Friday 13 October 2017

Coretan minggu kedua.

Bismillah.

Alhamdulillah wa Natubu ilaih.


Setiap satu jalan,
Akan ada satu cerita,
Setiap satu perasaan,
Buka jalan-jalan manusia,
Berperasaanlah yang baik-baik,
Agar jalan yang dilalui,
Menulis cerita yang enak..
Untuk dibaca.

Cepat sungguh masa berlalu. Sudah dua minggu bernafas di bandar Irbid ini. Semoga Allah berkati waktu-waktu yang berbaki.

Minggu kedua adalah fasa saya berkenalan dengan Yarmouk, berkenalan dengan ahlinya, makanannya, jalan-jalannya.

Taarruf adalah satu proses penting dalam hidup. Medium manusia memahami cara dunia ini bekerja. Dengan siapapun anda bertaarruf, walaupun dengan bumi yang tidak bersuara seperti Jordan ini, ia tetap merupakan proses sepanjang hayat. Dan saya, baru mahu memulakannya.

Minggu kedua inilah pertama kali melihat dan merasa hujan. Segar rasanya. Petanda akan masuk musim sejuk. Suhu pun mula menurun berbading minggu lepas. Awan kerap kali mendung. Saya sudah mula berpakaian tebal ke sekolah. Menyambut satu lagi ayat Allah yang menukar-nukar musim buat manusia.

Dalam kedinginan itu, jiwa saya kehangatan. Berdebar menempuh hari-hari baru di sekolah. Syukur, saya makin dapat menangkap apa yang guru ajarkan dan dapat memahami teks dalam kitab dengan baik. Hanya masih tidak mampu bercakap.

Betullah, belajar agama dalam bahasa arab lebih masuk ke jiwa. Tak tahu sebab apa, tapi Allah menjadikan lebih senang faham dan ingat apabila belajar dengan bahasa ini. Lagipun, bahasa inilah bahasa sejarah yang menjadi batu bata tertubuhnya ilmu agama. Mungkin itu yang menyebabkan belajar ilmu ini dengan bahasa arab terasa lebih lazat. Seperti kita makan ikan patin masak tempoyak, lebih enak kalau makan di Temerloh bukan? Tempat asal usulnya. Walaupun makan di tempat lain resepinya sama :)

Minggu ini jugalah saya dapat menghadiri satu dauroh yang disampaikan oleh seorang Sheikh di rumah seorang akhwat di sini. Beberapa kali Sheikh menerangkan tentang kepentingan belajar bahasa arab. Kata beliau;

"Tidak cukupkah bahasa ini sebagai bahasa syurga, bahasa para Nabi, bahasa agama untuk menjadikan kita bersungguh-sungguh mempelajarinya?"

Beliau meminta kami menghafal satu rumus penting untuk hidup ini;

"Jika kamu tahu sesuatu, maka beramallah."

"Jika kamu tidak beramal dengan apa yang kamu tahu, maka kefahaman kamu belum benar."

Oh.. rasa ditampar banyak kali. Saya rasa anda juga merasakannya. T_T

Bercerita tentang bahasa arab, banyak kenangan memalukan dan menyedihkan di sekolah. Mungkin buang banyak masa kalau mahu diceritakan. Malu kerana beberapa kali saya tidak dapat bertutur dengan betul dihadapan rakan arab dan guru-guru. Malah tidak dapat fahami jawapan dan soalan mereka. Sedih kerana rasa gagal setiap kali melakukannya.

Mujur Allah berikan saya peluang berkenalan dengan seorang kakak di sini. Dan dialah Naqibah baru saya. Katanya apabila saya tanyakan bagaimana dia boleh pandai bahasa arab;

"Akak tak pernah ada basic bahasa arab pun. Akak belajar kat pasar."

Huyoo.. belajar kat pasar je? Getus hati kecil saya.

Mungkin kerana dia adalah seorang pelajar pergigian, dia perlu gigih menguasai bahasa pasar, bahasa komunikasi harian orang di sini. Dia juga menceritakan bagaimana dia makin pandai bahasa arab fusha dengan mula membaca tafsir-tafsir dari kitab-kitabnya.

"You can do it, when you put your mind into it."

"Buat KPI, bulan first ni kena ada satu kawan baik arab." Katanya sambil menepuk bahu saya. Saya tertunduk sambil tersenyum pucat.

Dalam diam saya mengkagumi semangatnya. Sesama kami pun dia sering ingatkan agar kami menyantuni orang dengan ikhlas dan baik. Bukan saja orang melayu, tapi orang arab di sekolah dan di jalanan! Ternyata dia tidak bercakap kosong...

