Friday 31 August 2018

Mok Bah; Cikgu Al-Quran Kg Tebing Tinggi

Bismillah

"Assalamualaikummmmm." Pekik ibuku dari luar pagar rumah kayu bercat kelabu itu. Kali ketiga sudah ibu memanggil. Kiranya sudah "cukup syarat" untuk kami pulang.

Kami pun melangkah meninggalkan kawasan itu. Niat asalnya hanya mahu menghantar daging korban. Kebetulan tahun ini, daging korban perlu diagihkan sendiri.

Tiba-tiba jiran sebelah rumah itu menegur kami; "Mokbah ada tu di dalam. Baru dia keluar mangga pagar tadi." Katanya sambil meyakinkan kami untuk mencuba lagi.

Kali ini suara ibu dibesarkan dua kali ganda. Moga-moga tuan rumah mendengar. "Assalamualaikum Mokbahhh, Huda ni..." laungnya.

Tak lama kemudian muncul seorang wanita berumur 40'an. Tak lama beliau menjenguk kami. Terus langkahnya turun dari atas rumah untuk membuka mangga pagar

"Masuklah, maaf lah deh petang-petang memang mangga pagar ni." katanya dengan loghat Kelantan yang mesra. Wanita itu membahasakan dirinya Cik Sah, anak kepada Mok Bah.

Melangkah ke dalam, yang pertama kelihatan adalah seorang ibu tua yang boleh ku panggil nenek, beliau bersila di lantai kayu. Berkain batik, berbaju kurung sambil mengenakan tudung sarung. Melayu sungguh! Itulah Mokbah, sepupu Tok Ayah. Umurnya sudah 70'an, namun masih segar. Penglihatannya masih cerah.

Mak, Ayah, Aku, adik dan dua orang anak saudara masuk dan duduk. Benda pertama di rumah orang melayu kalau terima tetamu mestilah mahu menghidang air manis. "Toksah susoh-susoh, kami singgah meta (sebentar) jah " kata Mak.

Awalnya Ciksah dan Mokbah mahu menghidang nasi lemak. Tapi atas permintaan kami yang hendak cepat, Mokbah meminta Ciksah menghidang satu kuih yang baginya sangat istimewa. "Huda mesti ingat kuih gapo ni." kata Ciksah sambil melirik senyuman.

Kuih Ngekoh! Kuih kesukaan ibu waktu zaman kanak-kanak. Aku pun first time dengar nama kuih tu. Bermaksud itulah pertama kali aku merasa. Bukan sekadar bagi rasa, Mokbah beriya bagi kami resepi dan bagi seplastik doh kuih untuk dibawa pulang. Kuih ngekoh ni macam kuih donut, hanya dohnya basah dengan telur tanpa dicampur air. Dan rasanya manis. Sayang tak ada gambar kenangan.

Aku mula merasa mesra dengan Mokbah dan Ciksah dengan jenaka dan senyumnya. Mereka memang suka melayan tetamu. Bila ditanya tentang Tok Ayah, Mokbah membuka cerita, kata Mokbah kalau masa Tok Ayah sihat, Tok Ayah selalu datang ke rumah Mokbah untuk "memesan makanan". Haaa, rupanya Mokbah memang suka melayan tetamu.

Mokbah pun selalu melayan orang kampung. "Rumah ni kalu masok mesti ada oghe mari (makan sekali). Tapi rezeki mari sokmo (selalu) hok (yang) oghe (orang) buwi (bagi)." katanya.


Begitulah pemurahnya Mokbah dan Ciksah.Walau bukan orang berada. Walau bukan wakil rakyat kawasan. 

Kami jadi segan bertandang ke rumahnya. Makin lama ada saja yang bertambah dihidangan. Aku tak ingat siapa yang bertanya tentang timbunan al-Quran yang banyak di atas meja rumah Mokbah, dari soalan itu Mokbah membuka cerita;

"Budok-budok, tubik (keluar) dari skoloh (sekolah) mari ngaji sini. Dalam 40 orang. Mokbah ajar muqaddam. Ciksah ajar Quran besar." 

Rupanya Mokbah sudah mengajar al-Quran kepada anak-anak penduduk sekitar sejak beliau muda. Bila aku ceritakan pada Tok Ayah, Tok Ayah tersenyum, "Mokbah tu dah ngajar beribu budak ngaji. Sejak dari dio remaja. Mugo (Hanya) dio tak hafiz jah." kata Tok Ayah memuji Mokbah.

"Ada bayaran ke Mokbah ajar budak-budak?" tanya aku. Sekadar cuba menambah soalan. "Dok, sesen pun Mok Bapok tok buwi. Tapi Mokbah rasa sihat bila mengajar. Bila tak mengajar tu segho (rasa) nok demey (demam)." kata Mokbah. Mokbah juga sempat cerita, makin lama beliau ajar mengaji, makin beliau rasa tak perlu pakai spek mata. Betapa Allah mengurniakan ibu ini rezeki dari wajah yang tidak beliau sangka.


"Nanti saya balik boleh kerja part-time dengan Mokbah" kata aku mengusiknya dua hari kemudian, ketika beliau bertandang ke rumah Tok Ayah.

Semasa hendak pulang, sempat Mokbah "menggali" tabungnya. Mengeluarkan empat keping duit kertas berwarna biru cair. Dihulurkannya kepada dua anak saudara aku. Dua keping seorang.

S.E.G.A.N... segan dengan kepemurahan yang tidak dikira-kira itu. Sederhana, namun cukup untuk menjadi didikan jiwa yang jarang-jarang disapa ini.

Mok Bah, tak dikenal orang, tak berharta banyak. Namun dia jelas bahagia dengan memberi dari apa yang mahu dikongsinya. Ya Allah, terus bahagiakan dia! Aamin.

Ramai lagi Mokbah di luar sana, moga dapat bertemu di sela-sela perjalanan hidup ini :)

1618
31082018
Shah Alam









No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...