Thursday 29 December 2016

Lampu kecil

Bismillah.

Pulang sahaja dari rumah, Basirah menuju ke kamarnya. Mencapai suis lampu dengan tangan kiri sambil tangan kanan menutup pintu perlahan-lahan. Risau bunyi pintu mengganggu rakan serumah.

Lampu sudah dibuka. Terang. Pemandangan seperti biasa. Tiada apa yang berubah.

Basirah mula membuka beg galasnya, menyusun apa yang dilihatnya seperti membuat semak.

Itulah rutin Basirah setiap kali pulang dari sekolah. Kemudian Basirah akan ke meja belajar. Melihat telefon pintarnya. Mula membuka buku atau komputer ribanya.

Malam itu Basirah memilih untuk menutup lampu utama. Dan membuka lampu meja. Komputer riba dibuka dan Basirah mula menulis seuatu di laman sesawang peribadinya.

Cahaya lampu meja terlalu terang. Basirah baru perasan habuk di papan kekunci komputer ribanya sudah tebal. Lama benar tidak dibersihkan. Basirah teringat ayah. Dulu ayahnya kerap menegur sikapnya yang tidak peduli pada kebersihan harta benda yang kecil-kecil itu.

Basirah bukan tidak peduli. Basirah tidak perasan.

Setiap hari rutin hariannya sama. Jarang Basirah memberi masa merenung satu-satu barang -barangnya yang tanpa sedar sudah berhabuk tebal itu. Fokus Basirah tertumpu pada teks-teks buku. Bukan bukunya sendiri. Pada skrin telefon, bukan calar yang ada padanya.

Habuk yang sudah menebal itu bukan kerana Basirah sudah lama tidak buka komputer ribanya. Namun kerana fokus Basirah tidak sampai ke situ. Buka, siapkan kerja, tutup dan simpan semula.

Hari itu, lampu meja meneman Basirah bekerja. Bilik dibiar gelap. Jadi hanya cahaya lampu meja sahaja yang menerangi biliknya malam itu. Lampu meja pencahayaannya terang, namun hanya fokus kepada meja. Tidak seperti lampu utama yang menerangi seluruh bilik.

Lampu meja itulah yang membuat Basirah tiba-tiba perasan akan hal komputer ribanya. Skrin dan papan kekunci yang berhabuk itu.

Tanpa banyak berfikir Basirah mengambil tisu dipenjuru meja dan mula membersihkan habuk-habuk itu.

Malam itu, Basirah tersenyum memandang lampu meja. Basirah baru sedar, dalam hidup ini adakalanya lampu yang melihat benda-benda kecil mampu menjelaskan kita apa yang tidak dapat dijelaskan oleh lampu besar. Kita perlu kepada lampu kecil ini, kerana kita terlalu sibuk dengan benda-benda besar sehingga terabai benda-benda kecil.

Di akhir hari, benda-benda kecil inilah yang mencantikkan benda-benda besar.

Basirah mula tahu, dia juga perlu mula menghargai lampu-lampu kecil dalam hidupnya.















No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...