Tuesday 27 June 2017

Lebaran dan mesej Lillahilhamd

Bismillah.


Sebelum bermula, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin. Ketika jari jemari ini menaip teks, jam menunjukkan lagi 5 minit menuju 12 malam. Bertemankan cahaya screen telefon dan bunyi cengkerik di luar rumah bapa saudara, mungkin posting kali ini akan lebih sayu bunyinya. hehe.

***
Setiap pagi raya, berasa gembira seakan sudah menjadi budaya. Kita dibentuk oleh suasana tanpa sedar. Iklan di televisyen, lagu-lagu raya dan makanan raya membuat pagi raya kita meriah, serba serbi, dan serba warna warni. Sehingga ada kalanya  gembira kita tidak berasal dari dalam diri, banyaknya dari sebab luar yang diada-adakan. Kegembiraan pagi raya bukan lagi kegembiraan sebenar kita.

Berbumbungkan atap masjid, ketika bahu berselisih dengan bahu warga kampung sambil khusyuk mendengar khutbah raya, Imam biasa akan mengingatkan kita nikmat sebenar hari raya ini. 

Lebaran adalah nikmat kurniaan Allah buat orang beriman, meraikan kejayaan kembali kepada fitrah. Kembali mengenal diri.

Dengan laungan takbir pagi, kita mengagung-agungkan Dia. Kita memuji-muji Dia. Tanda kita mengaku kita hamba, tanfa kita bersyukur pada Dia.

Lebaran adalah waktu manusia sedar fitrah kehambaannya, dan hakikat ketuhanan Allah atas dirinya.

Lillahil-hamd.

Pada Allah sahajalah segala pujian.

Al-Hamd, bukanlah hanya bermaksud pujian. Ia adalah pujian yang diberi dan diucap walaupun ketika tidak diberikan apa-apa. Ia adalah pujian yang diucap kerana sifat terpuji itu ada pada pemiliknya.

Ada orang memuji kerana diberi nikmat, ada yang memuji setelah dibantu dan disenangi.

Lain pula di hadapan Allah, al-Hamd kita bukan kerana apa yang telah diberikanNya, atau ditunjukkanNya pada kita, namun semata-mata mengiktiraf sifat-sifat mulia Allah, mengiktiraf bahawa segala pujian itu milik Allah sahaja. Dan kita pada waktu mengucapkannya, mengakui kefakiran diri, menyedari diri hanya hamba yang hina

Pada lebaran kali ini, mesej al-Hamd benar-benar menampar diri.

Pada hari raya pertama sahaja, sudah ada orang kampung yang meninggal dunia di pagi raya. Menyedarkan saya kehidupan kita bukan di tangan kita. Nikmat hari raya itu bukan dalam kudrat kita. Tapi semata-mata dari kepemurahan Allah.

Alhamdulillah.

Pada hari raya kedua, kami menziarahi seorang keluarga yang menderita penyakit barah tahap 4. Kanser sudah merebak ke bahagian otak menyebabkan beliau lumpuh sebelah. Pada ziarah kami tahun lepas beliau masih mampu berjalan dan berinteraksi dengan kami. Namun hari ini, beliau tidak dapat mengecam lagi wajah kami. Pandangannya kaku, lidahnya kelu.

Ketika beliau cuba memusingkan tangan kirinya, saya terfikir, sebenarnya asal kita adalah tidak mampu. Kudrat selama ini Allah pinjamkan. Ada hari Dia boleh menariknya kembali. Ketika kita beraya dengan penuh gembira, bertemu sanak saudara, kita boleh terlupa nikmat kita sihat dan berkudrat pada hari itu datang dari Dia.

Alhamdulillah.

Ketika kita pakai baju baru, makan makanan sedap dengan penuh selera, ada orang-orang yang Allah uji dengan kekurangan. Usahkan baju dan makan, air bersih pun susah untuk didapati. Allah merezekikan kita pada hari ini mungkin ada bahagiannya untuk yang lain. Sedang yang membahagi-bahagikan rezeki itu Allah, kita asalnya fakir dan Dia menghendaki rezeki lebih untuk kita. Semoga kurniaan lebihan tidak membuat kita lupa dan leka.

Alhamdulillah.

Pada hari ini hati kita masih dibuka untuk sujud padaNya. Masih dikurniakan rasa tenang menyebut namaNya, rasa rindu sujud padaNya dan rasa ingin mencari bimbingan dariNya.. semua itu adalah hidayah Allah yang jika bukan dengan hidayah dari Allah, kita pasti tidak mampu menemuinya sendiri.

Alhamdulillah.

Mengenangkan semua itu dan banyak lagi, hati ini semakin memaknai Ramadan, semakin memaknai datangnya Syawal. Dalam takbir penuh syahdu, jiwa ini makin tenang dan yakin bila memahami al-Hamd itu hanya milik Dia.



No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...