Sunday 29 June 2014

Puasa...Memutuskan Keterikatan yang Mengganggu.

Bismillah, permulaan bagi segala kebaikan.

Assalamualaikum semua, apa khabar?

Esok hari first puasa... Mesti semua excited kan?

                                        

Kebetulan, hari ni hari lahir abang saya, tolong doakan dia agar dikurniakan umur yang diberkati Allah. Tarikh hari lahir Amzahid (abang saya Abdullah Zahid) berada di penutup Syaaban dan di gerbang pintu Ramadhan tahun ini. Mengajar kita menginsafi segala yang bermula ada tarikh luputnya. Bagaimana kita mahu ianya berakhir? Dengan baik atau buruk? Dan dengan sikap kita mengendali pengakhiran itu sangat membantu kita untuk mengendali permulaan lain yang bakal berlaku. Ramadhan kareem...Ahlan alaik.

Kita semua maklum, Ibadah puasa menguji salah satu perkara penting dalam kehidupan manusia iaitu makan dan minum.  Ia benar-benar menguji, tapi ada objektifnya. Agar keyakinan Rububiyyah kita terhadap Allah dapat dikukuhkan kembali setelah pudar dek terlalu bergantung pada makan dan minum, bukan lagi Allah yang memberi makan dan minum.

Dalam hidup duniawi ini pula, cara Allah menguji kita kadang-kadang sama dengan cara Allah menguji kita di bulan Ramadhan.

Ada masa kita dicabut kesenangan dan kelapangan masa yang kita sudah lama selesa dengannya. Ada masa kasih sayang kepada manusia yang sangat kita harapkan dan perlukan hilang dari hidup kita. Ada masa kita dilarang dan dihalang daripada perbuatan yang sangat kita suka melakukannya.

Itu semua menguji, tapi ada objektifnya.

Hati kita sudah terlalu banyak bergantung pada benda-benda yang tak kekal, tak kukuh, tak kuat dan tak pula memberi jaminan. Sehingga menjadikan kita terlupa atau tak nampak pada kebergantungan sebenar pada Allah S.W.T yang padaNyalah segala sesuatu bermula dan ditanganNyalah letaknya hal keadaan setiap urusan.

Saya suka kongsikan satu contoh..

KEBENARAN DALAM KOMUNIKASI.

Dalam komunikasi kehidupan, terlalu banyak kepentingan kita terhadap sesuatu perhubungan dan terlalu banyak pula harapan. Tapi dalam masa yang sama, kita berhadapan dengan segala kelemahan dan kekurangan yang selalu mencacatkan kita dalam memenuhi segala kehendak perhubungan itu. Kelemahan dan kekurangan itu fitrah, padanya juga ada mehnah, padanya jugalah hadiah.

Misalnya, hari ini kita tak puas hati dengan adik beradik kita. Mereka tidak menghargai kebaikan kita setelah kita berubah daripada seorang yang berakhlak buruk kepada akhlak baik. Ada pula adik beradik yang bagi kita tidak memberi sokongan moral seperti keluarga orang lain sedangkan adik beradik kita sangat jaguh dalam bercakap hal-hal agama dan persaudaraan.

Kita meletak harapan yang tinggi pada manusia. Hati kita sangat bersandar pada harapan itu. Kita sangat berpaut padanya. Dan apabila ditakdirkan Allah S.W.T menghalangnya seketika untuk menguji kita.... apakah reaksi kita terhadapnya?

Mahu disalahkan perkara yang hilang? Mahu didebatkan apa yang kurang? Mahu digaduhkan segala kelemahan dan kekurangan yang memang lumrahnya tak dapat dielakkan?

Itu bukan objektifnya.

Bukan objektif yang ada pada hati kita.
Bukan juga objektif ujian yang sedang Allah berikan itu.

OJEKTIF KITA

Kalau objektif harapan kita adalah kasih sayang, pergaduhan dan keluh kesah tidak membantu kita mencapainya. Sebaliknya, kesabaran sementara menghadapinya dan kebijaksanaan menyelesaikan masalah akan membantu kita. Dan yang paling penting, mencari jawapan bagi teka-teki ini daripada Allah yang Maha Tahu dan Maha Bijaksana atas masalah yang sedang kita hadapi.

OBJEKTIF UJIAN

Dan objektif Allah ta'ala apabila menguji hambaNya adalah sama ada sebagai:

  • peringatan di kala lupa dan leka, 
  • sebagai cara menambah kebaikan dan ilmu dalam hidup 
  • sebagai cara meningkatkan darjat kepada sebaik-baik insan yang layak memakmurkan bumi dengan kebaikan. 

Ketiga-tiga objektif yang disebutkan itu cara mencapainya ada pada Allah ta'ala. Pendek kata, Allah menguji untuk mendekatkan diri kita denganNya. Dengan membuang 'distraction' yang selama ini telah menghalang kita daripada mendekat kepada Allah, akan memudahkan kita kearahnya.

Kembali kepada masalah tadi. Biasanya kita akan cepat menyalahkan orang lain ketika kita kehilangan dan kekurangan .Kita rasa ia sepatutnya tak wujud jika orang lain berperanan.

Berhenti sebentar, kita perlukan masa merasionalkan masalah.

Kita mesti juga tahu bahawa adik beradik kita yang kita sangka tidak menghargai dan tidak menyokong itu ada sejarah panjang, faktor luaran, dan keadaan hidup yang mungkin menjadikan mereka sebegitu dan membentuk cara pandang yang berbeza dengan kita. Dan perkara-perkara seluas itu tidak mampu dikawal oleh kita, tak mampu dicerna oleh akal dan jiwa kita dengan mudah.

Jadi, membuat kesimpulan bahawa adik beradik kita hipokrit dan keras hati lansung tidak membantu...malah mungkin berdosa. Apa yang boleh kita lakukan adalah cuba bersangka baik, kita akan lebih prihatin berbanding banyak menunding. Kita juga perlu banyak memohon petunjuk Allah agar memberi jawapan atas persoalan yang diluar kawalan dan kemampuan akal dan hati kita untuk memahami. Agar kita lebih dekat dengan Allah ta'la, dan agar kita lebih dekat dengan kebenaran dalam berkomunikasi. Objektif diri tercapai dan objektif ujian Allah ta'la terhadap diri kita juga dapat diperolehi.

Kredit

Ramadhan ini, kita ada banyak peluang dan masa untuk merenung penyelesaian masalah yang berselirat dalam diri. Kerana Allah telahpun mencabut gangguan-gangguan yang banyak menghalang kita daripada mencari penyelesaiannya. Di saat dunia serba cepat ini mendidik kita untuk turut cepat membuat kesimpulan dan menunding jari, ambil masa sedikit untuk mencapai tujuan sebenar ujian-ujian ini. Tergopoh-gopoh itu sikap Syaitan, bertenanglah.

Berpuasalah sebentar daripada keterikatan dengan perkara sampingan. Kita tak mahu terus diganggu sehingga hilang fokus menjalankan tugas hamba dan khalifah dalam kehidupan.

Selamat menjalani ibadah di bulan Ramadhan,
Semoga objektifnya tercapai,
Semoga lebih baik daripada tahun sebelumnya,
Semoga kita lebih memaknai jiwa hamba,
Semoga bertambah rahmat Allah pada kita semua.

Sekian...maaf salah silap,
Assalamualaikum.

















No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...