Saturday 10 March 2018

Perbahasan iman turun dan naik; melihat dari neraca rahmat.

Bismillah.

Harini diberi peluang belajar ilmu Kalam dari seorang pensyarah yang digemari ramai; Fikret Hoca.

Pada hari ini Hoca menulis besar-besar di papan putih tiga pendapat utama ulamak ilmu kalam ketika membahaskan tentang turun naik iman seseorang.

Pendapat pertama; iman itu turun dan naik. Ini pendapat ulamak Salaf, Syiah, Khawarij dan Muktazilah dan Imam Syafie. Alasannya kerana mereka memandang bahawa amal itu sebahagaian daripada iman. Kerana amalan seorang mukmin itu turun naik, maka imannya juga turun dan naik.

Kedua adalah pendapat Imam Abu Hanifah, I. Maturidi dan I.Asy3ari iaitu pendapat bahawa iman tidak menurun dan tidak meningkat sama sekali. Kerana mereka berpendapat bahawa iman hanyalah kepercayaan dalam hati dan amalan tidak menjadi syarat untuk mengesahkan keimanan seseorang. Adapun dalam al-Quran ketika disebut "Dzadathum Imana" merujuk kepada zaman sahabat ketika ayat-ayat baru diturun bertambahlah iman mereka.

Pendapat ketiga adalah pendapat bahawa iman menaik tapi tidak berkurang. Pendapat Junayd al-Baghdadi ini tidak dikupas oleh guru kami.

(nota; walaupun pendapat mereka sama, namun setiap satunya ada intepretasi yang berlainan, perlukan pembacaan lebih mendalam)

***

Bukan perbahasan ilmu itu yang menarik perhatian saya. Namun kewujudan rahmat pada ikhtilaf mereka itulah yang sangat berharga.

Ulamak-ulamak ini berikhtilaf dengan dalil dan hujjah tujuannya untuk kemaslahatan realiti pada waktu itu.

Ulamak yang mengukur iman dengan amal bertujuan untuk menjauhi kefasikan dan kemaksiatan dalam beriman. Malah menjadi motivasi kepada ketaatan dan modal amar makruf nahi mungkar.

Manakala ulamak yang berpendapat bahawa iman tidak disyaratkan amalan padanya bertujuan untuk menghindari dari gejala takfir bagi orang yang melalaikan ibadah yang mana membawa kepada fitnah yang lebih besar seperti bunuh-membunuh yang masyhur dikalangan khawarij. Juga memberi harapan kepada pendosa untuk bertaubat dan kembali kepada jalan kebenaran setelah jauh tersasar dalam kemaksiatan dengan meyakinkan mereka amal bukan ukuran kekalnya seseorang di syurga atau neraka.

Saya tidak dapat mengulas panjang. Malah mungkin ulasan pendek ini lemah sekali atau memiliki kesilapan untuk dijadikan rujukan. (Mohon jangan ^^) Namun hanya mahu mengenang betapa murninya sebuah budaya ilmu jika ditekuni untuk kesejahteraan bersama.

Mungkin disini juga letaknya kebenaran kata-kata masyhur itu (hadis mungkin?);

"Ikhtilaf adalah rahmat."

Sekian.

No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...