.

Setelah azan habis dikumandangkan, saya sabar menunggu walaupun sedikit lama kerana mahukan keberkatan solat jemaah di masjid.

Maka saya angkat takbir sejurus Imam menyebut "AllahuAkbar.."

L.A.M.A...Ya, solat hari itu terasa lebih lama berbanding biasa. Mungkin kerana masjid itu merupakan tarikan pelancong, jadi imam menunaikan solat lebih lama berbanding biasa. Bacaannya pasti lebih sempurna, meraikan jemaah yang entah dari mana, bersolat bagaimana.

Saya pula terbiasa solat di masjid Turki yang lajunya kadangkala ibarat patukan burung itu. Sudah terbiasa juga melihat rakan-rakan di kuliah bangun dan terus meninggalkan surau seusai bagi salam. 4 rakaat solat mereka sama dengan kelajuan 2 rakaat kita. Itu realiti di sana, pastilah kita berbeza.

Namun solat di Masjid Putra pada hari itu terasa lambat benar. Bacaan saya telah habis, dan imam baru habis beberapa minit kemudian.

Walaupun cuba sedaya upaya menjaga rukun berjemaah iaitu mengikut imam, saya terbabas pada tasyahhud akhir! Fikiran saya pastinya sudah ke lain pada waktu itu, dan saya memberi salam betul-betul setelah saya habiskan bacaan tasyahhud akhir saya.

Memusingkan kepala ke arah kanan sambil mengucap As-sa-la-mu-a-lai-kum wa-rah-ma-tullah, saya terpaku seketika.

"Argh, imam belum memberi salam! Solat tidak sahh."

Saya sendiri, jujur tidak sedar bahawa saya sedang memberi salam, apatah lagi mahu memahami salam yang diberi.

Semuanya diluar kawalan. Saya dalam auto-mode!

***

Hidup memang begitu mungkin.

Teringat pesan cikgu kelas memandu kami. Memandu kereta sendiri ada tiga fasa. Fasa pertama fasa belajar. Semua langkah dibuat dengan kesedaran mengikut teori. Kedua separa mahir. Kita boleh memandu tanpa perlu diingatkan. Fasa ketiga adalah fasa mahir. Pada waktu ini kita sudah power memandu kereta. Tak perlu berfikir pun, semua sudah tersimpan di dalam minda bawah sedar.

Kalau untuk seseorang yang solatnya lima kali sehari.. tak mustahil untuk "se-mahir" itu.

***

Tidak dinafikan, dalam kehidupan harian banyak perkara memerlukan kita mahir untuk menjimatkan masa. Kita tidak perlu berfikir panjang untuk membuat keputusan atau membuat persediaan. Namun banyak juga kisah orang yang kemalangan di jalan raya kerana terlalu laju, terlebih mahir.

Mahir bermaksud cepat, cekap, terlatih dan lancar dalam melakukan sesuatu perkara. Namun dalam definisi itu tiada kalimah berhati-hati.

Bukankah Taqwa itu maksudnya berhati-hati?

***

Kemahiran adakalanya membuatkan kita tak ubah seperti robot. Semuanya sudah di-sistemkan. Semuanya dibawah sedar.

Kita hidup dalam auto-mode. Hidup yang tidak dikawal oleh diri sendiri. Kawalan jauh sudah tersisip dalam otak si mahir.

Lantas apa definisi hidup buat sesuatu yang tidak lagi dikawal oleh akal dan hati dan sedar?

Mati?

Bukan, kita belum mati. Tapi kita terlupa. Kita mengingat hal-hal lain dalam kehidupan yang serba laju ini. Too much distraction! Adakalanya auto-mode itu sendiri tanda kita sudah hilang khusyuk.

Selama mana kita terlupa, kita tidak hidupi kehidupan ini dengan jiwa dan akal yang hidup. Maka kehidupan kita lumpuh makna. Kosong nilai.

Kerana yang menilaikan amal adalah al-Fahmu yang terletak pada akal, dan Ikhlas yang terletak pada hati.

Buat seorang yang yakin pada Allah dan Rasulnya pada hati, dan cuba memahami arahannya dengan akal, pasti kita tidak mahu amal-amal kita seakan kosong iman, kosong pengertian.

Selepas sebulan meninggalkan tarbiah Ramadhan.. semoga ibadah kita tidak menjadi kosong-kosong.

Senyum :)























No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...