Monday 12 December 2016

Sepetang di Asia, saling bertaarruf bertemankan Air Coklat

Bismillah.

Petang tadi selepas Simposium, saya mengikuti kawan-kawan usrah berjalan-jalan di belah Asia Istanbul. Kami bercadang mencuba air coklat panas yang masyhur di Çengelköy itu.

Nama kedainya Cikolata ve Kahve. (Coklat dan Kopi). Sebuah cafe yang hanya ada 3 hidangan. Coklat panas, Kopi Turki atau Kopi Coklat. Walaupun begitu, kedainya penuh tidak terkata. Ramai yang datang tidak dapat menemukan tempat kosong.

meleleh

Kedainya klasik. Bercat coklat, dihias seni Islam Utsmaniyah di setiap tingkat. Sungguh mendamaikan hati. Kami menghirup kopi coklat berkrim itu perlahan-lahan sambil berborak mengisi kesunyian.

Sebenarnya bukan kopi itu yang hangat, Namun sesi sembang-sembang kamilah yang rancak. Waktu inilah kami mahu berkenalan, menghias masa-masa pertama ini dengan kenangan indah-indah. 

Kebetulan ini usrah saya yang ketiga. Sejurus naqibah lama pulang ke Malaysia, saya sekali lagi berpindah ke group usrah lain dengan orang-orang baru yang belum lagi saya kenali dari dekat. Maka bermulalah sesi taarruf diam-diam kerana ketinggalan bas bertaarruf di awal-awal.

Mereka berbeza dari group sebelum ni. Lebih riang, tidak terlalu serius dan sangat meriah. Lain benar dengan perwatakan diri ini. Saya bersyukur kerana dengan mengenali mereka, saya dapat mengenali satu lagi sisi manusia yang sifatnya pelbagai di atas dunia ini. Sepertinya perkenalan ini adalah satu nilai tambah kepada kehidupan saya. Nikmat persahabtan baru adalah antara nikmat yang buat hidup manusialebih sempurna.

Saya akui, saya bukanlah orang yang mudah mengenali hati budi seseorang. Saya selalunya mudah membuat gambaran besar dan sukar untuk meneliti yang kecil-kecil. Bila kita berada dalam lingkungan kenalan yang berbeza sifat, lain pendiriannya dan berbeza pula mengikut masa dan tempat, saya diajar untuk lebih teliti, bersabar dan cuba mencari jalan mengenal mereka secara dekat bukan hanya menilai dari jarak jauh.


Usrah Strawberry

Jaulah kami kali ini adalah jaulah yang pertama. Maka ini peluang mereka mengenal saya, dan saya juga mengenal mereka. Sedikit pun tidak mengapa, ia adalah permulaan yang baik.

Ketika usrah bermula dan ketika sesi tadabbur Quran dibuat, padangan yang berbeza-beza membuatkan kami saling bercermin. Saling memenuhi dan saling pula mengetahui cara masing-masing berfikir. Dan ada juga yang mencerminkan latar belakang kehidupan seseorang bila dia mengkaitkan pendapatnya dengan cara hidup yang pernah dilaluinya.

Kami saling tertawa, saling berkongsi dan saling berbagi. Daripada tolehan kebelakang dan cara bersalaman sudah cukup membuat saya rasa bahawa taarruf ini telah membuahkan hasilnya sedikit. Rupanya yang selama ini saya takuti itu juga, kisah jika saya tertinggal di belakang atau hilang. Diam-diam ada juga yang ambil tahu. Sengih sendiri.


Dulu saya fikir saya tak boleh masuk dengan mereka. Tapi lama-lama terikut juga. Cuma masih ada yang perlu dikawal selia. huhu. Ali r.a pernah berkata; Serugi-rugi manusia adalah yang tiada sahabat, yang lebih rugi daripada itu adalah mereka yang kehilangan sahabat yang sudah ada."

Usrah adalah wasilah mencari sahabat, dalam biah solehah. Waktu ini kita bertaarruf, dengan hasrat bersama-sama memperbaiki diri dan memperbaiki orang lain. Yang indahnya ia dilakukan atas tautan kasih-sayang. Tautan persaudaraan iaitu ukhuwwah. Dan yang baru ini akan saya cuba untuk menjadikannya seperti itu.

Ukhuwwah yang baru mahu dibina ini, tidak sangka bermula dengan secawan kopi!

Yusufpaşa, İstanbul
00:03





No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...