Monday 12 March 2018

Catatan Pengalaman Conscience Convoy

Bismillah.

                                       


Dua hari lepas, saya baru pulang dari menyertai Conscience Convoy/ Vicdan Konvoyu/ Qafilah ad-Dhomir/ Konvoy Kesedaran.

Rezeki, kebetulan tarikhnya tidak berdekatan dengan musim peperiksaan. Dan kebetulan juga direzekikan sudah berada di Turki setelah pulang dari Jordan.

Kebetulan yang telah direzekikan Tuhan sebenarnya. Orang kata pada setiap rezeki itu ada amanahnya. Dan setiap rezeki yang dikongsi akan bertambah berkat :)

Terima kasih buat sahabat yang meminta saya menulis catatan ini ^^ Dia pemegang saham utama! haha.

Jadi, mari kita mulakan.

DUA MINGGU SEBELUM KONVOY

Image result for conscience convoy

Dua minggu sebelum konvoy, seorang kakak kami di Turki menghantar borang permohonan penyertaan konvoy  wanita di dalam grup Whatsapp pelajar wanita Malaysia di Turki. Seperti biasa senaman jari ibu di atas skrin telefon pintar terhenti seketika untuk meneliti mesej yang baru dihantar oleh kakak itu. "Menariknya." mungkin itulah perkara pertama yang timbul di kepala.

Satu sahaja yang menjadi permasalahan, dalam penerangan yang diselitkan dalam pdf tentang pengenalan program, tidak disebut siapa penganjur utama program itu. Saya jadi ragu, jika program sebesar ini (internasional) mengapa tidak jelas siapa penganjurnya?

Namun tangan seperti biasa menggatal. Saya isi saja borang permohonan pada waktu itu. Jadi tak jadi saya bincang nanti.

Pada suatu hari saya menerima panggilan dari nombor yang tidak dikenali. Rupanya penganjur mahu mengesahkan penyertaan saya. Maka tanpa berbasa-basi saya setujukan sahaja. Walaupun belum meminta izin keluarga.

Maka mulalah sesi bertanya pada keluarga dan rakan-rakan. Tiada berita dari Malaysia tentang konvoy ini sedangkan namanya konvoy wanita sedunia. Menambah syak dalam hati saya buat kali kedua. Mak Ayah juga pada awalnya tak mengizinkan. Mereka risau tentang kelas yang bakal ditinggalkan. Kata Ayah pergi ke sempadan Turki-Syria bukanlah sesuatu yang terjamin keselamatannya. Berisiko. Kiranya keputusan awal untuk pergi adalah negatif. Saya hampir pasrah.

Tetapi setelah bertanya seorang kakak Turki yang sangat saya percaya dan hormati pandangannya, ternyata dia menyokong tanpa soal. Pelik, jarang dia begitu.

Setelah istikhoroh, satu-satu jalan saya untuk menyertai konvoy ini dimudahkan. Mak ayah dengan gembiranya menyetujui hasrat kecil itu setelah mendengar persetujuan kakak tadi. Dan pada hari terakhir sebelum program, seorang kakak ahli rumah saya (K.Zulaikha) membuat keputusan untuk mengikut program itu. Pendek kata saya bakal berteman. Walaupun masih tidak sedap hati, ketika sudah memohon kepada Allah agar dimudahkan jalan yang terbaik, saya yakin ini pilihannya. Walaupun ponteng kelas tiga hari menjadi bayaran. huhu.

HARI KEJADIAN

Apa yang menarik, sehingga hari kejadian saya masih tidak mendapat apa-apa maklumbalas tentang persediaan yang perlu saya buat untuk perjalanan selama tiga hari itu. Sehingga saya terpaksa bertanya pada kawan atas kawan orang lain untuk merisik khabarnya. Akhirnya saya dan k.Zulaikha (k.ika) berkemas sahaja persediaan kami, tanpa yakin nama kami ada dalam senarai peserta. Kerana sepertinya penganjur terlepas pandang walau telah diingatkan beberapa kali.

Jadi pagi Selasa itu saya dan k.ika menuju ke Yenikapi. Tempat berkumpulnya bas-bas konvoy. Kami tiba awal. Dan hujan semakin lebat. Lama kami menunggu, sehingga saya sempat berbual sedikit dengan K.Ika, dia seorang muallaf yang baru memeluk Islam 2 tahun lepas.

Jujur, niat saya di awangan untuk menyertai program ini. Kadang rasa seperti suka-suka. Kadang rasa seperti hendak berjalan. Kadang rasa seperti hendak mengikut rentak orang sahaja. Sedang niat sendiri masih tak jelas. Maka saya tanyakan kepada k.Ika;

"Akak saya masih tak tahu apa jawapan bagi soalan ini. Tapi mungkin akak tahu..."

K.Ika memandang saya dengan pandangan serius (Maaf akak.. haha)

"Kalau saya kata saya pergi konvoy ni Lillah (Kerana Allah), apa maksud dia? Saya tak tahu."

Sunyi seketika. Memberi ruang bunyi rintik hujan bersuara.

"Kalau saya, saya rasa awak datang sini pun Allah yang izinkan. Kalau dia tak izinkan tak jadi jugak. Jadi Allah yang hantar awak ke mari. Dan hantar saya juga ke sini melalui awak."

Allahu... terdiam saya dibuatnya.

"Terima kasih akak. Deep sangat. Saya perlu diingatkan sentiasa benda macam ni. Sebab saya selalu lupa. Kadang rasa macam semua keputusan saya yang tetapkan sampai lupa Allah pun mengatur sesuatu untuk hambaNya."

Mungkin, Allah hantar saya ke sini untuk tujuan yang Dia mahu. Dan mungkin tugas saya, berlaku sewajarnya mencari tujuan itu... mungkin :)

Tiba-tiba seorang ajk bernama Sivingül datang menegur saya dan k.Ika, lamunan saya terhenti;

"Kamu orang Malaysia?" tanya Sivingul dalam bahasa Inggeris.

Kami mengangguk dengan senyuman mesra.

"Saya dengar ada sekumpulan wakil Malaysia akan tiba hari ini. Adakah itu kamu?"

Cepat-cepat saya gelengkan kepala; "Tidak, saya hanya pelajar di sini."

Kemudian saya ceritakan padanya tentang keadaan kami yang masih tidak diberikan nombor bas dan nama kami juga tiada dalam senarai! Haru biru pagi itu. Sudahlah basah kuyup. Pergi atau tidak pun masih belum tentu.

Dipendekkan cerita, dua orang kakak dari Malaysia pun tiba. K.Maria dan K.Wanfad. Mereka mewakili Global Peace Malaysia untuk konvoy tersebut. Mereka baru berdaftar semalam untuk program. Nama mereka ada dalam senarai. Hanya masih tidak punya nombor bas. Nasib kami hampir sama.



Kami berempat seperti bermain hujan. Payung dibeli untuk teduhan.

Akhir sekali setelah puas bertanya dan ke hulu ke hilir, kami diletakkan dalam bas berasingan.

"Bas ini masih ada tempat kosong, masuklah." kata ajk yang bernama Zeyneb.

Saya dan kak Ika diletakkan dalam bas 003. Sementara K.Maria dan K.Wanfad dalam bas 004.

"Bismillah." sambil menghela nafas dalam, saya menjejakkan kaki ke atas bas. Rasa seperti masih tak percaya....

bersambung.






No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...