Friday 6 October 2017

Minggu pertama di Yarmouk

Bismillah.


Rasa teruja Tuhan bekali manusia buat meredah rasa takutnya,
Rasa cinta Tuhan bekali manusia buat melawan norma dunia,
Rasa hamba Tuhan bekali manusia buat menyedari pemberian itu dariNya.
Pejam celik pejam celik sudah seminggu saya di bumi Allah bernama Jordan ini. Alhamdulillah ala kulli hal. Setiap hari baru adalah peluang untuk saya membaiki diri dan belajar perkara baru. Setiap hari adalah rezeki buat kita menambah nilai diri.

Begitulah fahaman yang cuba dipegang untuk menguatkan diri meredahi minggu pertama di sini. Tidak mudah, namun tidaklah susah kerana bantuan rakan-rakan. Terasa seperti ada malaikat yang Tuhan hantar membantu diri yang tercampak seorang ini.

Semasa pendaftaran kelas (Tasjil Madah), wakil MMY yang membantu saya turun naik pejabat sehingga siap proses memilih subjek dan mencari kelas. Terima kasih buat adik Nu'man dan Wardati, kagum benar dengan kegigihan mereka. Tak lupa rakan-rakan rumah yang 9 orang; K.Hana, K.Aqilah, K.Atiqah, Farah, Rabiatul Adawiyyah, Naimah, Yumni, Ummi dan roommate Syakirah, Allah yujzikum khairal jaza'.

Untuk urusan mendapatkan Iqamah (permit tinggal) pula, Universiti Yarmouk membantu semuanya. Dari fotostat passport, bawa ke balai polis, mendaftar dan menghantar semula ke sekolah. Mungkin kerana sudah biasa menguruskan pelajar pertukaran, mereka sudah ada sistem yang kemas dan tersusun.

Saya sempat berkenalan dengan pelajar-pelajar pertukaran dari negara-negara lain yang ikut membuat Iqamah; Dana dari Korea, Serayya dari Sepanyol, Tony dan Nioumi dari German dan lagi dua orang rakan yang tak sempat saya sapa. Mujur mereka semua fasih berbahasa inggeris, kami berbual sepanjang di balai polis kerana telefon bimbit tidak boleh dibawa masuk! Difahamkan pelajar pertukaran tidak boleh dapatkan visa pelajar yang bertempoh 6 bulan, maka kami diberi iqamah selama 2 bulan. Pada bulan Disember, kami akan dipanggil semula untuk ke Amman untuk memanjangkan Iqamah.

Itu kisah Iqamah, bagaimana pula dengan kelas-kelas?

Pembantu dekan memberikan saya surat penyata yang memberitahu bahawa saya adalah pelajar pertukaran dari Istanbul. Kata beliau surat ini perlu difotostat dan diberikan pada setiap guru ketika mula masuk ke kelas.

Kelas pertama yang saya ikuti adalah kelas Hadhir A'lam Islami, gurunya Dr. Walid bercakap bahasa arab Ammi di dalam kelas. Namun setelah saya berikan surat tersebut, beliau mula berbahasa arab fusha sehingga kelas tamat. Syukur dan terharu. Jika tidak, pastilah saya tidak dapat memahami sedikitpun dari apa yang diajar. Seronok mendengar dia mengajar, ketika dia bercerita tentang Umar r.a dan Abu Bakar r.a, kerap kali dia sebak dan ayatnya hampir terhenti. Sangat menyentuh hati saya dan rakan-rakan lain.

Esoknya, saya menghadiri 5 kelas. dari pukul 9 pagi sehingga pukul 3 petang. Bermula dengaan kelas Fiqh Ibadat dari Dr. Adam Qudho, saya berpindah ke kelas-kelas lain seperti Tilawah dengan Dr. Huwaida, kelas Fiqh Ahwal Syakhsiyyah dengan Dr Yufus Asy-Syarifain, kelas Madkhol ila Tasyri' Islamiy dari Dr. Firas dan akhir sekali Adyan Firoq bersama Dr. Samirah Tohir.

Semua sekali, ada 6 subjek yang saya ambil buat semester ini. Jumlah yang sangat banyak untuk seorang pelajar arab. Apatah lagi pelajar melayu. Saya tiada pilihan kerana itu sahaja cara untuk menjadikan jumlah credit hour dan ects sama.

Mujur ada kawan-kawan yang pernah mengambil subjek yang saya ambil. Ada yang meminjamkan buku-buku dan nota-nota mereka, ada yang memberitahu untuk ikut serta study group, dan ada yang sekelas dengan saya. Semuanya seperti dimudahkan, saya perlu kuat semangat untuk mensyukurinya.

Minggu ini juga saya sempat berkenalan dengan beberapa kawan arab. Mujur sekali, mereka bercakap fusha dengan saya. Mereka adalah Aslam, Imtina', Raghaf dan A'laa. Juga pelajar Thailand yang bernama Asriyah.

Walaupun fusha, saya masih tergagap-gagap. Apabila mereka bertanya, saya perlukan masa yang lama menyusun jawapan atau jika terburu-buru, saya akan terus menjawab "La adri." Pernah satu masa saya digelakkan satu kelas kerana tidak menjawab dengan baik soalan guru. Malu dan rasa lemah semangat seketika. Namun tidak mengapa, kata K.Mira Shuib;

"Biasa lah tu baru mula. The beginning is always the hardest. InsyaAllah awak boleh buat. Jangan risau." Sambil menghantar dua emoticon muscle tanda saya perlu kuat.

Ketika saya mengadu kepada Esma abla (kakak di Turki) tentang bahasa arab saya yang lemah, katanya;

"Kan untuk itu juga awak pergi sana?"

Benar, saya datang untuk memperbaiki bahasa arab. Saya ada lagi 4 bulan dan itu adalah masa yang lama untuk menguasai satu bahasa. Moga saya direzekikan untuk membaikinya.

Dulu saya pernah berangan untuk menjadikan posting di blog ini dalam 4 bahasa; Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Turki dan Bahasa Arab. Biiznillah, saya harapkan ianya menjadi kenyataan satu hari nanti.

Doakan saya :)

"Semua perkara dihitung pada pengakhirannya."

"Ya Allah, jadikan sebaik-sebaik umur, umur akhirku. Jadikanlah sebaik-baik amal, amal penutupku. Jadikanlah sebaik-baik hari, hari aku bertemu denganMu." Aamin yrab.





























1 comment:

Entri Terakhir Saya

Bismillah. Pejam celik pejam celik, dah tujuh tahun dah umur blog ini. Saya masih ingat pesan Kak Teh masa dia menolong saya membuka a...