Monday 12 December 2016

Simposium Palestin dan Utsmaniyah

Bismillah,

Minggu lepas semasa menyemak newsfeed group kampus di Facebook, saya terlihat satu post tentang satu simposium yang bertajuk "Osmanlılar ve Beytülmakdis" (Utsmaniyah dan Baitul Makdis.) Kebetulan Simposium itu diadakan pada hujung minggu dan berdekatan dengan rumah. Allah gerakkan hati saya mengisi borang pendaftaran simposium tersebut. Dan pendaftaran itu diterima.

Osmanlilar ve beytülmakdis ile ilgili görsel sonucu

Walaupun saya tiada kaitan dengan Palestin secara dekat, apatah lagi terlibat dalam kajian akademik terhadapnya, namun terdetik rasa hati untuk mengetahui tentang Palestin. Kerana ia dikatakan bumi suci ummat Islam. Saya pernah mengikuti abang ke Konferans Palestin di Malaysia semasa cuti SPM. Dari situ saya mendapat gambaran awal tentang sejarah Palestin dan apa yang berlaku padanya pada hari ini. Program kali ini lebih menarik apabila ia memberi informasi tentang kaitan Utsmaniyah dan Palestin. Yang selama ini tidak menjadi perhatian kita semasa membincangkan isu Palestin, sedangkan Utsmaniyah memiliki pengaruh kuat, kerana 400 tahun berkhidmat menjaga bumi yang dimuliakan ini.


Awal pagi semasa mendaftar diri di meja pendaftaran, saya terserempak dengan orang Melayu. Makcik Ubaidah. Terkejut saya kerana tidak menyangka ada delegasi orang melayu dari Malaysia dan Indonesia pada hari itu. Rupanya antara penganjur Simposium ini juga adalah Universiti Utara Malaysia. Sayalah yang terlepas pandang.

Simposium ini dianjurkan oleh satu pertubuhan bukan kerajaan bernama Isra. Isra ditubuhkan oleh Dr. Fattah al-Awaisi dan keluarga. Beliau yang merupakan rakyat Palestin beberapa kali dibuang negara dan pernah menetap di London. Kini menjadi pensyarah di Sabahattin Zaim Universiti di Istanbul Turki. Isra berbeza daripada Ngo Palestin yang lain. Isra adalah satu pergerakan yang memfokuskan pembebasan Palestin melalui bidang pendidikan.

 Kata beliau Palestin tidak akan dapat dibuka kecuali dengan jalan ilmu. Isra memiliki hadaf untuk memberi ilmu dan sumber yang sahih tentang Palestin. Menjelaskan salah faham yang selama ini dijadikan alat untuk menjajah Palestin. Hanya hakikatlah yang dapat membuahkan hasil. Maka dengan itu Isra' lebih menumpukan kerja-kerjanya kepada bidang akademik. Memberikan kursus diploma sehinggalah ke peringkat Phd tentang kajian terhadap Palestin. Dan memberi kesedaran kepada masyarakat dunia melalui program akademik seperti simposium ini. Isra bukan hanya berpusat di Turki, malah memiliki cawangan di Palestin sendiri, di UK dan Malaysia.

Ketika saya berborak dengan Makcik Ubaidah, saya banyak merenung dan terkesan dengan kata-katanya. Beliau berkata "Sampai bila kita nak meraih simpati? Kalau Rohinya diserang, Syria pula, simpati kita cepat beralih arah. Simpati saja tak cukup untuk membebaskan Palestin." Saya ingat lagi kata-kata CEO Mycare ketika memperkenalkan Mycare kepada kami di Istanbul baru-baru ini, katanya; "Lama-lama orang pun letih nak menyumbang. Sampai bila kita nak bantu dengan bergantung pada sumbangan orang?"

Kemudian saya bertanya pada Makcik Ubaidah; "Lepas kita dah belajar dan tahu pasal Palestin, apa kita boleh buat?"

Jawabnya; "Lepas belajar, sebarkan, bagi kesedaran pada orang ramai. Sebab nak buka Palestin kena beramai-ramai. Kita buat semua ini kerana Allah akhir sekali. Nanti kita nak jawab apa pada Allah, kalau nama kita tak ada dalam list? List mujahid tak ada, list menyumbang tak ada, list ilmu pun tak ada, macam mana kita ni kan?"

Perbualan singkat semasa rehat itu sangat bermakna. Ia menginsafkan saya bahawa kita ummat Islam sudah lama dipergunakan. Malangnya kita dipergunakan dengan ilmu. Semua rujukan kita berpaksikan pandangan orientalis, memecah belahkan kita daripada bersatu hati dan fikiran untuk membantu nasib sendiri. Menipu kita semua dengan maklumat-maklumat palsu dan kalam-kalam yang memutarbellitkan fakta.

Simposium ini banyak menyentuh apa yang telah dibuat oleh Uthmaniyyah kepada Palestin selama 400 tahun itu. Walaupun zaman kejatuhannya ada, namun kita tidak boleh pukul rata bahawa zaman kejatuhan yang sedikit itu adalah gambaran sepenuhnya terhadap sumbangan Uthmaniyyah terhadap bumi suci itu.

Simposium ini menyajikan kami fakta-fakta membuka mata, tentang segala sumbangan Utsmaniyyah untuk kemajuan Palestin, juga fakta-fakta bagaimana Yahudi dan negara-negara asing yang lain mula masuk campur dan mengembangkan pengaruh mereka di Palestin. Ia bukan kerja sehari, malah dirancang beratus-ratus tahun sebelum itu. Namun sayang, Palestin dirampas bukan kerana rakyat Palestin memberinya, namun kerana ummat Islam, bangsa arab terutamanya mengizinkan kejadian hitam itu terjadi.

Saya suka mengulang peringatan Dr. Fattah; "Ketahuilah Palestin hari ini sedang dijajah. Mereka tidak menunggu perjanjian damai untuk menuntut kemerdekaan. Mereka menunggu kalian untuk membukanya."

Semaklah Surah Tin, Surah Isra, dan sirah baginda Nabi, untuk mengetahui tempat Palestin di sisi Allah. Ia adalah tanah yang diamanahkan untuk hamba Allah menjaganya. Bagi menguji pendirian kita.

Wallahualam.
















No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...