Thursday 22 December 2016

Kalau ini kalam terakhirku..

Bismillah.

Minggu depan final exam. Macam biasalah, waktu-waktu ni belajar bagai nak rak. Seakan makan minum, tidur dan jaga pun belajar sahaja.

Tiba-tiba terfikir, kalaulah saya mati masa ni, semua penat lelah belajar itu pergi ke mana? Nak cakap niat kerana Allah, ilmu yang dipelajari tak amalkan, lepas ujian lupa habis. Ada ke bekal yang boleh dibawa daripada semua ini?

Persoalan itu membawa saya ke sini. Sekali lagi.

Kematian adalah satu-satunya tazkirah tidak bersuara, suci tanpa noda, tiada keraguan, tiada pula yang mampu menolaknya.

Ada satu hadis Rasulullah s.a.w yang mafhumnya:
"Ingatlah selalu kematian yang menghapuskan segala kelazatan."

Kalau kita lihat dalam al-Quran, kematian selalu disambuat ratapan dan sesalan buat mereka yang leka terhadapnya di dunia. Dan mereka yang bersusah payah untuk mempersiapkan diri menghadapinya dikurniakan kesenangan di Syurga.

Kalau ini kalam terakhir saya, apa yang saya mahu sampaikan.. ingatlah mati.

Kerana mereka yang mengingati mati, tak akan rugi, tahu tujuan hidup, dan hidupnya terpimpin. Dunia tidak menyempitkan hatinya. Ujian hanyalah wasilah dia mencapai kebenaran. Kematian menjadi sebab dia selalu cuba memperbaiki diri. Mensucikan hati.

Kematian itu seperti sakit. Datangnya tak mengenal orang. Jadinya dengan izin Tuhan. Maka ianya adalah tanda Kuasa Tuhan terhadap diri kita.

Makin kita ingat mati, makin kita ingat sifat hamba kita dan Tuhan itu siapa. Kita tidak lupa diri, tidak hilang sandaran.

Boleh jadi, kesesakan hati, kebuntuan akal, kebuasan nafsu, hilang timbangan yang wujud pada kita hari ini, banyaknya kerana lupa kita akan mati.

Semoga sibuk belajar tidak melupakan saya dan kawan-kawan kepada kematian. Hanya dengan mengingati mati, jiwa manusia hidup kembali.

Sekali lagi saya tanya... penat lelah belajar itu pergi ke mana?

Kalaulah itu kalam akhir saya.


No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...