Saturday 6 February 2016

Muka Surat Pertama Konya...


Antara pepatah Jalaluddin Rumi yang paling terkenal.

Bismillah.

Dua hari yang lalu, tamatlah program 5 hari saya di Konya. Kini saya kembali ke sarang belajar memandangkan sem dua akan mula tak lama lagi.

Program lima hari yang bertemakan ukhuwwah islamiyyah itu terasa seakan-akan dua bulan lamannya. Kadang itulah yang dikatakan berkat, sedikit tapi kesannya besar. Lima hari sudah cukup membuat kami yang datang dari jauh, tiada pertalian saudara, dan tidak pernah bersua muka terasa seakan saudara kandung yang telah lama mengenal. Tidak hairanlah sebak hati yang kami rasa setelah meninggalkan bumi Konya walaupun baru sehari dua, seakan meninggalkan ahli keluarga sendiri.

Apa rahsianya?... hehe, insyaAllah akan saya ceritakan nanti.


Hari pertama kami tiba di sini adalah pada waktu malam, selepas berkemas-kemas kami diberi perkongsian ringkas oleh sister Kadriye tentang sejarah Konya dan mengapa dipilih tempat ini untuk program kami.

Konya merupakan salah satu bandar terbesar di Turki, terletak di tenggara Turki berdekatan dengan wilayah Capadoccia. Negeri yang memiliki jumlah penduduk lebih 2 million ini adalah sebuat negeri tua yang pernah diduduki  oleh beberapa siri pemerintahan dalam kronologi sejarah. Antara yang terawal adalah empayar Rom, diikuti oleh empayar Sasani, Khilafah Umayyah, empayar Byzantine, Kerajaan Seljukiah, Pemerintahan keturunan Karaman, diikuti oleh Khilafah Uthmaniyyah seterusnya Republik Turki sehingga ke hari ini.

Pada zaman pemerintahan orang-orang Seljuk (iaitu orang Turki) dalam kurun ke 11 masihi, Konya pernah dijadikan pusat pemerintahan. Kerana itu kita akan dapati banyak binaan sejarah dengan reka bentuk kerajaan Seljuk di negeri ini. (https://en.wikipedia.org/wiki/Seljuk_architecture) Reka bentuknya unik, lain daripada reka bentuk zaman Uthmaniyyah walaupun mereka juga adalah orang Turki. Apa yang pasti, kehalusan seni Islam menggambarkan peranan seni dalam tamadun mereka pada waktu itu.

Apa yang paling menarik dalam sejarah Konya adalah, disini pernah menjadi pusat ilmu. Kitab-kitab ilmuwan pernah ditemui di sini. Banyak nama yangdisebutkan oleh sister Kadriye yang tidak sempat saya salin, (http://konyaninalimvehocalari.konyacami.com/) namun sayang kebanyakan pelancong tidak menyedari satu lagi wajah Konya yang istimewa ini.

Sejarah yang termasyhur atau "jenama" buat negeri ini adalah Jalaluddin Rumi. Antara figura penting dalam perkembangan gerakan Tasawwuf dalam dunia Islam. Kami sempat melihat tarian Darwish dan memperlajari sejarahnya serta berkunjung ke Madrasahnya yang kini diabadikan sebagai muzium. Bumi ini juga menjadi saksi kisah cinta dan kasih antara dua sahabat kerana Allah. Iaitu antara Jalaluddin Rumi dan Syem al-Tebrizi. Kisah yang menjadi asbab tertulisnya kitab Divanul-Kabir.

Antara sosok yang menaikkan nama Konya adalah Yunus Emre, seorang penyair yang terkenal di Turki. Ada juga beberapa pendapat yang mengatakan Nasrettin Hoja berasal dari Konya. Beliau dikatakan merupakan seorang Wali Allah, yang berkebolehan memberi jawapan berhikmah dengan cepat dan kadang-kadang melucukan. Nasrettin Hoja terkenal dengan kisah-kisah moral seperti kisah Pak Pandir di Malaysia. Moral yang disampaikan sangat halus tapi kaya dengan mesej menyedarkan manusia kembali kepada Tuhan.

Setiap negeri di Turki ada makanan istimewa mereka sendiri. Dan di Konya terkenal dengan makanan berdaging seperti etliekmek dan etlipilav. Selain itu ada juga makanan sperti Sup Bamya, Borek Susu, dan Kebab.






Dalam nota saya pada malam itu terhenti setakat di situ sahaja... hehe. Itulah nota helaian pertama saya tentang Konya... sampai jumpa lagi :)









No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...