Semasa dalam perjalanan pulang, beliau berhenti di tempat seorang pakcik berusia yang menjual anak patung terpakai di atas lantai di tepi jalan. Beliau menanyakan khabar dan menyampaikan salam kepada keluarga pakcik itu dengan bahasa arab Ammiyah. Pakcik itu tampak gembira, dan saling betanya khabar dengannya pula. Di akhir pertemuan, pakcik tadi mengangkat tangan dan mendoakan kami semua sempena ujian yang bakal bermula minggu depan.

Itu juga dakwah, tanpa sedikitpun taujihat, tanpa sebaris pun ayat nasihat.

Luluh hati saya. Menilik sifat rahmat yang masih kurang dalam diri. Menghitung lemahnya pemahaman saya terhadap dakwah yang sebenarnya tidak mengenal siapa. Semua orang berhak mencicip rahmat agama ini.

Semasa mahu menghadiri usrah pula, rakan yang meneman saya belanja satu aiskrim ketika saya baru sampai. Sedangkan waktu itu orang yang berjual baru mahu memberikan bakinya, dia  dengan selamba;

"Takpa, saya nak satu lagi." Sambil menolak baki tersebut.

Itu okay lagi, ketika dalam perjalanan, dua orang anak kecil menahan kami berdua. Dan meminta rakan saya belanja mereka di kedai berdekatan. Saya sejujurnya sering rasa tidak selesa dengan anak-anak yang meminta ini. Kerana dimomokkan mereka ini mengambil kesempatan, anak-anak sindiket dan sebagainya. Hampir saja meminta rakan saya itu meninggalkan mereka, tetapi dia berhenti dan masuk ke kedai tadi. Dia membeli apa yang anak-anak itu mahu. Bukan sahaja untuk dua anak itu, malah untuk adik-beradiknya sekali. Rupanya rakan saya ini antara sukarelawan dalam program-program kemanusiaan, dan anak-anak tadi adalah anak-anak keluarga Syria yang sudah dikenalinya.

"Ya Allah.. ampunkan saya."

***

Seperti saya sebut tadi, taarruf saya bukan hanya dengan orang-orang dan menghafal jalan-jalan, malah juga makanan-makanan!

Alhamdulillah ada rakan-rakan yang rajin melayan. Mereka selalu sahaja mempelawa saya ke mana-mana, mengajak berjalan ke tempat baru, dan memperkenalkan dengan makanan-makanan. Menjadi tetamu, kita segan untuk banyak meminta. Dan bertemu tuan rumah seperti mereka adalah rahmat :)

Antara makanan yang saya cuba minggu ini adalah Mansof, satu makanan Jordan yang istimewa yang katanya selalu dimakan pada hari Jumaat, hujung minggu di sini. Mansof ibarat nasi minyak yang dimakan bersama ayam panggang dan kuah yogurt, Sedap tapi hidangan yang terlalu besar membuatkan saya terlalu kenyang, Satu pinggan boleh makan 3 orang.


Satu lagi keistimewaan Jordan adalah ais krim nya yang MasyaAllah! Enak!



Sebatang dua scoop harganya 0.75 JD. Sama dengan RM4.5 satu. Dan kali ini roommate saya belanja. Huhu, segan betul asyik jadi penerima. Aiskrim di sini banyak perisa, dan perisanya asli betul. Kalau buah, memang rasa buahnya. Kalau perisa coklat memang akan rasa coklat yang dipecah-pecahkan di dalamnya. 

Mintak maaf kalau buat semua terliur :)) Nak suruh datang Jordan sebenarnya.

Dan ketiga adalah makanan di restoran Hadramaut. Saya tidak ingat nama makanannya tapi sangat sedap dan tidak terlalu berempah. Dimakan bersama roti hanya di atas meja berlapik plastik! Unik! Dan teh susunya serupa betul dengan teh tarik kita. Memang di sini tak ada istilah rindu Teh tarik mamak. Apa yang penting ramai sungguh orang melayu malam itu. Malam hujung minggu tempat komuniti Malaysia bertemu.




Sewaktu saya menulis ini, azan maghrib sudah berkumandang. Waktu menunjukkan pukul 6.13 petang. Ternyata waktu solat semakin awal. Dan saya juga perlu berhenti dulu di sini ^^

Mohon doakan yang baik-baik, terutama untuk bahasa arab saya :) Moga Allah tunjukkan jalan terbaik yang perlu saya tempuh, untuk gunakan umur yang berbaki pada jalannya.

Terima kasih sudi membaca, semoga bermanfaat :)

Assalamualaikum.
















No comments:

Post a Comment

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...