Monday 8 May 2017

Sepetang bersama K.Fynn

Bismillah.

Tak dirancang, benar-benar tidak.

Rezeki,

Takdir,

Teguran,

Hidayah,

Mungkin itulah kata-kata yang mengungkap kejadian hari ini. Saya dan lagi 6 orang rakan dapat menghabiskan masa-masa berharga bersama seorang insan luarbiasa, iaitulah K.Fynn.

K.Fynn asalnya datang ke Turki untuk menjadi speaker program Islam Salam di Istanbul. Sementara kami datang untuk mendengarnya. Namun kerana program tidak dapat dilaksanakan, ia menjadi sebab Allah memberi kami rezeki mengutip kalam-kalam dan hikmah berharga sepanjang kami bersamanya.

Kami diberi kesempatan berjalan bersama keluarga K.Fynn. Melihatkan keluarga kecil itu sahaja, banyak yang boleh menjadi renungan dan pelajaran. Mereka tabah, bukan kerana mereka kuat. Namun kerana mereka percaya Allah ada untuk memberi kekuatan itu.

K.Fynn seperti ibu-ibu bertuah yang lain, mengulang-ulang sebut bahawa anaknya anak syurga. Walaupun Juna anak istimewa, baginya ia adalah keuntungan kerana dia tidak perlu risaukan pengaruh rakan sebaya Juna. Pengaruh yang merisaukan ibu bapa dalam membesarkan anak zaman kini. Pendek kata, Ia anugerah Allah yang besar!

Sepanjang berada dengan k.fynn, bukan sekali saya dan rakan-rakan melihat dia mengalirkan air mata. Bahkan berkali-kali. Dalam gelak tawa dan sifat riang cerianya itu, ada hati yang sangat halus yang kadang-kadang terlihat jua.

Ketika mendengar bait-bait nasyid dendangan Castillo, K.Fynn menangis.

Ketika bercakap tentang kisah bagaimana dia mula merasai nikmat iman, K.Fynn menangis.

Ketika bercakap tentang jiwa seni, K.Fynn menangis.

Ketika bercakap tentang sahabat Nabi, K.Fynn menangis.

Ketika bercakap tentang Al-Quran, K.Fynn menangis.

Ketika saya bertanya K.Fynn, sejak bila dia mula ada jiwa seni dan bagaimana dia mula menzahirkannya, jawabnya lebih kurang:

"Walaupun belajar literature ada pengaruhnya, tapi bukan sebab itu. Dari kecik akak suka lagu-lagu nasyid. Tapi bukan nasyid jiwang. Nasyid macam sunnah berjuang. Maksud dia sangat mendalam. Akak suka termenung, bila masa lapang akak tulis balik lagu-lagu tu dengan cara akak faham."

K.Fynn sedang meghafal al-Quran. Dia sempat meminta kami mendoakannya. InsyaAllah, kita doakan sama-sama :) Seusai menunaikan solat zuhur bersama, kami berborak tengang hafalan al-Quran. K.Fynn memukul lembut bahu saya, katanya "hafal al-Quran hafallah dengan maksud, orang macam awaklah nak tolong orang macam akak ni." Nasihatnya penuh celoteh, namun penuh dengan kerendahan hati.

Sejujurnya saya merasa sangat kerdil ketika berada di samping dia. Semangatnya luarbiasa untuk kerja-kerja ummat. Visinya jelas dan pendiriannya tegas. Seakan dia sudah matang dengan pancaroba jalan dakwah ini. Saya yang manja dengan jalan ini perlu belajar banyak lagi.

K.Fynn selalu ingatkan, ada perkara-perkara dalam hidup ini kita perlu berpendirian tegas terutama bila ia berkait hubungan kita dengan Allah. Tiada siapa boleh masuk campur. Keputusan di tangan kita.

K.Fynn mengingatkan saya tentang realiti dunia. Agama akan menjadi begitu asing. Maka orang asing biarlah pandai menyiapkan diri. Orang agama sekarang lagi jatuh lagi orang suka. Kerja kita maafkan sahaja. Yang sudah silap tidak dapat kita buat apa-apa lagi. Orang berjuang perlu terus maju kedepan.

K.Fynn juga sempat ingatkan saya agar menjaga hati. Kadang bila kita dah terbiasa dalam jalan kebaikan dan mula merasa diri baik, disitulah kita hilang asas tempat kita berpijak. Kita boleh membuat kefasadan ketika merasa diri membuat islah. Perlu refresh niat. Asal semua perkara adalah pengabdian.

K.Fynn sering memuji suaminya. Ia membuat kami kagum dengan pasangan itu. Antara benda yang K.Fynn kongsi adalah ketika suaminya menyebut: "Kita mintak Allah bagi banyak, tapi kita berkira dengan orang." Maksudnya kita perlu buat baik pada orang, sepertimana kita nak Allah buat baik pada kita.

Kata K.Fynn lagi sebagai nasihat sayang,  kita perlu banyak merenung. Kita terlalu banyak halangan dan gangguan yang membuat kita tak ada kesempatan untuk mentadabbur alam Tuhan, membelai iman dalam jiwa kita. Duduk sorang-sorang, fikirkan dalam-dalam. Itulah penguat Nabi ketika menerima risalah ini.

Banyak lagi yang dapat saya belajar. Namun tak semua saya ingat. Kata K.Fynn manusia memang begitu, pelupa. Harus sentiasa diulang ingat.

InsyaAllah, kita terus saling mengingatkan, di jalan kebenaran dan dengan kesabaran.


Sayang K.Fynn kerana Allah :) Semoga terus istiqamah dalam jalan redhaNya. Dimudahkan jalan mencapai rahmatNya

Sekian, sepetang yang penuh barakah.



























No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...