Wednesday 4 January 2017

Tahun baru dan saat baru.

Bismillah.

Selamat Tahun Baru!..., walaupun sudah lebih 3 hari, saya tetap mahu ucapkannya.

Tahun baru, masing-masing sibuk dengan sambutan tahun baru. Sibuk membeli diari baru. Sibuk memasang azam baru. Mengapa tahun baru disambut begitu sekali? Sedangkan yang berubah hanya nombor. Hari yang berlalu sama seperti hari yang sebelumnya.

new year countdown 2017 ile ilgili görsel sonucu

Setiap tahun baru, mula penggal baru. Mungkin kerana itu semua orang teruja. Semua kedai ada jualan murah, ada iklan-iklan kembali ke sekolah dan lain-lain.

Namun di Turki tidak terasa sangat kerana penggal persekolahan di Turki biasa bermula awal bulan 9. sejurus habisnya cuti musim panas. Jadi tahun ini tahun baru kami di celah-celah ujian final. Siapalah mahu teruja kan? -_-

Pendek kata, tahun baru diraikan kerana ianya satu permulaan kepada seuatu yang baru. Tanpa kita sedar, bukan hanya tahun yang menjadi baru, setiap saat itu sendiri adalah saat yang baru. Saat yang meninggalkan jauh saat-saat yang lama.

Setiap saat seluruh alam ini juga menjadi alam yang baru. Saya, anda, pepohon dan bumi ini semuanya berubah setiap saat. Menjadikan kita semua bukan lagi saya yang sama, anda yang sama, pepohon yang sama dan bumi yang sama walaupun kelihatan tiada beza.

Allah Maha Bijaksana, menjadikan tiap satu perkara itu baru setiap masa. Bayangkan jika sel-sel dalam tubuh badan kita tidak bergerak setiap saat, tiada perubahan padanya, apa akan jadi pada manusia? Tiada lahir bayi ke dunia, tidak akan dewasa si anak kecil, manusia tidak dapat memperbaiki upayanya sendiri.

Semua itu seperti mahu berkata; masa menuntut perubahan. Seakan masa wujud untuk merubah sesuatu. Jika masa tidak menjadikan sesuatu itu berubah, ianya adalah satu kemunduran, satu kegagalan, satu kekurangan. Atau semuanya dihimpun dalam satu kata iaitu kerugian.

surah-al-asr-full-arabic
kredit image
"Demi Masa. Sesungguhnya manusia itu sentiasa dalam keadaan rugi. Kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh serta berpesan-pesan dengan kebenaran dan berpesan-pesan dengan kesabaran." (103:1-3)

Allah bersumpah atas perkara-perkara besar. Iaitu sumpah ke atas suatu yang signifikan untuk menjadi peringatan manusia.

Ketika Allah bersumpah demi masa, sumpah itu tertuju kepada mereka yang menjadi rugi dengannya. Masa adalah sesuatu yang hilang. Tidak seorang pun atas bumi ini yang mendapat masa kecuali kehilangannya. Kita semua sentiasa ditinggalkan masa. Maka siapa yang tidak menggunakannya dengan baik pastilah akan menjadi rugi.

Kita tidak untung dengan jumlah masa yang kita ada. Tetapi apa yang kita perbuat dengan masa itu.

Setiap masa kalau diisi dengan satu langkah baru, satu ibadah, satu kerja islah maka dapatlah dituai hasilnya. Tahun ini saya bakal menginjak 21 tahun. Pada umur yang sama Sultan Fatih sudah membuka kota Istanbul ini. Sedang saya masih tertanya-tanya, apa yang saya sudah lakukan?

Jika saya masih tidak hiraukan masa yang berlalu, masih selesa menjadi diri yang lama, apalah gunanya umur yang sudah berubah itu ketika tiada manfaat yang dapat diambil darinya. Mengikut hukum alam, mengikut rentak masa, saya juga harus mula berubah. Bukan untuk menjadi sesiapa, untuk sesiapa, namun suapaya tidak tergolong dalam orang-orang yang Allah sebutkan sebagai mereka yang rugi.

Pada 1/1/2017, saya menerima berita kematian dua pupu yang baru berusia 6 tahun. Ia mengingatkan masa yang sentiasa baru itu satu hari akan berakhir. Jadi kita yang memasang azam baru, teruja dengan hari-hari yang baru haruslah sentiasa waspada, saat-saat baru itu sebenarnya menuju perhentiannya.

Tahun baru dan saat baru, adalah masa yang tidak boleh dirugikan.

Sekian, doakan saya.







No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...